Jom Buat Duit

Wednesday 22 February 2012

Selamat ditemani wanita kental - Ika Nabila

pix_middle

LESBIAN, isu yang sedikit masa lalu pernah mengheret nama bintang Akademi Fantasia 8 (AF8), Adira, apabila dikatakan menjalin hubungan sejenis dengan seorang ‘pengkid’.
Semakin reda gosip tidak berasas itu, keadaan nampaknya kembali meledak apabila seorang lagi bintang AF dikatakan terbabit dalam kegiatan yang sama. Gadis cantik itu adalah pelakon meningkat naik, Ika Nabila Abdul Rahim, 23, dicungkil daripada AF musim ke-6.
Isu ini tercetus apabila foto intim membabitkan Ika dan pengurusnya, Adlin tersebar di internet malah pernah diulas menerusi satu ruangan gosip serta rancangan hiburan tempatan.

“Mungkin Ika dikelilingi golongan seperti itu. Pergi lokasi penggambaran atau ke mana-mana sering ditemani ‘perempuan ganas.’ Sebelum ini Ika pernah ada pembantu peribadi perempuan, tetapi disebabkan Ika pula jenis kasar orangnya, buat Ika jadi rimas bila dia pula yang kena bertindak dan berfikir dalam banyak hal.


“Kalau ambil pembantu peribadi lelaki lagi susah dan takut sekali gus boleh mendedahkan diri dengan pelbagai fitnah. Jadi Ika fikir-fikir eloklah ditemani ‘perempuan-perempuan ganas’ sebabnya mereka ini sedikit kental.

“Walaupun hakikat sebenarnya mereka tetap wanita namun personaliti mereka yang sebegitu (seperti lelaki) buat Ika rasa sedikit terjamin dari segi keselamatan,” katanya.

Bicara Ika lagi, meskipun mempunyai teman rapat di kalangan pengkid, itu tidak bermakna dia tertarik untuk menjalinkan hubungan sejenis. Bagi Ika, wanita dijadikan untuk lelaki begitulah sebaliknya.

Justeru, dia mengharapkan agar suatu hari dipertemukan putera idaman dan melangkah ke alam rumah tangga seterusnya memiliki anak yang menjadi pelengkap hidup wanita.

Ditanya bagaimanakah reaksi keluarganya apabila gosip berkenaan tersebar di dada akhbar selain dipaparkan melalui rancangan Melodi baru-baru ini, Ika tenang menjawab, ayah dan ibu tidak sedikitpun terkejut.

“Keluarga Ika tahu dengan siapa saya berkawan. Emak ayah kenal dengan Adlin juga pembantu peribadi saya, Faza yang beberapa kali pernah ke rumah selain kenal dengan ahli keluarga Ika.

“Ketika gosip lesbian dipaparkan dalam ruangan gosip sebuah akhbar, ayah Ika yang baca dan dia yang maklumkan kepada Ika. Kita minta pendapat dia apa yang harus Ika buat. Ayah cakap kakak tenang saja, kalau tidak salah buat apa nak takut.

“Bila ayah kata begitu, Ika pun tenang saja bila berdepan dengan orang ramai. Tapi yang tak ‘suka’ bila di lokasi penggambaran ada yang tanya betulkah Ika ini lesbian?

“Kadang-kadang Ika malas hendak jawab, sebabnya kalau tidak mengaku sekalipun mereka anggap gosip itu benar. Ika diam dan tidak memberi sebarang reaksi pun tetap juga orang bercakap,” katanya.

Perbualan tidak hanya berkisar isu lesbian saja tetapi juga satu lagi kontroversi membabitkan gadis berasal dari Pulau Mutiara, Pulau Pinang itu. Bagaimanapun gosip kali ini sedikit berbeza dan ia tercetus apabila sekeping gambar Ika memegang segelas minuman yang didakwa arak.

Sekali pandang air berwarna kuning cair menyerupai minum keras atau beralkohol. Walau bagaimanapun Ika menolak dakwaan berkenaan dan mendakwa ia adalah jus ‘sparkling’.

“Gambar itu adalah gambar ‘profil’ BBM (Blackberry Messenger) Ika. Kalau betullah gambar itu gambar arak, takkanlah Ika ini bijak sangat sampai meletakkan ia sebagai gambar ‘profil’ BBM. Buat apa Ika hendak mengaibkan diri sendiri, betul tak?

“Apapun Ika minta maaf kalau gambar itu menyentuh sensitiviti sesetengah pihak. Walaupun gambar itu bukanlah gambar arak seperti didakwa tetapi Ika setuju sekeping gambar boleh membawa seribu spekulasi.

“Ika tidak salahkan sesiapa. Ika minta maaf kerana Ika sepatutnya lebih peka dengan keadaan sekeliling. Ika janji lebih berhati-hati lepas ini dan ‘no more ridiculous pictures’, insya-Allah,” katanya.

Tinggalkan kisah peribadi, Ika yang hadir memenuhi fotografi bersama RAP di Balai Berita, baru-baru ini, terikat dengan penggambaran drama bersiri 13 episod, Apa Celop, arahan Ahmad Idham, yang bakal disiarkan menerusi slot aksi.

Apa Celop adalah adaptasi filem Hantu Bonceng yang diterjemahkan ke bentuk drama. Memegang watak sebagai Munirah, drama bergenre komedi memerlukan Ika memakai tudung.

Selain Apa Celop, Ika turut terikat dengan siri penggambaran Andaiku Tahu arahan Azmi Attan juga untuk siaran 13 episod. Bagaimanapun watak sebagai Ika itu sungguh mencabar kewibawaannya.

“Keluarga mereka berpecah-belah. Dia menjadi mangsa rogol bapanya selain statusnya sebagai anak luar nikah. Dijual ke rumah pelacuran dan selepas insaf, dia mati dilanggar oleh bapanya sendiri,” katanya.

Satu-satunya filem dibintangi Ika akan menjengah panggung pada Ogos nanti iaitu Tanda Putra Negara arahan Datuk Paduka Shuhaimi Baba.

Cerita ini berdasarkan kisah Tun Abdul Razak dan Tun Dr Ismail yang bertindak pantas untuk memulihkan negara daripada kesan konflik perkauman 13 Mei 1969 dan membawa keharmonian serta kestabilan pada negara. Mereka kemudian dilantik sebagai Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri Malaysia kedua.

“Saya sangat bertuah dapat membintangi filem ini. Selama sebulan semua pelakon terbabit dalam kelas lakonan yang dikendalikan ‘Miss Moon’ juga Fatimah Abu Bakar.

“Cabarannya apabila saya perlu menjiwai seolah saya pernah berada dalam pemerintahan zaman itu walhal ramai tidak tahu langsung apa yang berlaku kerana belum lahir lagi masa itu. Tetapi pelakon yang lain termasuk pengarah banyak membantu.

“Abang Rusdi Ramli yang memegang watak sebagai Tun Abdul Razak berjaya menghidupkan wataknya dengan berjaya sekali. Cukup melihat cara dia berjalan, boleh membuatkan kita berasa sebak,” katanya.


Trivia Ika Nabila

  • Bahagian wajah atau tubuh paling disukai
    Gigi
  • Tabiat dianggap unik
    Suka kentut tapi tiada bau...haha!
  • Perkataan yang sering diucapkan
    Wey pasai pa?
  • Filem kegemaran
    Salt
  • Ciri lelaki pilihan
    Kacak, kurang bercakap, lemah lembut, romantik, bukan jenis panas baran atau erti kata lain bertentangan sifat saya
  • Perkara membuatkan anda mudah menangis
    Apa-apa saja hal sensitif membabitkan keluarga
  • Artis Pujaan
    Angelina jolie dan Shah Rukh Khan
  • Jenis bacaan kegemaran
    Novel serius atau thriller hasil tulisan Dale Brown dan Sidney Sheldon
  • No comments:

    Post a Comment

    Klik Untuk Saya k... :)

    free counters