Jom Buat Duit

Wednesday 22 February 2012

Dua bayi rayu nyawa

KUALA LUMPUR: Ketika suami isteri lain menunggu kelahiran bayi sulung dengan perasaan tidak sabar dan gembira, Sharifah Sholehah Mat, 26, dan pasangan reda ketentuan Ilahi apabila bayi lelaki mereka dikesan menghidap masalah jantung.
Sharifah Sholehah berkata, pada usia kandungannya tujuh bulan, doktor memaklumkan bayinya, Eezhan Hakiqi Abdul Halim kini empat bulan, menghidap jantung berlubang, namun ketika itu sukar mengesan keadaan sebenar anaknya sehingga dia dilahirkan.

“Ketika doktor memberitahu keadaan Eezhan Hakiqi (ketika kandungan tujuh bulan), saya dan suami, Abd Halim Marzuki, 28, bersedia mental dan fizikal kerana sedar, dia takkan membesar seperti bayi normal selagi tidak dirawat sepenuhnya.

“Apabila dia dilahirkan, keadaan bertambah buruk apabila doktor memaklumkan jantungnya mempunyai dua lubang dan terletak di sebelah kanan berbanding normal sebelah kiri menyebabkan rawatan segera perlu dilakukan selepas dia berdepan komplikasi.

“Pembedahan pertama November tahun lalu iaitu sebulan selepas Eezhan Hakiqi dilahirkan untuk membetulkan salur darah ke jantungnya dan melancarkan peredaran darah, tetapi rawatan susulan mendapati anak saya perlu dibedah semula.

“Dia didapati tidak mempunyai limpa, sukar membuang air. Keadaannya menyebabkan saya sentiasa risau dan tak lena tidur kerana bimbang dia meragam dan kurang selesa,” katanya ketika ditemui di Pusat Perubatan Gleneagles Intan, di sini, semalam.


Sharifah Sholehah berkata, kos perubatan ditanggung sangat tinggi termasuk pembedahan kedua dijadualkan Sabtu ini, malah pendapatan bulanan suami sebagai kerani bank di Sepang sekitar RM1,777 tidak mencukupi.

Menerima nasib sama seperti Eezhan Hakiqi ialah Tan Chin Sen berusia empat bulan berdepan komplikasi jantung selepas dilahirkan, malah menurut ibunya, Loi Kang Nee, 38, anak bongsunya perlu dibedah membabitkan kos RM60,000.

“Sebagai ibu, memang saya risau nasib anak saya apatah lagi lima abang dan kakaknya tidak mempunyai masalah kesihatan sedangkan dia perlu dijaga dengan rapi sehingga tidur malam pun saya terpaksa tunggu sehingga dia benar-benar stabil.

“Harapan saya, Chin Sen pulih segera dan pembedahan diatur nanti berjaya. Suami, Tan Yong Aik hanya berpendapatan RM1,200, mengumpul barang kitar semula, memang tak cukup tampung kos rawatan.

“Diharap ada pihak sudi membantu kami,” katanya.

Orang ramai yang mahu menyumbang boleh menghantar cek atas nama The New Straits Times Press (M) Berhad dengan menyertakan nama pemohon di belakang cek dan menghantarnya kepada Tabung Kebajikan The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP), Jabatan Kewangan/Unit Kebajikan NSTP, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100 Kuala Lumpur.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters