SEATTLE, Amerika Syarikat (AS) - Tembelang seorang lelaki beristeri
dua di AS pecah selepas kedua-dua isterinya menjadi kenalan di laman
perkongsian sosial Facebook.
Undang-undang AS melarang lelaki memiliki lebih daripada seorang isteri pada masa yang sama.
Susulan pembongkaran tersebut, seorang pegawai pemulihan akhlak, Alan
L. O'Neill didakwa kerana mengamalkan bigami atau beristeri dua.
Menurut kertas pertuduhan yang difailkan Khamis lalu, O'Neill
mengahwini seorang wanita pada 2001, berpindah pada 2009 dan menukar
namanya sebelum berkahwin lain tanpa menceraikan isteri pertamanya.
Isteri tua pertama kali menyedari O'Neill berkahwin lain apabila dia
menjadi kenalan madunya melalui pautan "Orang yang mungkin anda kenali"
di Facebook.
"Isteri pertama kemudian melihat laman Facebook isteri kedua dan
melihat suaminya bersama kek perkahwinan," kata pendakwa raya daerah
Pierce County, Mark Lindquist kepada agensi berita Associated Press (AP)
Isteri pertama kemudian berkunjung ke apartmen madunya dan berulang
kali menyoal suaminya sama ada mereka sudah bercerai tetapi dia
menjawab: "Tidak, kita masih suami isteri.,"
O'Neill, 41, sebelum ini menggunakan nama Alan Fulk. Dia yang
dihadapkan ke mahkamah Khamis lepas boleh dipenjara lima tahun jika
didapati bersalah. - Agensi
No comments:
Post a Comment