Jom Buat Duit

Tuesday 6 May 2014

Selamat Penganting Baru Buat Misha Omar

ANTARA senyuman dan tangisan, dua emosi tersebut bersulam tanpa henti sepanjang hari Jumaat itu. Tarikhnya, 2 Mei 2014.
Ada sebab besar mengapa emosi itu bercampur-baur dalam diri penyanyi Misha Omar atau Samihah @ Aishah Omar.

Dia akhirnya berjaya bernikah dengan lelaki yang telah lama menjadi separuh dirinya, Firos Ezzwan Rossly atau Firos selepas dua kali perancangan bernikah ditangguhkan.
Sementelah usia lapan tahun berkenalan - bercinta - putus - bercinta semula dan bertunangan sudah cukup lengkap untuk membuat mereka bersatu.

Dengan sekali lafaz, maka bersatulah dua hati itu di hadapan jurunikah Imam Masjid Mukim Chempaka, Ustaz Ahmad Khamil Mat dan lebih 200 tetamu yang terdiri dalam kalangan ahli keluarga kedua belah pihak dan sahabat terdekat.

Tiada sebarang wang yang diterima wanita berusia 32 tahun itu. Sebaliknya, dia hanya menerima seutas gelang emas sebagai simbolik mas kahwin serta berbalas lima dulang hantaran.
Namun, ibu mertuanya, Asmah Kenin telah menghadiahkan seutas rantai emas sebagai cenderahati menerima kehadirannya dalam keluarga juruterbang tersebut.

Bercakap mengenai tindakan tidak menerima wang, Misha menyifatkan seperti mana tinggi dan mahalnya nilai emas, begitulah nilai cinta mereka.
"Duit boleh habis, tetapi simbolik mahalnya emas, sama seperti cinta kami yang selama lapan tahun ini sempat dilanda badai yang bukan sedikit, namun tetap utuh. Insya-Allah saya berdoa agar hubungan cinta dan rumah tangga kami harmoni," katanya.

Bagi Firos pula, cinta yang dimeterai dengan ikatan perkahwinan memberi satu tanggungjawab yang baharu buatnya untuk membahagiakan dan melaksana amanah seorang suami dengan sebaik mungkin.

Sementara majlis pernikahan berlangsung lancar pada sebelah pagi, pada sebelah malam, saat meraikan kemenangan cinta mereka di Hotel Renaissance Kota Bharu, Kelantan, Misha yang begitu jelita dalam persalinan pengantin songket kontemporari ciptaan pereka busana Syaiful Bahrim meluahkan rasa.

"Ini rezeki berkat kesabaran saya dan suami. Ini bukti bahawa saya bukan janda seperti yang difitnah sebelum ini. Hanya lelaki ini (Firos) yang saya nikahi," ada baur sebak dan gembira dalam pengakuan tersebut.

Misha turut menyelitkan sebuah pesanan buat kakaknya yang juga pengurus yang telah menguruskan kariernya lebih 10 tahun lalu, Mimie.

Pesan Misha, supaya selepas pernikahannya, Mimie boleh berhenti memikirkan tentang dirinya, sebaliknya sama-sama menjalani satu fasa baharu dalam kehidupannya.

"Mimie, sila fikirkan tentang diri anda sendiri kerana saya kini telah bersuami. Saya harap kita sama-sama akan dapat merentas fasa baharu dalam hidup dengan baik. Jangan bimbang kerana adikmu ini akan berusaha untuk belajar menjadi lebih baik," luahnya yang disambut juraian air mata oleh Mimie yang juga merupakan tulang belakang majlis perkahwinannya pada hari itu.
Sebelum rasa itu dihamburkan, adik penyanyi itu, Nina terlebih dulu memberi sebuah ucapan yang membuat lebih 400 tetamu tergamam sendiri.

Dalam canda ucapannya, Nina mengakhirinya dengan deraian air mata dan turut menyifatkan perkahwinan Misha sebagai sebuah perjuangan panjang yang berakhir dengan kemenangan besar.
Katanya: "Ma, saya harap selepas ini tidak ada lagi yang menelefon dan bertanya tentang hal bukan-bukan tentang Misha.

"Buat kakak, saya harap anda sudah boleh berhenti menangis kerana anda sudah menang besar dengan kesabaran yang anda lalui selama ini."

Perkara yang mereka bangkitkan itu cukup relevan dan terkesan kerana Misha sebelum ini didakwa telah berkahwin dan menyembunyikan status janda kepada seorang usahawan.
Justeru, apabila penyanyi yang sinonim dengan lagu-lagu cinta itu bernikah dengan Firos, seluruh keluarganya menyifatkan hari bersejarah tersebut sebagai hari kemenangan mereka semua.

Tidak mempunyai sebarang perancangan keluarga, akui Misha pada usia bukan lagi muda, dia dan Firos mahu segera menimang cahaya mata. Namun, ia bergantung kepada rezeki yang Tuhan berikan buat mereka.
"Memang saya sudah punya seorang anak (Adam Emir, anak angkat), namun saya mahu merasa jadi wanita hamil dan kembali menguruskan seorang anak kecil seperti pernah saya lalui sebelum ini," kata Misha.

Bercakap tentang kerjaya seninya pula, Misha memberitahu, dia akan terus aktif menyanyi, tetapi selektif terhadap tawaran berlakon supaya tidak melanggar sensitiviti sebagai seorang isteri dan mempunyai keluarga yang besar untuk diberi perhatian.

Majlis pernikahan dan persandingan yang berlangsung sempurna seperti yang diinginkan, ironinya sempat berhadapan masalah.

Akui Misha, 10 hari sebelum majlis berlangsung, pihaknya menarik diri untuk memakai khidmat pihak pengurusan majlis dari Kelantan kerana kekangan bajet.

Dalam gundah, dia akhirnya diselamatkan oleh pihak Faboulos yang menawarkan harga dalam bajet mereka.
"Walaupun saya seorang artis, soal bajet masih menjadi masalah buat saya kerana semuanya dilakukan tanpa tajaan. Justeru, kerana kekangan bajet, saya terpaksa menolak khidmat sebuah pengurusan majlis dan digantikan dengan yang lain.

"Alhamdulillah, dalam gawat dengan pelbagai lagi isu yang melanda sebelum majlis berlangsung, semuanya dapat diselesaikan satu persatu.
"Saya kini mohon doa semua pihak agar mendoakan kebahagiaan kami hingga ke akhir hayat," luah penyanyi itu. Kosmo

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters