Jom Buat Duit

Thursday, 10 April 2014

Istimewa Fizz Fairuz pada Almy Nadia

LAPAN tahun bercinta, dugaan demi dugaan terpaksa diharungi insan bernama Almy Nadia Aminuddin Shah dan kekasihnya pelakon Fizz Fairuz.

Pasang surut kisah cinta mereka sudah boleh dibikin sebuah novel cinta tragis jika dihimpun semua kontroversi yang menghiasi perjalanan cinta Almy, 28, dan Fizz, 35.

Bermula dengan Almy menolak pinangan Fizz, kisah putus cinta sehinggalah Fizz sempat bertunang dengan seorang wanita tetapi putus kerana mendakwa wanita itu masih bergelar isteri orang sekitar Februari tahun lalu.

Namun, tabik buat Almy kerana hatinya masih setia kepada lelaki bernama Fizz Fairuz. Menerima kembali cinta Fizz bukanlah suatu yang mudah kerana Almy dihentam kanan dan kiri oleh peminat yang menganggap keputusannya itu tidak relevan.

Perlahan suaranya dihujung corong telefon ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.
"Saya sedar ramai yang berpihak kepada saya dan ramai yang marah apabila saya membuat keputusan untuk menerima Fizz kembali dalam hidup saya.

"Harus diingat sebagai manusia, siapa saya untuk melawan takdir Allah. Saya tidak mampu bercakap lebih, sudah tertulis jodoh saya bersamanya cukup kuat," ujarnya.

Bakal bernikah pada 26 April ini di Masjid Daerah Balik Pulau, Pulau Pinang, ujar ibu kepada kepada seorang anak angkat bernama Nur Afrina Darwisya, 5, ini, dia enggan lagi menangisi kisah silamnya.
"Kalau ikutkan baran dan perasaan marah memang saya marah tetapi selepas berfikir dengan matang, saya sudah ada anak, usia pun bukan muda, buat apa saya kenang perkara yang sudah lepas.

"Apa yang telah berlaku, saya tidak mahu fikir lagi. Rasanya kita lebih kenal siapa diri kita dan sedar diri selepas dilanda musibah," katanya.

Ditebak, apakah istimewanya Fizz sehingga pintu hatinya terbuka untuk menerima lamaran lelaki yang berasal dari Raub, Pahang itu.

"Jodoh sesuatu yang tidak boleh diramal, ada hikmah sebalik apa yang berlaku. Sifat dia yang ramai orang tidak tahu ialah dia seorang yang bertanggungjawab.

"Kami susah sama susah, senang sama senang. Bukan itu sahaja, rasanya Fizz seorang yang mampu terima anak angkat saya. Sebelum ini, saya ada berkawan dengan lelaki lain tetapi mereka tidak dapat menerima anak saya seperti mana Fizz.

"Fizz juga seorang yang bijak mengambil hati. Sebelum melamar saya, dia melamar ibu dan anak saya terlebih dahulu. Sebab itu hati saya terbuka untuk terima dia kembali," balas Almy yang tidak menyimpan dendam terhadap apa yang berlaku sebelum ini.
Sembunyi majlis pertunangan

Selepas deretan kontroversi yang menguliti cinta mereka, Almy dan Fizz mengambil keputusan untuk menyembunyikan majlis pertunangan mereka yang berlangsung pada 22 Oktober tahun lalu sempena hari lahir Fizz.

Akui Almy, dia sendiri tidak menyangka akan bertunang dan tidak lama lagi akan bergelar isteri kepada Fizz Fairuz.

"Semua berlaku dengan cepat. Saya sendiri tidak tahu Fizz melamar saya. Apabila saya tahu, tarikh majlis pertunangan sudah hampir.

"Fizz datang dan berbincang dengan keluarga. Keluarga semua setuju untuk tidak menghebahkan majlis pertunangan kepada orang ramai. Pengalaman lepas dijadikan pengajaran untuk kami berdua," balasnya.
Almy menjelaskan, dia bimbang mulut orang yang mendoakan perkara yang tidak baik.

"Saya tidak takut pada orang ramai tetapi takut kepada mulut manusia dan mata pena yang bagi saya amat tajam. Bila berita keluar, ada yang suka akan doakan yang baik-baik tetapi buat yang benci pada saya dan Fizz akan mendoakan perkara yang tidak elok.

"Sebab itu kami diamkan sahaja majlis pertunangan. Apabila semua persiapan perkahwinan hampir sele- sai, barulah diumumkan kepada orang ramai. Rasanya lebih baik begitu," kata Almy.
Perubahan diri Almy

Kontroversi cintanya banyak mengubah Almy menjadi wanita yang lebih kuat berbeza dengan Almy yang dikenali sebelum ini.

Bicaranya tetap lembut tetapi lebih tersusun diselit dengan nada tegas yang sebelum ini tidak biasa Almy lakukan ketika sesi temu bual.

Ujarnya, pengalaman lepas banyak mengajarnya untuk menjadi Almy hari ini. Selepas apa yang dilalui, Almy enggan lagi memuaskan hati semua pihak tetapi hatinya sendiri terluka.
"Saya mungkin lebih yakin dan lantang dalam bersuara tetapi pada masa yang sama banyak perkara yang saya rasa tidak perlu diceritakan, saya akan simpan.

"Sebelum ini saya akui terlalu jujur apabila menjawab soalan. Sebab itu perkara yang kecil menjadi besar dan ada yang pijak kepala saya. Bukan mahu sombong tetapi saya telah terkena, jadi lebih baik berhati-hati," ungkapnya.

Tambahnya, kontroversi lalu membuatkan dia bermuhasabah diri. Menilai kembali kesilapannya supaya tidak berulang kembali.

"Semua yang berlaku ada hikmah. Bukan Fizz sahaja tetapi saya juga ada melakukan kesilapan tanpa saya sedar. Saya perlu tapis apa yang saya cakap pada orang lain. Sebelum ini saya bercakap tanpa berfikir kesannya," balasnya. Kosmo

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters