TOKYO - Ikon pop Jepun, Takuya Kimura ditahan sebanyak dua kali dalam tempoh empat bulan kerana memandu kereta dengan laju, menurut beberapa laporan pada Selasa lalu.
Majalah mingguan Jepun, Shukan Bunshun melaporkan, Kimura yang memiliki ramai peminat wanita di seluruh Asia, didapati memandu 120 kilometer sejam (km/j) di sebuah lebuh raya dengan had laju cuma 80km/j pada September tahun lalu.
Melonjak popular bersama kumpulan pop SMAP dua dekad lalu, bintang pop berusia 39 tahun itu ditahan semasa memandu sebuah kereta Chevrolet Astro menuju ke sebuah lokasi meluncur ombak popular di Jepun.
Ketika kejadian, Kimura ditemani isterinya yang juga seorang aktres, Shizuka Kudo.
Dia yang juga dikenali sebagai Kimutaku dalam kalangan peminatnya sekali lagi didakwa kerana memandu laju di sebatang jalan raya di sini pada Januari lalu.
Ekoran kesalahan tersebut, lesen memandu bintang pop itu digantung.
Mengulas perkembangan itu, seorang jurucakapnya memberitahu dalam satu kenyataan: "Kimura telah membayar denda yang dikenakan dalam setiap kes berkenaan.
"Dia kesal kerana melakukan perkara yang memalukan dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan itu."
SMAP bermula sebagai kumpulan remaja lelaki 20 tahun lalu dan masih popular di Jepun serta Asia. - AFP
No comments:
Post a Comment