Jom Buat Duit

Thursday, 15 March 2012

Riz tak mudah menyerah kalah

KEMBALI...muncul dengan single baru.
KEMBALI...muncul dengan single baru.

WAJAH tampan serta nyanyian merdunya pernah menjadi pujaan tidak lama dulu sehingga dia dinobatkan tempat kedua program realiti popular, Akademi Fantasia musim keenam (AF6). Namun, entah di mana silapnya, karier nyanyian Mohammed Idris Mohd Zaizizi atau Riz Zaizizi semakin tenggelam dan kemunculannya di kaca televisyen jarang kelihatan.

Agak terkebelakang berbanding rakan seperjuangan daripada AF6 terutama Stacy dan Nubhan yang nyata mendahuluinya, anak kelahiran Gerik, Perak ini dalam diam sebenarnya sibuk merencanakan kerjaya nyanyiannya. Jika ada yang mengandaikan Riz sudah berputus asa, apatah lagi dengan situasi industri nyanyian di Malaysia pada ketika ini, jawapannya tidak.

Minat yang terlalu mendalam terhadap muzik menjadi prinsipnya dan oleh sebab itu, dia sentiasa berpegang kepada pepatah kejayaan tidak datang bergolek.
Biarpun mendapat laluan seni yang cukup besar impaknya selepas menyertai AF6, namun tiada istilah dengan ‘petik jari’ saja, terus berjaya.

Bertemu jejaka berusia 25 tahun itu dalam satu sesi fotografi, baru-baru ini, Riz yang sinonim dengan rambut panjang dan kerinting nampaknya sudah bertukar imej. Kini berambut pendek, penampilannya kelihatan lebih rapi dan matang sesuai dengan umurnya.
Tatkala diajukan soalan kenapa mengambil keputusan untuk memotong rambut, jawapannya ringkas iaitu inginkan imej yang lebih kemas dan ringkas.

Tidak sabar berbicara mengenai buah tangan terbarunya, Riz berkata, single pertaruhannya, Aku Yang Terbaik adalah lagu yang cukup membawa makna terhadap pembabitan�nya dalam seni muzik.

“Jika sebelum ini saya kurang terbabit sepenuhnya dalam penghasilan lagu menerusi album pertama dulu, sebaliknya untuk single ini, saya benar-benar ‘all out’ dan bekerja keras demi kepuasan sendiri. Sekian lama ternanti-nanti karya manakah mampu menambat hati saya untuk dijadikan single, akhirnya saya bertemu lagu yang cukup indah melodinya ini.

“Hasil ciptaan seorang komposer muda di Indonesia, Atra Petrana, agak lama juga untuk saya memutuskan sama ada menerima atau menolak lagu ini kerana ia bukan ciptaan karyawan tempatan. Maklumlah dengan sentimen yang tercetus dalam industri sekarang iaitu jangan mengagungkan karya terutama dari Indonesia, pastinya akan memberi kesan kelak.

“Namun, tidak wajar untuk saya menidakkan kemahuan diri sendiri yang inginkan kepuasan dengan menyanyikan lagu seindah itu. Oleh itu, saya ketepikan isu mengenai sentimen itu dan berkata ‘ya’ untuk mengambil lagu itu.

“Biarlah apapun tanggapan yang dilontarkan selepas ini, namun bagi saya, penghujungnya kekuatan sebuah lagu itu akan kembali pada melodinya. Saya tidak mahu hipokrit dan terus terang sekarang ini, saya amat memilih dalam hal membabitkan material ini,” ujar penyanyi ini yang pernah popular dengan lagu Ku Pinjam Satu Bintang duet bersama Alyah.

Dirakamkan pada Disember tahun lalu, Riz menyifatkan keputusan untuk bekerjasama dengan produksi di negara seberang menghasilkan single itu sesuatu yang bijak. Walaupun individu yang terbabit kebanyakannya masih muda, namun mereka tidak bekerja sambil lewa dan sangat terperinci dalam segala hal.

Malah, mereka sangat terbuka dalam menerima pendapat daripada saya dan tidak ikut kepala sendiri. Itu satu hal yang membuatkan Riz berasa sangat selesa sepanjang proses itu. Baginya, memang begitulah cara terbaik yang seharusnya berlaku iaitu masing-masing bebas menyuarakan dan bertukar idea.

Bakal kembali ke gelanggang seni semula, ditanya ke mana dia menghilang selama ini, Riz cuma tergelak dan berkata, dia masih aktif menyanyi.

“Sebenarnya, selain sibuk dengan penghasilan single ini, saya masih lagi memenuhi undangan persembahan, cuma kebanyakannya untuk acara korporat dan majlis perkahwinan. Sejak bergerak sendiri ini, saya perlu berdikari dan kena sentiasa mencari tawaran persembahan selain mendapat jemputan.

“Syukurlah, masih ramai peminat yang sentiasa menyokong Riz dan kelab peminat saya juga masih aktif sehingga kini. Kadangkala saya akan keluar sekali sekala berjumpa mereka dan menjalankan aktiviti bersama. Cuma waktu menyiapkan rakaman single baru ini tempoh hari, saya begitu sibuk dan masa terluang terhad.

“Selain itu, saya masih lagi menghadiri kelas Cikgu Siti Hajar (AF) untuk memastikan vokal saya sentiasa mantap. Masih banyak yang perlu diperbaiki dan saya tidak mahu terlalu selesa dengan apa yang saya ada sekarang ini,” katanya.

Riz yang sudahpun menghantar lagunya itu ke beberapa stesen radio dan hanya menanti masa untuk diputarkan, dia menaruh harapan tinggi singlenya itu akan disukai pendengar. Ini kerana, sebelum mengedarkannya, dia juga ada memperdengarkan lagu berkenaan kepada beberapa penggiat muzik dan mereka memberikan reaksi yang sangat positif.

Dicalonkan dalam senarai ‘hot seat’ rancangan Mania yang bakal disiarkan bermula Sabtu ini, Riz tidak menaruh harapan tinggi memandangkan calon lain sudah mendahului dari segi undian.

Baginya, tiada apa yang perlu dikesalkan kerana pilihan itu terletak pada kekuatan peminat seseorang artis itu dan mungkin bukan rezekinya mendapat kedudukan dalam rancangan itu kelak.



TRIVIA:

  • Lagu paling digemari sekarang...Cry Me A River (Michael Buble)
  • Alah kepada...habuk dan makanan laut.
  • Kalau tidak jadi penyanyi...pegawai kerajaan.
  • Pelakon Hollywood yang teringin hendak ‘dating’..Jessica Alba.
  • Hadiah paling istimewa dalam hidup...sokongan dan doa peminat.
  • Tabiat pelik...cungkil gigi berjam-jam.
  • Kalau diberikan sebuah kuasa, kuasa apa?...terbang.
  • Rancangan TV kesukaan...Wipeout.
  • No comments:

    Post a Comment

    Klik Untuk Saya k... :)

    free counters