Jom Buat Duit

Monday 20 February 2012

Sejarah 26 tahun

KEJAYAAN acara berprestij, Anugerah Juara Lagu ke-26 (AJL26) mencatat rating 6.5 juta memberi kebanggaan pada pihak produksi TV3 yang bertungkus-lumus memastikan perjalanannya sempurna.
Penonton lazim melihat persembahan penyanyi yang bertanding tetapi cerita belakang tabir pula, ramai kru memerah keringat siang dan malam membuat persiapan acara ini menampilkan tema air memenuhi matlamat dirancang.
Ketua Pegawai Operasi Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Ahmad Izham Omar, mengakui kejayaan AJL26 mencatat rating paling tinggi dalam sejarah penganjuran pertandingan nyanyian itu menjadi pencapaian terbaik produksi TV3. Sepanjang 26 kali dianjurkan, pencapaian tertinggi yang pernah diperoleh sebelum ini ialah dua tahun lalu sebanyak 4.9 juta.

“Mungkin faktor lagu yang bagus dan penyanyi yang bertanding menjadikan AJL26 ditonton ramai. Apa yang jelas, kualiti program ini turut meningkat berbanding tahun lalu.


“Kehadiran bakat baru seperti Najwa Latiff juga menyaksikan ramai peminatnya hadir. Seharusnya, pencapaian terbaik ini memberi cabaran pada produksi TV3 untuk melakukan perkara yang lebih baik pada masa akan datang.

“Saya sendiri puas hati dengan perjalanan acara ini dan tidak kira mana-mana program stesen TV sekalipun, apa yang penting acara seperti ini menjadi platform untuk artis kita bertanding,” katanya ketika ditemui pada acara Penghargaan dan Penyampaian Cek Pemenang AJL26 di Sri Pentas, Bandar Utama, Selangor baru-baru ini.

Di sebalik kemeriahan AJL26 yang diraikan, acara pada petang itu pula suram apabila ketiadaan majoriti artis yang menang sepatutnya hadir menerima habuan masing-masing.

Hanya kelihatan, pencipta lagu Awan Nano nyanyian Hafiz yang dijulang Juara AJL26, Datuk M Nasir bersama penulis lirik Buddhi Hekayat, Datuk Ramli MS yang bertindak pengarah muzik dan pemenang Persembahan Terbaik, Alyah.

Ahmad Izham menjelaskan, ramai pemenang tidak hadir kerana terbabit dengan komitmen seperti persembahan. Walaupun acara itu sudah dimaklumkan awal tetapi situasi itu jarang berlaku pada acara tahun sebelumnya.

Bagi Alyah, dia merancang berkongsi wang kemenangan yang diterima bersama peminat pada majlis kenduri kesyukuran yang akan diadakan di Gelang Patah, Johor pada 27 Februari ini.

“Majlis ini untuk peminat yang banyak menyokong saya selama ini. Saya sebenarnya suka mencuba untuk memberi peningkatan pada karier tetapi melihat pada respon peminat, mereka suka saya menyanyikan lagu berkonsepkan balada.

“AJL26 memberikan impak pada diri saya untuk kumpul duit dan mencari peluang menghasilkan album baru. Mungkin selepas Aidilfitri, saya akan tampil dengan album penuh.

“Album ini diberi judul Kisah Alyah yang menggambarkan kisah perjalanan hidup saya selama ini. Beberapa ‘single’ yang sudah dinyanyikan akan dimuatkan dalam album ini termasuk lagu Kau Bisu dan Realiti diberi susunan muzik baru,” katanya.

Merujuk album memuatkan 10 lagu ini, Alyah bekerjasama dengan Yassin, Azlan Abu Hassan, Manusia Putih, Awi Rafael dan Tam Spider. Memberi tarikan, Alyah juga akan menyelitkan lagu bahasa Inggeris yang pernah dinyanyikannya, Happiness Eve.

Mengenai pemilihan lagu, Alyah akui dia cerewet dalam mencari lagu yang memberi kepuasan pada diri. Seperti lagu popular Tak Mungkin Kerna Sayang, dia merakam sebanyak enam kali untuk puas hati.

“Saya potretkan kehidupan saya dalam penerbitan album baru kali ini. Merujuk AJL26, ia menjadi platform untuk saya tunjuk sesuatu dalam diri saya sebagai penyanyi. Alhamdulillah, permintaan dan tawaran mengadakan persembahan pentas untuk saya bertambah sejak menang AJL26.

“Buat masa ini, saya juga masih dalam perbincangan dengan beberapa pihak untuk persembahan Minggu Setiausaha,” katanya sambil menyimpan impian menjemput Ramli MS bekerjasama penerbitan album barunya.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters