Jom Buat Duit

Tuesday, 30 October 2012

Que Haidar akui selektif


KELUARGA bahagia. Que dan Linda bersama tiga permata hati mereka, (dari kiri) Ratu, Qalif dan Cleopatra.


BAKAT Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar, atau lebih mesra disapa Que Haidar dalam bidang lakonan tidak perlu disangkal lagi.
Kehebatannya beraksi dalam filem-filem pecah panggung seringkali meninggalkan kesan yang mendalam di hati para peminat. Antara filem-filem popular lakonannya termasuklah KL Menjerit 1, Zombie Kampung Pisang, Castello dan Cinta.

Walau bagaimanapun, selepas mengakhiri zaman bujangnya dengan pereka tari terkemuka, Linda Jasmine kira-kira dua tahun yang lalu, pelakon yang pernah menerima anugerah Aktor Harapan Festival Filem Malaysia ke-19 ini mengambil keputusan untuk memperlahankan langkahnya dalam bidang lakonan.

Keputusan yang diambil olehnya ketika itu nyata mengejutkan banyak pihak termasuklah penggiat industri filem tanah air dan juga para peminatnya. Ada yang mengatakan Que 'memilih bulu' dan hanya akan bekerja dengan orang-orang tertentu sahaja.
Ada juga cakap-cakap nakal yang menuduh Que agak cerewet dalam pemilihan skrip yang ditawarkan kepadanya.

Ikuti penjelasan Que mengenai isu berkenaan ketika ditemui di majlis cukur jambul anak keduanya yang kini berusia kira-kira tujuh bulan, Tengku Cleopatra Haidar.
Majlis yang berlangsung di Restoran Songket, Jalan Yap Kwan Seng, Kuala Lumpur kelmarin itu turut dihadiri dua lagi anak mereka iaitu Tengku Ratu Haidar, 2 tahun, dan anak Linda daripada perkahwinan terdahulu, Qalif Khan, 12 tahun.

Kosmo!: Benarkah Que cerewet dalam memilih skrip filem?
QUE: Memang tidak dinafikan, saya agak selektif dalam pemilihan skrip. Saya kini telah bergelar bapa kepada tiga orang cahaya mata, jadi saya harus peka dengan beberapa perkara sebelum saya menerima tawaran berlakon sesebuah filem. Antara perkara yang harus diambil kira termasuklah waktu penggambaran, lokasi serta jalan cerita itu sendiri.

Jadi, adakah itu sebab utama Que menghilangkan diri selama ini?
Tidak juga. Walaupun saya jarang muncul di kaca TV dan layar perak, saya sebenarnya masih aktif di belakang tabir. Saya agak sibuk mengajar di bengkel serta kelas lakonan. Saya juga sedang berjinak-jinak dalam bidang perniagaan.

Adakah Que akan terus berhenti berlakon selepas bergelar usahawan?
Saya tidak pernah terfikir untuk berhenti berlakon. Seperti yang saya katakan tadi, saya harus meneliti sesebuah skrip itu terlebih dulu sebelum saya menerima tawaran untuk berlakon. Terbaharu, saya akan muncul dengan filem Rock 2, arahan Mamat Khalid yang bakal ditayangkan awal tahun hadapan.

Boleh ceritakan sedikit mengenai filem tersebut?
Dalam filem itu, saya memegang watak sebagai Amy Mat Piah yang tidak mempunyai bakat tetapi menyimpan impian dan bercita-cita tinggi untuk bergelar seorang penyanyi.

Setelah lama menghilang, mengapa Que memilih untuk berlakon filem di bawah arahan Mamat Khalid?
Setelah membaca skrip filem Rock 2, secara peribadi, saya rasakan filem ini adalah antara filem terbaik garapan Mamat Khalid. Dari situ, saya berasa teruja dan timbul minat untuk berkerjasama dengannya buat kali kedua.

Bagaimana kehidupan setelah bergelar seorang bapa?
Alhamdulillah, saya seronok menjadi seorang bapa. Kehidupan saya sekarang tidak hanya tertumpu kepada kerjaya semata-mata. Kini, keluarga menjadi fokus utama bagi saya.

Boleh ceritakan hubungan Que dengan Qalif?
Saya menganggap Qalif seperti anak saya sendiri. Dia rapat dengan saya dan kami sering menghabiskan masa bersama-sama. Qalif sangat sukakan cabaran. Jadi, saya selalu membawanya keluar melakukan aktiviti-aktiviti riadah termasuklah berkhemah di dalam hutan.

Bagaimana pula hubungan Ratu dan Cleo?
Ratu sangat 'gilakan' adiknya Cleo. Di rumah, dia seolah-olah badut dan sering membuat Cleo ketawa.

Sebagai seorang ketua keluarga, bagaimana Que menghabiskan masa bersama-sama isteri dan anak-anak?
Sudah menjadi tradisi, pada setiap malam Jumaat, kami akan berkumpul di ruang tamu dan menonton televisyen bersama-sama. Bagi saya, itu adalah masa yang sesuai untuk bertukar-tukar cerita dan bermesra dengan anak-anak.

Apakah pandangan Que jika anak-anak mahu mengikut jejak langkah Que dan Linda?
Saya rasa setiap kanak-kanak haruslah diberi peluang dan kepercayaan untuk melakukan perkara yang mereka suka. Jika anak-anak saya cenderung ke arah bidang hiburan, saya pasti akan menyokong seratus peratus. Anak kedua saya, Ratu yang kini berusia tiga tahun sangat suka menari. Jadi, saya dan Linda bercadang untuk mendaftarnya masuk ke kelas tarian ballet tahun hadapan.

Kosmo

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)