FILEM Istanbul Aku Datang menggandingkan Lisa Surihani dan Berto Kusyairy buat pertama kali di layar perak.
KETIKA menonton filem Istanbul Aku Datang bersempena majlis malam
gala yang diadakan di Golden Screen Cinema (GSC) Pavilion, Kuala Lumpur
baru-baru ini, boleh dikatakan ia merupakan sebuah filem romantik
komedi yang cukup menarik.
Filem terbitan kerjasama Grand Brilliance Sdn. Bhd. dan Red Films itu
mengisahkan tentang seorang gadis bernama Dian (lakonan Lisa Surihani)
yang berkunjung ke Istanbul, Turki terpaksa tinggal serumah dengan Haris
(Beto Kusyairy) setelah ditipu oleh seorang lelaki tempatan.
Di sebalik lakonan mantap yang ditampilkan oleh dua orang pelakon utamanya itu, filem tersebut menimbulkan persoalan.
Ini kerana ia memaparkan kisah lelaki dan wanita bukan muhrim
tinggal serumah dan dilihat sebagai sesuatu yang agak kurang sesuai
dengan agama dan budaya masyarakat Malaysia.
Pengarahnya, Bernard Chauly berkata, pihaknya tidak bermaksud mahu
menggalakkan perbuatan bersekedudukan kerana apa yang dipaparkan dalam
filem itu adalah situasi seorang gadis yang tidak mempunyai pilihan lain
apabila ditipu ketika hendak menyewa rumah.
“Bagi saya, terpulang kepada persepsi penonton terhadap jalan cerita
filem ini, namun sebagai pengarah, saya ingin menegaskan penceritaan
yang ingin disampaikan ialah mengenai insiden lucu yang terjadi
membabitkan watak Haris dan Dian.
“Lagipun mereka cuma tinggal di dalam satu pangsapuri yang sama,
tetapi berlainan bilik dan apa yang berlaku adalah disebabkan keadaan
terpaksa yang dialami oleh Dian apabila ditipu dan semua wangnya habis,”
jelasnya.
Sementara itu, ketika ditanya tentang idea untuk menghasilkan filem
berkenaan, pengarah yang sebelum ini popular menerusi filem Gol &
Gincu dan Pisau Cukur menyatakan, semuanya bermula ketika kali pertama
berkunjung ke Istanbul.
Menurut Bernard lagi, pada Januari tahun lepas, dia bersama penulis
skrip Istanbul Aku Datang, Rafidah Abdullah dan penerbit Red Films, Lina
Tan melancong ke Istanbul.
“Melihatkan pelbagai keunikan sepanjang berada di sana, akhirnya
telah timbul idea dan kami mencapai kata sepakat untuk menghasilkan
sebuah filem yang bercorak romantik komedi.
“Kemudian apabila pulang ke Malaysia, Rafidah terus menghasilkan
skrip dan selepas itu kami telah berbincang dengan pihak Grand
Brilliance untuk menjalinkan kerjasama sehinggalah penggambaran bermula
pada September 2011,” jelasnya.
Mengenai pemilihan para pelakon pula, pengarah berkenaan memberitahu,
dia memilih Lisa, Beto dan Tomok sebagai teraju utama kerana mereka
mempunyai kekuatan tersendiri untuk memainkan watak yang diberikan.
Ujarnya, dia sendiri mengakui sangat berdebar semasa kali pertama
menonton filem arahannya itu, namun sangat berpuas hati dan memuji para
pelakon yang telah menampilkan lakonan yang menarik dan memuaskan.
“Tidak dinafikan terdapat pelbagai cabaran yang terpaksa dilalui
memandangkan ia 100 peratus dilakukan di Istanbul, namun saya tetap
menyahut cabaran yang dilalui semata-mata mahu menghasilkan sebuah filem
yang mampu menghiburkan penonton,” jelasnya.
Kelas lakonan
Bagi memastikan para pelakon dapat menjiwai watak yang dibawa dengan
berkesan, para pelakon telah menghadiri kelas lakonan selama dua minggu
yang dikendalikan oleh Bernard dan penolongnya iaitu Umi Salwana Omar
sebelum bertolak ke Istanbul menjalani penggambaran.
Bagi Beto, kelas lakonan yang dianjurkan itu sememangnya banyak
membantu dirinya untuk memperkukuhkan lagi asas dan mutu lakonan agar
watak yang dibawakan itu dapat menarik perhatian penonton.
“Walaupun saya sudah mempunyai banyak pengalaman berlakon, tetapi
menerusi kelas lakonan tersebut banyak perkara yang saya belajar
terutama menghayati watak sebagai Haris dalam filem ini.
“Berkenaan dengan watak saya pula, sudah tentu ia menampilkan banyak
kelainan berbanding watak romantik yang pernah saya lakonkan sebelum
ini,” ujarnya.
Sementara itu, Lisa yang membawakan watak Dian pula mengakui berlakon
dalam filem tersebut memberikan pengalaman yang berbeza dan gembira
kerana dapat bekerjasama dengan satu pasukan produksi yang mantap.
“Mengenai gandingan dengan Beto dan Tomok langsung tidak mendatangkan
masalah besar. Misalnya, Beto memang sudah berpengalaman luas dalam
lakonan, manakala Tomok pula telah menampilkan lakonan yang baik dan
berkesan,” ujarnya.
Istanbul Aku Datang bakal ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia menjelang 8 November ini.
Kosmo
No comments:
Post a Comment