Jom Buat Duit

Saturday 13 October 2012

Eja sahut cabaran


KONTROVERSI Teater Tun Dr. Siti Hasmah bermula apabila Adlin Aman Ramlie menarik diri sebagai pengarah dan digantikan dengan Erma Fatima beberapa bulan lalu. Malah, tarikh asal pementasan yang sepatutnya berlangsung pada 30 Ogos lalu itu turut ditunda dua kali iaitu pada 14 September dan terbaru pada 9 hingga 19 November depan di Istana Budaya, Kuala Lumpur.
Tidak hanya membabitkan pengarah dan tundaan tarikh pementasan, beberapa episod pengunduran pelakon utamanya juga terjadi. Entah kenapa pelakon utama yang membawakan peranan Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali ketika dewasa sering sahaja bertukar tangan.

Selepas pengunduran Erra Fazira pada penghujung Ogos lalu yang dikhabarkan disebabkan faktor jadual, terkini Datin Sofia Jane pula disahkan mengambil langkah serupa atas alasan yang sama.
Ingin mengetahui cerita di sebalik pengunduran Sofia, Kosmo! cuba menghubungi dan menghantarkan khidmat pesanan ringkas (SMS) kepadanya, tetapi malangnya tiada jawapan yang dapat kami terima daripada pelakon filem Perempuan, Isteri dan .....? itu.

Bagaimanapun Kosmo! berjaya menemu bual pengganti Sofia iaitu pemenang Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-24, Eja atau nama sebenarnya Siti Shahrizah Saifuddin, 40. Eja berbicara tentang persiapan dan kesanggupan menjadi Siti Hasmah sebelum teater tersebut dipentaskan sebulan dari sekarang.
Kosmo!: Apa perasaan Eja ketika ditawarkan membintangi peranan utama teater Tun Dr. Siti Hasmah?
EJA: Bohong jika saya tidak berasa gementar. Perasaan saya bercampur baur. Teruja dan dalam masa yang sama gementar. Namun saya akan pastikan perasaan gementar itu bukan menjadi halangan untuk saya melakukan yang terbaik. Sebenarnya perasaan gementar itu bagus untuk menjadikan diri saya lebih bersedia memikul peranan itu nanti.
Apa yang membuatkan anda menerima tawaran ini, sedangkan sudah dua pelakon asal (Erra Fazira dan Sofia Jane) mengundurkan diri?

Saya sahut cabaran Datin Paduka Ummi Aida dan Erma Fatima, malah saya cabar diri untuk terima dan menjayakan peranan ini. Saya tidak mahu ambil tahu kenapa dua pelakon sebelum ini mengundurkan diri.
Apa yang penting, saya akan buat yang terbaik. Bagi saya, tiada satu produksi yang sempurna. Tidak kira ia filem, drama mahupun teater, pasti akan berlaku masalah. Saya bersyukur kerana diberi peluang untuk membawakan watak Tun Dr. Siti Hasmah.
Ini merupakan pementasan pertama anda sejak bergelar anak seni. Kenapa baru sekarang terpanggil untuk menyahut cabaran beraksi di atas pentas teater?

Ya, ini adalah pengalaman pertama saya beraksi di atas pentas teater. Sebelum ini, saya pernah menolak beberapa tawaran untuk berlakon teater kerana faktor masa. Dahulu, sewaktu tidak ada anak, saya terlalu banyak terima tawaran berlakon drama dan filem. Jadi saya tidak mampu untuk buat teater. Kini, sudah ada masa dan ruang yang sesuai, saya terima tawaran berlakon teater.
Berapa lama latihan yang dibuat sebelum pementasan? Adakah sebarang masalah yang timbul?
Saya cuma ada masa sebulan sahaja untuk latihan. Tiap-tiap malam kami akan menjalani latihan. Semuanya berjalan dengan lancar. Saya kena berkorban masa demi anak dan juga pementasan.
Kedengaran sekarang suara anda seperti tidak sihat? Benarkah?
Ya, memang tidak sihat dan tidak cukup tidur, tetapi bila sudah terima sesuatu pekerjaan, saya akan fokus dan lakukan 100 peratus.

Anda sudah bersedia untuk menerima kritikan dengan penampilan sulung di atas pentas teater?
Saya bersedia untuk ditegur dan dikritik, tetapi janganlah menghentam. Kalau mahu tegur, biarlah dengan cara yang berhemah. Saya kena cuba berlakon teater dan tidak perlu takut jika gagal. Apa yang penting, saya kena berusaha beri yang terbaik. Bila kita buat dengan bersungguh-sungguh Allah akan membantu.
Apa harapan anda untuk teater Tun Dr. Siti Hasmah?
Saya mohon pada Allah agar pementasan hari pertama dan seterusnya nanti berjalan dengan lancar.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters