Jom Buat Duit

Monday, 29 October 2012

Heboh... Elly Mazlein Putus Tunang

TERLALU banyak hati yang perlu dijaga hingga memaksa dia mengunci mulut. Secara peribadi, penyanyi dan pelakon Elly Mazlein akui dia belum bersedia untuk tampil ke depan bercerita sejauh mana kebenaran cerita dirinya yang dikatakan sudah putus tunang hingga mendapat liputan meluas di laman blog dan akhbar, ketika ini.
Ternyata, walau diasak macam mana sekali pun, pemilik nama sebenar Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi ini cukup berhati-hati untuk mengeluarkan sebarang kenyataan.

“Minta maaf, saya belum bersedia nak menjawab sama ada diri saya masih memegang status tunang orang ataupun sudah putus. Apabila sampai masanya nanti, barulah saya bersedia untuk buat kenyataan sama ada ia berita baik ataupun buruk.

“Soal jodoh ini, saya ingin serahkan kepada ketentuan Allah SWT. Kalau ada jodoh kami, alhamdulillah kerana saya sentiasa mengharapkan benda yang baik-baik saja dalam hubungan itu. Saya sangat berharap peminat di luar sana, doakanlah yang terbaik buat kami,” katanya.

Elly juga menafikan dirinya sengaja bermain teka-teki dengan pihak media dan peminat mengenai status dirinya ketika ini.

“Sebagai wanita, saya cuma ingin lebih berhati-hati sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan. Lagipun ini soal yang terlalu peribadi. Insya-Allah, saya akan menepati janji. Berita baik atau sebaliknya, saya tetap akan beritahu pihak media kelak.

“Apa yang pasti, dugaan dalam bertunang ini memang hebat, macam manalah apabila kami sudah berkahwin nanti?. Saya melihat dugaan itu dari sudut yang positif kerana ia akan membuatkan kita belajar, menjadi lebih cekal dan dewasa. Allah sayangkan umatnya dan apa yang diuji itu juga penuh dengan hikmah,” katanya.

Mengimbas majlis pertunangannya sebelum ini, Elly, 32, dan pengarah drama dan filem Azmi Mohd Hatta, 37, mengikat tali pertunangan lebih setahun lalu.

Majlis pertunangan mereka berlangsung ringkas tapi meriah di Dewan Berjaya, Bukit Kiara Equestrian Resort, tanggal 29 Mei tahun lalu. Pasangan yang berkenalan sejak 2009 itu dikatakan bakal bernikah pada Februari lalu, namun ia masih tertangguh.

Soal perancangan untuk berkahwin pula, Elly sendiri mengakui dia memang sudah pun bersedia untuk membina keluarga.

“Pada usia yang mencecah 30-an sekarang, saya juga sudah bersedia untuk berumah tangga tapi soal jodoh ini tetap ketentuan Tuhan. Saya dan Azmi bertunang pada Mei tahun lalu dan kami memang sudah ada tarikh untuk berkahwin cuma tidak beritahu pada orang pun ketika itu.

“Memang sudah menjadi cara saya yang tidak suka kongsi cerita peribadi dengan peminat, sejak dulu. Sama seperti ketika saya nak umumkan berita kami nak bertunang dulu.

“Begitu juga ahli keluarga, mereka sentiasa memberi sokongan padu dari belakang. Keluarga tidak pernah mendesak saya kahwin cepat kerana mereka hanya menunggu apa saja keputusan yang saya buat,” katanya.

Menyentuh perkembangan karier seninya pula, Elly yang lebih sedekad bergelar anak seni mengakui dia tidak ingin melepaskan peluang beraksi dalam filem Awan Dania The Movie arahan Rashid Sibir dan terbitan Tayangan Unggul Sdn Bhd itu.
Filem itu diterajui Scha Al Yahya, Jehan Miskin, Rusdi Ramli dan ramai lagi.

Kali terakhir dia berlakon ialah menerusi filem Tangkai Jering pada 2005. Filem lain lakonannya sebelum ini ialah Gerak Khas The Movie dan Janji Diana.

Elly berkata, dia tertarik beraksi dalam filem itu kerana watak antagonis, Tania yang dilakonkannya ada kelainan dan turut mencabar kredibilitinya sebagai pelakon.

“Saya adalah ahli keluarga baru dalam cerita Dania tapi ia bukan halangan untuk saya mencari keserasian dengan Scha dan Rashid sendiri. Saya pernah bekerjasama dengan Scha dalam drama Bella dan Rashid pula sudah dianggap seperti guru dalam lakonan kerana kami banyak bekerjasama dalam drama terutama dalam cerita seram sebelum ini.

“Saya harap peminat akan dapat menerima kehadiran saya dalam keluarga Dania ini bila menonton filem ini di pawagam nanti,” katanya.
 
Single Sabarlah Hati kisah cinta Elly

ENGGAN mengulas lanjut cerita pertunangannya itu, Elly percaya sampai masanya dia fokus pada ‘single’ terbarunya sekali gus kemunculannya semula dalam bidang nyanyian selepas tujuh tahun tidak ada album baru.

Kata Elly, single berjudul Sabarlah Hati ciptaan Manusia Putih itu terbitan EM Entertainment dan edaran Warner Music Malaysia.

Bercerita lanjut mengenai single itu, kata Elly, ia dirakamkan pada Ramadan lalu dan proses ‘mastering’ juga sudah siap dan ia dibuat di Australia.

Ditanya sama ada ‘single’ itu ada kaitan dengan kisah cintanya sendiri, Elly enggan mengulas lanjut.

“Ramai yang cakap lagu ini adalah kisah cinta saya. Apa yang saya boleh katakan, lagu balada ini pasti akan menyentuh hati peminat kerana ia menceritakan kisah pasangan bercinta yang terputus di tengah jalan dan dalam proses memujuk hati yang luka. Mungkin ia ada persamaan dengan kisah masyarakat di luar sana tapi ia hanya secara kebetulan saja.

“Secara peribadi, saya sangat teruja dengan kehadiran ‘single’ terbaru ini yang akan diputarkan di stesen radio tidak lama lagi,” katanya.

Mymetro

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)