SEJAK berita kehilangan pesawat milik syarikat Malaysia
Airlines (MAS) disahkan, bukan sahaja ahli keluarga penumpang dan anak
kapal berasa kehilangan, malah seluruh dunia terkesan terhadap insiden
yang berlaku.
Penyanyi bersuara lunak dari Indonesia, Krisdayanti (KD) turut
berkongsi perasaan yang sama, lebih-lebih lagi dia sering menggunakan
perkhidmatan penerbangan MAS.
“Boleh dikatakan sudah 14 tahun saya menjadi penumpang setia MAS dan
berita kehilangan pesawat MH370 sememangnya memeranjatkan saya.
“Kebetulan pada 8 Mac lalu, saya ke luar negara menggunakan penerbangan
MAS dan ketika itu, suami memberitahu mengenai insiden berkenaan.
“Saya fikir ia hanya pesawat kecil tapi tidak sangka ia melibatkan
pesawat yang membawa penumpang yang ramai,” katanya ketika ditemui pada
sidang media majlis Secretaries Week @PICC di Putrajaya, kelmarin.
Tambahnya, sebagai ibu kepada empat orang anak, dia amat memahami
perasaan sedih dialami keluarga penumpang dan anak kapal yang terlibat.
“Baru-baru ini saya ke Australia, juga dengan MAS. Saat Perdana Menteri
Malaysia mengumumkan tentang berita itu, ia cukup menyedihkan dan
sebagai ibu kepada empat orang anak, saya juga turut merasa kehilangan.
“Apa yang saya harapkan semoga keluarga ini kuat semangat mengharungi
apa yang berlaku dan sebagai insan yang tidak mampu melakukan apa-apa,
saya hanya akan berdoa yang terbaik untuk mereka,” ujarnya.
Bahagia bersama Raul Lemos
Bertanya mengenai perkembangan kisah peribadinya, penyanyi yang
terkenal dengan lagu Menghitung Hari ini akui kini sedang meniti
kehidupan yang bahagia bersama suami tercinta, Raul Lemos.
“Alhamdulillah, semuanya dalam keadaan yang sangat baik. Aurel dan
Azriel (anak hasil perkongsian hidup dengan bekas suami, Anang
Hermansyah) masing-masing sudah berusia 15 dan 13 tahun.
“Saya juga bahagia membesarkan Amora, 2, dan Kellen, 1, bersama Raul.
Anak-anak adalah keutamaan buat saya kerana merekalah membuatkan saya
berbangga menjadi seorang perempuan yang bergelar ibu kepada empat orang
anak.
“Sekembalinya saya dalam bidang nyanyian juga adalah kerana izin suami.
Saya bersyukur kerana dia sangat memahami dan saya benar-benar
bahagia,” katanya.
Menurutnya, biarpun sudah berpisah, hubungan antara bekas suaminya, Anang Hermansyah masih baik.
“Hubungan saya dan Anang masih baik begitu juga isterinya, Ashanty.
Kalau ada perkara mengenai anak-anak, saya akan terus menghubungi
Ashanty.
“Lagi pun anak-anak sudah membesar, mereka juga memahami dan keempat-empat mereka saling menyayangi,” tuturnya.
Serah pada takdir
Walaupun empat tahun sudah berlalu, namun cerita negatif mengenai
kesilapan yang pernah dilakukan sebelum ini masih menghantuinya.
Tidak melatah mahupun menuding jari dengan apa yang berlaku, KD akui
dirinya tidak mahu menoleh ke belakang, malah tetap berfikiran positif.
“Saya bukanlah seorang wanita yang mudah kecil hati atau mudah tersinggung dengan kata-kata yang dilemparkan.
“Sentiasa berfikiran positif adalah ubat yang paling mujarab di kala hati saya sedih.
“Bukan tidak ambil peduli dengan kata-kata itu, saya hanya mendengar
dan secara tidak langsung, ia menjadi kekuatan kepada saya. Jadi saya
tidak berkecil hati,” jelasnya.
Tidak mahu berputus asa dengan kesilapan lalu, KD menganggap apa yang berlaku ke atas dirinya adalah ketentuan takdir.
“Sebenarnya, saya memang tidak ada masa untuk bersedia dengan apa yang
berlaku. Mungkin ada yang menyalahkan saya atas apa yang berlaku sebelum
ini, tapi semuanya telah berlaku.
“Saya bersyukur kerana suami seorang yang amat memahami dan dialah
tempat saya bersandar ketika berada dalam kesulitan. Selepas itu, dalam
usia yang tidak berapa muda lagi, saya diberi kesempatan melahirkan dua
orang anak selepas 10 tahun melahirkan anak kedua. Jadi hidup saya penuh
dengan kebahagiaan yang Tuhan kurniakan,” katanya.
Tribute buat MH370
Kali terakhir diundang membuat persembahan di Malaysia pada September
tahun lalu, kali ini KD akui teruja kembali menghiburkan peminatnya di
negara ini menerusi Secretaries Week @PICC.
“Alhamdulillah, ini adalah peluang keemasan buat saya menyapa semula peminat di Malaysia.
“Kebetulan pula, saya juga baru melancarkan album terbaharu,
Persembahan Ratu Cinta, jadi inilah masa yang sesuai untuk saya
berkongsi buah tangan baru itu bersama peminat di sini,” katanya.
Pada masa yang sama, KD memberitahu bakal mendedikasikan sebuah lagu tribute buat MH370.
“Dikesempatan yang ada, saya juga ingin berkongsi perasaan sedih
terhadap insiden MH370 dengan mendedikasikan sebuah lagu tribute.
“Saya juga berharap artis Malaysia seperti Datuk Siti Nurhaliza atau
Amy Search dapat merakamkan semula lagu tribute yang saya akan nyanyikan
itu nanti,” ujarnya.
Bakal berlangsung selama dua jam, KD akan mendendangkan lagu-lagu hit
seperti Menghitung Hari, Cobalah Untuk Setia, Pilihlah Aku, Aku Wanita
Biasa dan Mencintaimu.
Pada persembahan tersebut, penyanyi Awi Rafael turut diundang
memeriahkan majlis tersebut. Di samping itu, pelawak yang semakin
mencipta nama, Kuah Jenhan pula dipertanggungjawabkan sebagai hos.
Tiket-tiket berharga RM5,880 hingga RM8,880 (setiap meja untuk 10 orang
tetamu). Untuk tempahan, boleh hubungi talian 03-88876000 atau layari
www.ticketpro.com.my.
SINAR HARIAN
No comments:
Post a Comment