Jom Buat Duit

Monday 20 February 2012

Aaron Aziz tak menang tangan


 NAMA Aaron Aziz yang kini menjadi perhatian membuatkan wajahnya sering muncul di skrin televisyen mahupun layar perak. Justeru, tidak hairanlah sekiranya jadual pelakon kelahiran negara jiran, Singapura ini cukup padat. Apapun, Aaron nyata lebih selesa menerima tawaran sesuai dan sekadar termampu.
Sekalipun masih terikat dengan jadual penggambaran filem KL Gangster 2 arahan Syamsul Yusof, tawaran membintangi drama juga diperoleh Aaron. Sebaik tamat dengan Skop Production Sdn Bhd, dia beralih pula pada produksi Global Station Sdn Bhd untuk menjayakan drama Adam dan Hawa.
Bagi Aaron, apa diperolehnya adalah rezeki. Bahkan, dia beranggapan mungkin sekarang musim namanya diberi perhatian berikutan beberapa drama dan filem dibintangi diterima baik penonton. Menurutnya, sebagai pelakon dia sudah berusaha menampilkan lakonan berkesan.

“Saya bersyukur penonton boleh terima lakonan dipersembahkan walaupun dari segi pencapaian belum ada apa-apa lagi. Maklumlah, saya masih tidak layak untuk bertanding di festival filem kerana bukan warganegara. Apapun, saya kini menunggu kelulusan dari Bukit Aman untuk dapat taraf penduduk.


“Diharapkan ia berjaya memandangkan saya sudah membina karier stabil di negara ini. Ditambah, keluarga juga selesa menetap di Malaysia dan semoga semuanya lancar,” kata Aaron yang turut mempunyai syarikat produksi, Aaron Aziz Productions yang menghasilkan telefilem Kekasih Awal dan Akhir di TV9.

Menyentuh produk terbaru syarikatnya, Aaron berkata buat masa ini dia sibuk di lokasi penggambaran hingga tiada ruang berkarya. Ujarnya lagi, perancangan memang banyak dan sinopsis pun ada, tetapi untuk mengarahkannya dia tiada masa apatah lagi memberikan komitmen penuh.

Justeru, Aaron berkata sekarang dia mahu menumpukan perhatian pada karier lakonan kerana tawaran tak putus diterima. Malah, ujarnya antara drama dan filem, kedua-dua masih menjadi pilihan. Kata bapa kepada tiga anak ini, dia juga belum bersedia untuk meletakkan diri sebagai pelakon filem saja.

“Saya dapati drama dan filem ada kelompok penonton tersendiri. Menerusi drama atau telefilem, lakonan saya mungkin lebih dekat dengan golongan warga emas di kampung. Manakala, membintangi filem pula mampu menarik perhatian penonton lebih muda yang ada minat ke panggung wayang.

“Jadi, kedua-duanya (filem dan drama) sama penting bagi saya sekarang. Apatah lagi, kemunculan awal saya pun bermula di skrin televisyen sebelum filem. Oleh itu, saya akan menerima apa saja tawaran yang datang lebih dulu. Malah, selagi termampu saya takkan menolak kerana tanggungjawab,” katanya.

Biarpun sibuk dengan penggambaran, Aaron masih sempat meluangkan masa bercuti di luar negara bersama isteri tercinta, Diana Halik. Berangkat ke Tokyo, Jepun baru-baru ini, pasangan sejoli itu mengikuti rombongan Mutiara Motors untuk menyaksikan pameran automotif yang berlangsung di sana. Ujar Aaron, dia baru pertama kali menjejak kaki ke negara Matahari Terbit itu dan ia pengalaman cukup menyeronokkan. Kata Aaron, biarpun penyertaannya dalam rombongan itu sebagai duta kepada syarikat berkenaan, tetapi sangat bermakna. Lebih-lebih lagi, dia berpeluang merasai musim salji.

Menginap selama enam hari di Jepun, Aaron memaklumkan dia amat teruja apabila dibawa berkunjung ke beberapa tempat menarik selepas menghadiri pameran automotif yang disifatkan serba canggih. Kata Aaron, kalau di Kuala Lumpur pun sudah hebat, apatah lagi berkunjung ke negara seperti Jepun.

“Saya akui cukup seronok berkunjung ke Jepun walaupun terpaksa menyahut cabaran makan sushi. Jujur diakui, saya memang tak makan sushi dan demi menghormati pihak Mutiara Motor dan ahli perniagaan Jepun ditemui, saya gagahkan juga hati untuk menikmatinya. Mujur berjaya walaupun payah juga nak telan.

“Selain itu, saya sebenarnya kagum dengan orang Jepun kerana mereka berpegang kuat pada budaya, adat dan disiplin. Tak dinafikan, semua teratur dan rakyatnya begitu mengikut peraturan. Mereka sangat menjaga kebersihan kerana tiada satu sampah pun dilihat di semua tempat dikunjungi,” katanya.

Menurut Aaron, segala peraturan dipatuhi dengan baik dan peraturan itu mampu mendisiplinkan diri. Katanya, kalau mereka merokok pun, di kawasan ditetapkan dan bukan sebarangan atau melanggar peraturan. Aaron berkata, orang Jepun memang sabar kerana sedia mengikut apa yang sudah ditetapkan.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters