HASRAT dua pelumba negara, Azizulhasni Awang dan Fatehah Mustapa untuk menghadiahkan pingat emas dalam acara pecut lelaki dan wanita elit tidak kesampaian apabila masing-masing tewas di final pada Kejuaraan Lumba Basikal Asia (ACC) 2012 di Velodrom Kuala Lumpur, Cheras, pagi semalam.
Perubahan masa dalam jadual acara daripada pihak penganjur ACC 2012 jelas merencatkan perancangan dan fokus dua pelumba elit negara ini, sekali gus menghalang kontinjen negara menambah kilauan emas selepas Mohd. Edrus Yunos menyumbang pingat pertama pada hari kedua kelmarin.
Ini bukan kali pertama jadual acara diubah pada saat-saat akhir dan sepanjang tiga hari pertandingan setakat ini, pihak penganjur turut gagal memaklumkan perubahan tersebut lebih awal kepada pasukan, sekali gus mencetuskan kekalutan kepada pelumba-pelumba yang mengambil bahagian melakukan persediaan dan memanaskan badan.
Natijahnya, kekalutan pada hari ketiga semalam akhirnya memakan diri sendiri apabila Azizulhasni dan Fatehah yang masing-masing turun berdepan pelumba Jepun, Kazunari Atanabe dan pelumba Hong Kong, Lee Wai Sze pada final acara pecut, terpaksa berpuas hati dengan pingat perak sahaja.
Ketua Jurulatih negara, John Beasley kecewa dengan situasi yang mengganggu persediaan dan fokus dua pelumba kendaliannya itu sambil menyifatkannya sebagai satu kerugian yang besar buat Malaysia kerana terlepas dua emas semalam.
“Bagi saya ia bukan salah pelumba kita. Azizulhasni dan Fatehah hanya mengikut masa yang dicatat dalam jadual asal yang diberikan kepada mereka,” kata Beasley semalam.
“Pihak penganjur tidak sepatutnya merombak jadual sesuka hati, kami faham tekanan dan kekangan masa yang dihadapi oleh mereka (penganjur), namun mereka sekurang-kurangnya memaklumkan perubahan masa jadual itu kepada semua pasukan lebih awal.
“Jadi, Azizulhasni dan Fatehah terpaksa menjalani sesi pemanas badan dalam masa yang singkat berbanding lawan mereka, oleh itu ia telah menjejaskan henjutan dan kayuhan mereka dalam acara tersebut,” ujarnya lagi.
Azizulhasni, 24, tumpas dalam dua pusingan dalam aksi final tersebut kepada Watanabe yang mencatat 10.554 saat (pusingan pertama) dan 10.520s (pusingan kedua) manakala pingat gangsa pula dimenangi pelumba China, Zhang Lei.
Fatehah, 23, yang memenangi gangsa dalam acara 500m ujian masa wanita elit kelmarin, turut akur kepada pelumba No. 1 Asia, Wai Sze dalam dua pusingan (12.058s dan 12.134s), sementara pelumba China, Shi Jingjing mengutip gangsa.
Beasley bagaimanapun tetap berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan oleh Azizulhasni dan Fatehah semalam, malah jurulatih dari Australia itu turut optimis dua pelumba kelahiran Terengganu itu akan kembali fokus kepada acara kegemaran masing-masing iaitu Keirin yang berlangsung esok.
“Walaupun mereka kalah hari ini (semalam), saya tetap gembira dengan prestasi mereka sepanjang kejuaraan ini kerana banyak peningkatan yang mereka pamerkan.
“Mereka berdua masih berpotensi memenangi pingat emas dalam acara Keirin nanti, namun dengan syarat jadual pertandingan tidak diubah lagi kerana Fatehah akan turun dalam acara scratch sebelah pagi esok (hari ini) sebelum acara Keirin sebelah petang,” jelas Beasley lagi.
Sementara itu, trio pecut berpasukan lelaki elit, Muhd. Edrus Yunos, Mohd. Fattah Amri dan Muhd. Fakhruddin Dawood gagal menyumbang pingat selepas menduduki tempat kelima di belakang juara, China, diikuti Jepun, Iran dan Thailand.
Selepas berakhirnya saingan hari ketiga ACC 2012 semalam, skuad elit negara setakat ini telah berjaya mengutip satu pingat emas, dua perak dan satu gangsa.
No comments:
Post a Comment