Jom Buat Duit

Sunday, 11 March 2012

14 pejuang Palestin maut, 20 cedera

ANGGOTA polis Hamas memeriksa bangkai sebuah kenderaan yang menjadi sasaran serangan udara Israel di Bandar Gaza kelmarin.

BANDAR GAZA, Wilayah Palestin - Sebanyak 14 pejuang Palestin terbunuh manakala sekurang-kurangnya 20 orang cedera dalam beberapa serangan udara Israel ke atas Genting Gaza, kata beberapa pegawai perubatan Palestin semalam.

Tentera Israel berkata, tentera udara rejim Zionis melancarkan 13 serangan udara merangkumi pelbagai sasaran termasuk ke atas seorang ketua militan Palestin.
Serangan tersebut berlaku selepas pihak Palestin membedil puluhan roket dan mortar ke selatan Israel bermula pagi kelmarin dengan menyebabkan empat orang cedera, seorang daripada mereka parah.

Serangan balas yang dilancarkan tentera udara Israel meragut nyawa ketua Jawatankuasa Penentangan Popular (PRC), Zohair Al-Qaisi dan seorang anggota kumpulan berkenaan, Mahmud Hanani.

Susulan kematian mereka, PRC mengancam akan membalas dendam. Sekitar 45 roket dilancarkan tidak lama kemudian ke arah selatan Israel.

Pada masa yang sama, Briged Al-Quds yang merupakan sayap tentera kumpulan Jihad Islam menyatakan siri serangan udara rejim Zionis itu membunuh sepuluh anggota mereka.
"Beberapa pesawat menyerang dua fasiliti pembuatan senjata dan dua tapak pelancar roket di utara Genting Gaza, sebuah kilang membuat senjata di tengah Genting Gaza dan tapak aktiviti keganasan di selatan Genting Gaza," kata tentera Israel dalam satu kenyataan semalam.
"Serangan dilancarkan bagi membalas bedilan roket terhadap komuniti Israel," jelas kenyataan tersebut.

Menurut kenyataan sama, sistem pertahanan peluru berpandu Kubah Besi Israel memintas sepuluh peluru roket yang disasarkan ke bandar Beersheva, Ashdod dan Ashkelon di selatan Israel yang secara keseluruhan dihuni lebih 500,000 penduduk. - AFP

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters