Jom Buat Duit

Tuesday, 9 October 2012

Black mahu saman penulis gosip

DIA tekad mahu menyaman penulis gosip itu. Itu kenyataan terbaharu daripada penyanyi yang dikenali dengan nama Black ini. Nama Black tiba-tiba menjadi kontroversi apabila dia dikhabarkan bercuti bersama kekasihnya dan menginap di sebuah hotel di sana.
Biarpun sudah mengakui kepada media bahawa percutian bersama kekasihnya pada awal tahun lalu itu turut disertai oleh tiga lagi rakan mereka, namun Black kesal apabila isu tersebut dikaitkan pula dengan agama.

Selepas gosip tersebut muncul menerusi sebuah akhbar mingguan, amarah Black sememangnya tidak dapat dibendung lagi.
Ini kerana penulis gosip tersebut bukan sekadar mendakwa Black dan kekasihnya itu bersekedudukan, tetapi turut melabelkan Black sebagai tidak ada agama kerana melakukan perkara itu (bersekedudukan).

Berkesempatan mengadakan sesi fotografi khas bersama Black, pemilik nama sebenar, Hanifah Md. Hanafiah, 25, meluahkan isi hatinya kepada Kosmo! bahawa tuduhan tersebut sangat tidak berasas dan dia nekad mahu menyaman penulis gosip tersebut.

"Kenapa isu ini boleh timbul sekarang, sedangkan cerita saya pergi bercuti bersama kekasih yang kini merupakan bekas kekasih dan rakan-rakan ke Pulau Redang sudah lama.
"Kami pergi ke sana pada bulan Januari lalu. Kalau ingin menulis cerita mengenai saya sekalipun, janganlah sehingga mengaitkan isu agama," ujarnya yang marah dengan penulis ruangan gosip akhbar mingguan tersebut.

Bercadang mahu menyaman penulis gosip tersebut jika dia tahu siapa gerangan individu tersebut, akui Black, sebagai seorang Islam dia masih tahu batas-batas agama dan tidak akan sesekali melakukan perbuatan terkutuk (bersekedudukan) itu.

Kata Black, dia mempunyai ibu dan bapa yang mendidiknya dengan baik. Malah, dia juga tahu hukum agama hasil pengajian menerusi sekolah agama ketika bergelar pelajar.
"Orang tengok saya sentiasa senyum dan baik, tetapi janganlah buli saya. Mungkin saya tidak ada kontroversi dan penulis tersebut sengaja menciptanya. Kalau kontroversi itu membina, saya boleh terima. Namun yang menjatuhkan (reputasi), saya tidak boleh terima," jelasnya yang sehingga kini masih terasa hati dengan penulisan penulis gosip tersebut.

Ditanya adakah dia menyesal dengan perbuatannya pergi bercuti bersama rakan-rakan, ungkap Black, sebagai individu, dia ada hak untuk bercuti dengan siapa dan ke mana sahaja. Dia tidak perlu berasa kesal kerana tidak melakukan perbuatan yang dilarang ketika bercuti.

Kaki perempuan
Mengulas mengenai hubungan cintanya, jelas Black, sejak beberapa bulan lalu dia dan kekasihnya itu sebenarnya sudah tidak bersama lagi.

"Kalau ikutkan kami akan bertunang pada Hari Raya Haji ini, tetapi nak buat macam mana sudah tidak ada jodoh," jelasnya yang sudah menjalinkan hubungan cinta dengan gadis yang dirahsiakan identitinya itu sejak empat tahun yang lalu.

Masih bersedih dengan perpisahan itu, ujar Black, dia kini trauma untuk bercinta lagi.
"Buat masa ini saya masih trauma untuk bercinta lagi setelah hubungan saya dan dia yang sekian lama terjalin putus," ungkapnya.

Dikaitkan dengan isu 'kaki perempuan' dan ramai kawan wanita sebagai punca perpisahannya dengan kekasihnya itu, bidas Black, ia bukan disebabkan orang ketiga tetapi perpisahan mereka angkara kurang persefahaman.

"Muka macam saya ini boleh jadi playboy ke? Sebenarnya saya ramai kawan wanita. Mungkin bila saya keluar, mereka yang melihat kata saya sedang bercinta. Saya hanya mempunyai seorang kekasih. Hanya dia sejak dulu lagi. Namun, hubungan kami juga sudah terputus," ceritanya.
Ditanya mengenai ciri-ciri wanita idamannya, kata Black, wanita tersebut harus melebihi ibunya. Ulasnya, jika ibunya dapat menjaga dirinya dengan baik, dia mahukan wanita yang dapat menjaganya lebih baik daripada ibunya sendiri.

Kuasai carta iTunes
Buat masa ini lagu Teman Pengganti nyanyian Black bersama Malique begitu popular di carta iTunes. Menduduki carta nombor satu selama seminggu, akhirnya lagu tersebut tewas dengan lagu Psy, Gangnam Style. Menariknya, Teman Pengganti telah meraih tontonan melebihi 700,000 sejak enam hari dimasukkan ke dalam laman web YouTube.

Menurut Black, dia bersyukur kerana lagu-lagu nyanyiannya termasuk Teman Pengganti diterima peminat.
"Alhamdulillah, sejak single pertama saya lagi, Aku Cinta Sayang Kamu dan single seterusnya iaitu Sofea Jane, peminat dapat menerimanya," ujarnya.
SEJAK menjadi penyanyi lebih tiga tahun lalu, ini merupakan kali pertama karier Black dilanda kontroversi. Dia didakwa bersekedudukan dengan bekas kekasihnya sewaktu bercuti ke sebuah pulau pada awal tahun ini.


Berterima kasih kepada Malique kerana memilihnya untuk menyanyikan lagu Teman Pengganti, kata Black, kejayaan lagu itu sebenarnya disebabkan lirik dan melodi yang indah.

Black juga mengakui cukup bertuah kerana Malique memilihnya untuk menyanyikan lagu tersebut.
"Sebelum ini, Malique banyak memilih penyanyi-penyanyi hebat untuk menyanyikan lagu-lagu dia seperti Jamal Abdillah dan Datuk M. Nasir. Mungkin saya dipilih kerana saya ada kelebihan," akuinya merendah diri.

Ditanya mengenai kontroversi kematian Malique menerusi lagu Teman Pengganti, dedah Black, lirik yang ditulis Malique terlampau mendalam sehingga menyebabkan peminat yang mendengarnya mengaitkan lagu tersebut dengan diri Malique.

Menurut Black lagi, Malique kelihatan sihat dan tidak menderita sebarang penyakit.
"Semasa sesi rakaman lagu Teman Pengganti, Malique kelihatan sihat sahaja. Malah, dia banyak memberi panduan kepada saya untuk mendapatkan feel lagu ini," dedah Black.

Kosmo

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)