Jom Buat Duit

Saturday, 13 October 2012

Kontroversi permitdan cium Randy


SEJUJURNYA, sebelum nama Randy Pangalila menjadi satu topik hangat kerana isu permit yang dibangkitkan oleh Presiden Seniman, Zed Zaidi, bukan satu industri, jauh sekali satu Malaysia mengenali pelakon tersebut. Mendengar namanya sahaja sudah pelik.

Jika ada yang mengenalinya pun, golongan tersebut merupakan pelanggan saluran berbayar Astro yang menyiarkan kisah romantik pasangan kekasih antara dia dengan pelakon genit Elfira Loy menerusi telefilem Mimpi Sampai Ke Bintang yang ditayangkan pada tahun lalu.

Namun, selepas isu tersebut dibangkitkan, nama Randy naik mendadak. Dalam laman blog dan internet, ramai yang mencari siapa gerangan pelakon Indonesia yang dipertikai permit kerjanya di Malaysia oleh Presiden Persatuan Seniman (Seniman), Zed Zaidi. Maka, hari ini, semakin ramai yang mengenali, malah terus jatuh cinta dengan sosok kacak Randy.

Randy, 22 tahun, berasal Surabaya, Indonesia cukup bertuah. Dia masuk ke dalam bidang seni Indonesia secara tidak sengaja apabila dipelawa oleh sebuah agensi yang melihat potensi dirinya mampu menjadi seorang pelakon yang baik beberapa tahun lalu.
Maka, sejak itu, dengan bakat lakonan yang ada, Randy mendaki populariti menerusi banyak sinetron termasuk yang telah mempopularkannya, sinetron Nada Cinta dan Cinta Fitri yang dibuat sebanyak 1000 episod selama empat tahun.

Pada pandangan mata kasar dalam pertemuan pertama kali pada sidang media drama bersiri Dalam Hati Ada Taman yang bertempat di Flora Café, Amp Walk, Kuala Lumpur, baru-baru ini, tidak hairan mengapa dia boleh menjadi begitu popular.

Seorang yang cukup merendah diri, sopan dan peramah, Randy petang itu melayan segala persoalan yang dilontarkan dengan cukup baik. Antara yang dijawab Randy adalah berkenaan isu permit, tentang kekasih hati, serta kepuasannya berlakon bersama produksi di Malaysia, khususnya bekerjasama dengan penerbit Michael Ang serta Elfira Loy.

Isu pertama yang diajukan kepadanya berkaitan dengan kontroversi permit.
Sambil menghela nafas, dengan tenang Randy mula memberi hujah bagi mempertahankan dirinya. Mengaku dia sedar tentang isu permit yang ditimbulkan, ujar Randy, ia sebenarnya tidak lebih daripada salah faham sahaja.

“Saya melihat isu ini sebagai satu salah faham sahaja. Jadi saya tidak mahu memperbesarkan isu ini. Sebenarnya, daripada pihak produksi Micheal Ang, mereka telah mendapatkan semua keizinan untuk saya berlakon di sini kerana bagi saya itu perkara paling utama buat diri saya.
“Sebelum hadir ke Malaysia untuk berlakon, soalan pertama yang saya tanyakan ialah adakah saya telah mendapat keizinan berlakon di sini (Malaysia).

“Ini kerana saya sedar saya pelakon luar dan tidak mahu menjadi seperti pendatang. Saya rasa semuanya telah jelas dan permasalahan ini hanyalah salah faham,” jelas Randy panjang lebar.


Sementelah, akui Randy, dia begitu selesa berlakon di Malaysia. Bukan kerana mendapat layanan istimewa, jauh sekali menerima bayaran lumayan melebihi bakat seni anak tempatan, sebaliknya, cara kerja produksi di sini membuat dia jatuh cinta dan tidak menolak untuk berlakon dengan mana-mana produksi tempatan.
“Sebagai seorang pelakon, mengikut dari segi kepuasan bekerja, saya akui lebih gemar dengan cara di Malaysia. Ini kerana saya mampu membaca skrip dan menghayati serta menjiwai watak yang diberi dengan lebih baik kerana waktu kerja yang tidak terburu-buru membuat saya boleh lebih fokus.
“Namun, pada hakikatnya, di mana-mana juga (bekerja di Indonesia atau Malaysia) sama. Cuma di sini, saya suka kerana dapat mengetahui pengakhiran cerita berbanding di Indonesia,” ujar Randy yang telah terlibat dalam dua buah karya Michael Ang setakat ini.

Randy bagaimanapun kemudian memberitahu, secara jujur, dia memperoleh pendapatan yang lebih lumayan di Indonesia.

Katanya: “Jika mengikut bayaran pula, bayaran yang diterima di Indonesia lebih lumayan kerana kami menerima bayaran setiap hari. Ini kerana

penggambaran dilakukan dalam tempoh yang lama sehingga boleh mencecah setahun atau dua tahun.”
Beralih bicara kepada soalan peribadi, dia saat diajukan tentang teman wanita, Randy hanya tersenyum. Tanpa berselindung, dia mengaku sudah punya kekasih hati dan telah dua tahun menyulam cinta dengan seorang pelakon sinetron.

“Ya, saya sudah punya cewek (teman wanita) di Indonesia dan kami sudah berpacaran sejak dua tahun lepas. Dia juga merupakan seorang aktres di Indonesia dan kami pernah berlakon bersama dalam sinetron Nada Cinta,” ujar Randy tenang.

Randy yang pada mulanya agak keberatan dan segan untuk berkongsi siapa sebenarnya wanita yang telah mencuri hatinya, akhirnya akur dengan ‘peluru soalan’ media.
Jelas Randy sedikit segan: “Namanya Michella Putri dan berumur 19 tahun. Tapi, kami sudah sebulan tidak bertemu kerana masing-masing sibuk dengan jadual karier. Sudah tentu saya rindukannya dan mengerti kesibukan masing-masing. Kini kami hanya berhubung melalui Skype.”

Ditebak persoalan tentang perancangan masa depannya bersama aktres muda itu, bicara Randy, walaupun mereka serius bercinta, namun perancangan untuk ke fasa seterusnya belum direncanakan lagi. Tambahnya, dia sendiri menyasarkan untuk berkahwin dalam masa tiga tahun, namun tetap menyerahkan segalanya pada Tuhan.

Adegan cium
RANDY berduet dengan Marsha Milan Londoh untuk lagu tema Dalam Hati Ada Taman yang berjudul Selalu Milikmu.

Bercerita tentang penampilan terkininya bersama Elfira Loy dalam drama bersiri Dalam Hati Ada Taman, Randy terpaksa berhadapan pula dengan isu salah satu babak bercium bersama pelakon tersebut.
Menjawab isu tersebut, tutur Randy, drama tersebut berlandaskan genre romantik komedi. Jadi, kewujudan babak cium tersebut dilihat relevan dengan genre romantik yang diketengahkan.

“Saya bukan mencium Elfira betul-betul, kerana itu hanyalah sudut kamera yang pintar dan kreatif yang telah menampakkan seperti saya mencium dia. Ini merupakan sebuah naskhah romantik komedi, jadi mungkin babak seperti itu hanya mahu meperlihatkan sisi romantik itu sendiri. Itu sahaja. Tidak lebih daripada itu,” jelas Randy tentang kontroversi tersebut.

Drama bersiri 13 episod yang turut menampilkan Amy Mastura, Sharifah Shakinah, Rizman Khuzaimi dan Amar Asyraf akan mula bersiaran pada 29 Oktober ini di saluran Astro Ria, pukul 9.30 malam.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)