MENELITI kandungan keseluruhan program realiti, Mentor terbitan TV3, produksi penerbitannya harus diberi pujian kerana tampil dengan konsep berbeza dan tersendiri tidak menyamai mana-mana program realiti yang lain.
Selain kekal dengan cetusan idea baru dengan bentuk persembahan kreatif, program yang selama ini dipimpin kemas penerbitnya, Muhamad Sufian Isa tersenarai sebagai salah sebuah program paling ramai ditonton setiap kali ditayangkan.
Selepas lima musim mencipta sejarahnya sendiri, kini Mentor hadir dengan musim keenam yang jauh lebih dinamik dengan pembaharuan disuntik bagi kekal memberikan hiburan kepada penonton.
Menampilkan ratu rock negara, Ella sebagai salah seorang mentor kali ini, lima lagi penghibur terkenal turut dibawa masuk termasuk Ram�lah Ram, Faizal Tahir, Ferhad, Fauziah Datuk Ahmad Daud dan bintang muda juga kelahiran program realiti, Adam.
Petang kelmarin bertempat di restoran Hard Rock, Kuala Lumpur, pihak penerbitan dengan bangga memperkenalkan semua enam protege bersama mentor masing-masing dalam persaingan gelanggang terbaru.
Musim keenam, Mentor yakin dengan bakat wajah baru yang bakal menjadi pelapis bagi terus menjadi kesinambungan pentas nyanyian tempatan.
Penuntut jurusan Pengarahan Teater di Universiti Teknologi Mara yang punya pengalaman luas dalam lapangan persembahan teater, Anas Ridzuan antara menjadi pertaruhan mentornya, Faizal Tahir.
Punya vokal tersendiri dengan penampilan bersahaja, Anas bakal bertaruh nasib dengan gadis berusia 20 tahun kelahiran Tanah Merah, Kelantan, Puteri Caroline yang bertuah mendapat bimbingan Ella.
Noor Nazatul Farahin dari Bedong, Kedah berusia 23 tahun pula mewakili mentornya, Fauziah Ahmad Daud bersama Ana Syuhada Noor Asram di bawah pengawasan Ramlah Ram.
Gadis muda berusia 18 tahun kelahiran Labuan, Sabah, Salwani Sawi lebih awal membuktikan kekuatan vokal lantang dan jelas. Berdiri sebagai protege Ferhad, Wani yang menyifatkan mentornya itu penyanyi versatil dilihat bakal menjadi saingan kepada anak muda lincah menari, Abd Kadir Haji Unding Lana, protege Adam.
Sesi perkenalan membuka ruang buat mereka menyanyi di depan teman media dan tetamu yang hadir petang itu dilihat sebagai peluang terbaik bagi menguji tahap keyakinan masing-masing sebelum melangkah ke gelanggang yang sebenar.
Jelas penerbit eksekutifnya, Sufian, semua peserta Mentor musim keenam ini punya keistimewaan sendiri tanpa perlu membandingkan dengan mana-mana penyanyi sedia ada ataupun bintang Mentor terdahulu.
“Memang susah untuk saya katakan sejauh mana kehebatan mereka kerana semuanya di fasa permulaan. Pihak penerbitan hanya memberi pandangan saja dalam soal pemilihan kerana keputusan muktamad adalah pada mentor.
“Bagaimanapun, saya yakin kesemuanya membawa keistimewaan berbeza kerana kami amat menekankan soal uji bakat yang menjadi pintu utama dalam meneroka bakat baru musim ini,” katanya.
Mengekalkan konsep dan format persembahan sama, Mentor kali ini cuba melihat sedikit kelainan dari aspek lain bagi kekal relevan untuk tontonan penonton.
“Bohong jika saya katakan tidak berasa risau kerana Mentor adalah sebuah program hiburan di TV3 paling mendapat perhatian. Bukan saja dari aspek rating yang semakin meningkat, namun penonton sendiri sudah bijak menilai sesebuah kandungan program realiti. Mereka sentiasa inginkan kelainan.
“Lantas selepas enam musim bersiaran dan saya masih di kerusi sama selaku penerbit eksekutifnya harus ‘pecah kepala’ mencari formula lain agar Mentor masih menjadi program yang dinanti-nantikan. Ini satu cabaran dan tanggungjawab paling besar untuk saya. Maklumlah semakin banyak program realiti diterbitkan dan untuk mempertahankan sesebuah jenama hingga musim keenam pastinya kandungan perlu dikuatkan agar penonton tidak lekas jemu.
“Bagaimanapun, saya bersyukur kerana pihak produksi dan penerbitan Mentor tidak henti mencari idea untuk mengukuhkan lagi plot persembahannya.
“Bagi musim keenam, kami masih lagi mengekalkan konsep dan corak pertandingan cuma kali ini saya ingin tekankan dalam aspek komunikasi. Setiap peserta akan diberi ruang untuk berinteraksi bersama penonton terlebih dulu sebelum membuat persembahan bagi memberi pendedahan kepada mereka dalam soal komunikasi.
“Jika sebelum ini setiap peserta diberi dua lagu yang perlu disampaikan iaitu solo dan duet dalam segmen yang berbeza, kali ini kami gabungkan menjadi satu segmen saja. Saya rasa ia lebih menarik dan tampak kemas,” katanya lagi.
Fokus media tidak hanya terhenti pada barisan mentor dan protegenya saja sebaliknya dua juri tetapnya turut menjadi perhatian. Pemuzik profesional, Datuk Haji Ramli MS dan penyanyi tersohor negara, Datuk Sharifah Aini diangkat menjadi juri tetap yang akan berkongsi komen serta kritikan setiap minggu.
Tambah Sufian, objektif menempatkan dua juri tetap tidak lagi menjemput mana-mana individu lain sebagai juri jemputan adalah inginkan komen yang konsisten setiap minggu.
“Peserta akan lebih jelas jika menerima komen daripada juri yang sama setiap minggu berbanding juri jemputan yang mungkin tidak mengikuti perkembangan mereka setiap minggu.
“Malah, kali ini juga kami akan menjadikan sesi komen daripada juri secara santai iaitu mereka akan duduk di satu sudut bersama protege dan mentornya seperti sesi diskusi.
“Datuk Ramli dan Datuk Sharifah Aini pula saya fikirkan adalah pilihan terbaik kerana melihat pengalaman dan hasil kerja mereka yang cukup luar biasa. Tiada apa lagi untuk dipertikai atau dipersoal mengenai kredibiliti mereka berdua kerana masing-masing berjaya dalam lapangan seni. Malah, Sharifah Aini sendiri pernah menjadi mentor dan saya percaya komen dan pandangannya akan lebih realistik berdasarkan pengalamannya sebelum ini,” katanya lagi.
Program yang bakal dikendalikan Ally Iskandar ini mula disiarkan pada Ahad ini, 18 Mac jam 9 hingga 10.30 malam di TV3. Program yang dipancarkan secara langsung dari Auditorium MBSA, Shah Alam itu turut mengekalkan komposer popular, Ajai selaku Penasihat Vokal, anggota kumpulan Floor Fever, Boo Jay sebagai Penasihat Persembahan dan Faizal Uzir selaku Pengarah Muzik.
Penonton juga boleh menyaksikan sorotan persediaan dan aktiviti protege bersama mentor mereka menerusi Jurnal Mentor setiap Ahad, jam 6 petang selain kapsul dua minit, Jurnal Protege jam 6.58 petang setiap Isnin hingga Jumaat.
Mentor musim keenam menawarkan wang tunai sebanyak RM100,000 kepada juaranya dan RM30,000 untuk naib juara.
No comments:
Post a Comment