Jom Buat Duit

Tuesday, 27 May 2014

Aaron Aziz dan Siti Saleha Raih Keunggulan

"POPULARITI itu bonus. Jika anda datang ke Malaysia semata-mata mahu mengejar glamor, lupakan sahaja niat itu," lancar bicara pelakon Aaron Aziz.

Aaron melontarkan kata-kata itu selepas ditanya mengenai makna populariti serta legasi yang dibinanya sebagai seorang anak seni di Malaysia selepas menjulang trofi kemenangan Bintang Paling Popular pada majlis Anugerah Bintang Popular 2013 yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) baru-baru ini.

Merungkai maksud tersebut dengan lebih terperinci, Aaron atau nama sebenarnya, Aaron Mustapha Aziz, 38, menjelaskan, banyak perkara lain yang perlu diberi perhatian jika ada antara pelakon dari Singapura yang ingin datang ke Malaysia bagi melebarkan sayap.
"Saya akui, Malaysia merupakan sebuah platform terbesar bagi para pelakon Melayu di Singapura untuk menonjolkan bakat dan mengembangkan karier lakonan.

"Justeru, jika ada yang berhasrat untuk masuk ke pasaran ini (industri seni Malaysia), mereka perlu bersedia dari segi mental dan fizikal sebelum berfikir tentang soal populariti," ujarnya.
Tambah Aaron, selain memasang niat yang betul, apa yang penting sewaktu mencari rezeki di tempat orang adalah menjaga disiplin diri.
"Jika kita betul-betul berusaha dan bekerja berlandaskan niat yang betul, maka apa yang diusahakan itu akan membuahkan hasil," katanya.

Pasaran besar
Mengakui lambakan bakat dari Singapura seperti tidak pernah putus mewarnai persada seni tanah air, Aaron berpendapat, trend tersebut dilihat sebagai satu peluang kepadanya untuk belajar sesuatu yang baharu, bukannya medan untuk bersaing sesama sendiri.

"Saya tidak pernah menganggap kebanjiran bakat dari Singapura sebagai satu saingan. Sejak dahulu lagi, kita sudah sedia maklum dengan penghijrahan ramai artis dari Singapura.
"Malaysia boleh diibaratkan seperti Hollywood bagi kami. Nama-nama seperti Datuk M. Nasir, Ramli Sarip, Allahyarham Loloq serta Hamidah Wahab merupakan antara individu yang pernah dan masih mencipta nama di sini.

"Jadi, tidak menjadi masalah untuk saya terus berkarya dan memenuhi tawaran yang diberikan jika ia kena dengan apa yang saya lakukan kini," ujarnya.
Peranan peminat

Walaupun namanya begitu dikenali di Malaysia, pelakon yang popular menerusi filem Ombak Rindu ini tidak menolak jika menerima tawaran daripada pihak produksi Singapura.
"Saya tidak mempunyai sebarang masalah jika dipanggil untuk berlakon kembali di sana. Malah, saya baru sahaja bersetuju untuk membintangi sebuah telefilem khas di Singapura tidak lama lagi," ujarnya.
Setelah dua kali memenangi anugerah yang sama, Aaron menyifatkan kemenangan kali kedua itu sebagai hadiah serta hasil kerja yang kuat oleh kelab peminatnya, Aaronatics.
"Sejujurnya apabila melihat kepada pencalonan bagi setiap kategori pada kali ini, semuanya terdiri daripada artis-artis muda.

"Disebabkan itu, saya langsung tidak meletakkan sebarang harapan untuk menang. Alhamdulillah, berkat sokongan dan kepercayaan para peminat.
"Saya sangat bersyukur dengan kesungguhan yang ditunjukkan oleh ahli kelab peminat saya.
Bebas kontroversi

Pada malam itu, nama Siti Saleha tiba-tiba menjadi sebutan apabila pelakon yang pernah popular menerusi drama Nora Elena itu memenangi anugerah bagi dua kategori besar, iaitu Pelakon Filem Wanita Popular dan Pelakon TV Wanita Popular.

Mengalahkan nama-nama seperti Erra Fazira, Lisa Surihani dan Nora Danish, Saleha atau nama sebenarnya, Siti Saleha Mohd. Baharum, 24, sendiri ternyata terkejut dengan kemenangannya itu.
Namun, jelas adik kepada vokalis kumpulan Bunkface, Sam ini, pengiktirafan tersebut kini menjadi bukti kehadirannya dalam bidang lakonan disedari oleh khalayak umum.
"Apabila kita memenangi sebarang anugerah, pasti akan ada pihak yang memandang kita dengan lebih serius. Sudah lama saya mengimpikan untuk merasai saat-saat seperti itu.

"Saya percaya, selain dapat mengembangkan jumlah pengikut, anugerah seperti ini juga mampu membuka lebih banyak peluang kepada saya untuk mengembangkan karier sebagai seorang pelakon," katanya yang tidak meletakkan sebarang harapan kerana menyifatkan saingan pada malam itu begitu kuat.
Mengulas mengenai tawaran berlakon yang bakal diberikan kepadanya selepas ini, Saleha memberitahu, sebelum menjulang anugerah tersebut, dia sudah tersedia selektif dengan watak-watak yang ingin dilakonkannya.

"Saya tidak semborono ketika memilih watak. Saya sukakan cabaran dan lebih mementingkan kualiti berdasarkan apa yang akan saya lakonkan.
"Jadi, istilah selektif itu perlu bagi memberikan saya peluang mencuba watak yang berlainan bagi setiap drama atau filem yang saya lakonkan," tutur gadis berdarah campuran Melayu-Inggeris itu.
Ketika disoal mengenai statusnya sebagai artis bebas kontroversi, Saleha berkata, dia bersyukur kerana tidak pernah terjebak dengan sebarang gosip sehingga mampu memburukkan namanya.
"Alhamdulillah, sepanjang saya bergelar pelakon, saya tidak pernah dikaitkan dengan gosip-gosip yang kurang enak.

"Siapa yang mahu dilanda kontroversi? Kalau boleh, apa sahaja yang berkaitan dengan kontroversi saya akan tolak ke tepi. Insya-Allah, saya akan cuba untuk mengekalkan imej bersih ini hingga bila-bila," tuturnya sambil tersenyum.

Melanjutkan perbualan mengenai teman lelaki baharunya, gadis kelahiran England ini lebih selesa untuk tidak menghebahkan kisah cintanya kepada media.
"Saya lebih selesa untuk tidak membicarakan soal cinta. Apa yang saya boleh beritahu, dia berasal dari Portugal dan kini bekerja di sebuah syarikat kewangan di Kuala Lumpur," katanya mengakhiri perbualan. Kosmo

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)