Jom Buat Duit

Tuesday 13 March 2012

Norish Karman dapat hak 3 anak


SHAH ALAM: “Alhamdulillah, saya amat bersyukur. Sebelum ini saya rasa dalam keadaan tak menentu, ya atau tidak mereka (anak-anak) akan bersama saya atau sebaliknya,” kata aktres, Norish Karman dalam nada sebak di Mahkamah Tinggi Syariah di sini, semalam.
Norish yang terkenal melalui drama Spa Q itu berkata demikian di luar mahkamah selepas Hakim Syarie Zainor Rashid Hassin memutuskan hak penjagaan ketiga-tiga anak diberikan kepadanya selaku plaintif dalam kes difailkannya pada 10 Oktober 2008 itu.

Norish berkata, walaupun mendapat hak penjagaan ke atas Muhammad Haqiem Armany, 13, Muhammad Hardy Amieran, 9, dan Putri Hany Amanda, 8, itu tidak bermakna mereka tidak boleh berjumpa bapa mereka, Datuk Hashimuddin Abdul Kadir.

“Walau apapun, mereka tetap akan berjumpa bapa mereka, tetap kena hormat kepada bapa,” katanya yang hadir ke mahkamah memakai jubah dan bertudung hitam. Terdahulu pada prosiding semalam, mahkamah membuat keputusan itu selepas mendengar keterangan dan pilihan dibuat ketiga-tiga kanak-kanak berkenaan secara sukarela dan tanpa paksaan. Mereka ditemu bual Zainor Rashid kira-kira 30 minit di dalam kamar bagi membolehkan ketiga-tiga kanak-kanak itu membuat pilihan di hadapannya sama ada mahu tinggal bersama ibu atau bapa mereka.

“Selepas mendengar keterangan dan pilihan anak yang dibuat secara sukarela, hak penjagaan anak diserahkan kepada plaintif (Norish) iaitu ibu,” kata Zainor Rashid dalam keputusannya. Pada prosiding itu, peguam syarie, Amli Embong yang mewakili Norish memaklumkan kepada mahkamah bahawa defendan, Hashimuddin dan peguamnya, Muhamad Burok tidak hadir ke mahkamah kerana peguam mempunyai prosiding lain.

Bagaimanapun, defendan bersetuju supaya prosiding itu diteruskan tanpa kehadiran defendan. Norish atau nama sebenar Nor'asikin Karman, 36, dan Hashimuddin, 63, berkahwin pada 11 Januari 1998 di Perlis dan pasangan itu bercerai di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya dekat sini, pada 15 Julai 2008.


Di samping itu, Norish turut memfailkan tuntutan harta sepencarian serta tuntutan nafkah anak-anak termasuk permohonan supaya disediakan kenderaan dan rumah.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters