DIA pernah dikritik kerana berpakaian seksi dengan menyarung gaun terdedah bahagian belakang ketika majlis perkahwinan pelakon Norman Hakim dan Memey Suhaiza tahun lalu.
Terbaharu, penyanyi Amanda Imani, 20, terpalit lagi dengan kontroversi apabila dikatakan mempunyai tatu pada kakinya ketika membuat kemunculan pada majlis pembukaan sebuah butik terkenal luar negara di ibu kota Kuala Lumpur baru-baru ini.
Tidak melatah gosip berkenaan, figura bertubuh montok dan berbibir seksi ini menganggap isu dia dikatakan mempunyai tatu adalah satu gurauan dan asam garam sebagai anak seni yang sedang membina nama.
“Saya tak pernah ada tatu. Tatu pada kaki saya semasa majlis itu adalah pelekat tatu sahaja, ia pemberian seorang kawan dari Amerika Syarikat, saya letak di pergelangan kaki hanya untuk suka-suka,” ujarnya ketika ditemui Kosmo! di Carcosa Seri Negara, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Amanda yang ditemu bual ketika sedang menjalani penggambaran video muzik single terbaharunya, Fobia Cinta mengakui dia tidak langsung tidak menyangka perbuatannya meletakkan pelekat tatu di kakinya akan menjadi buah mulut ramai.
“Saya terkejut apabila ada peminat tanya saya di akaun Twitter, selepas itu ada wartawan hubungi saya untuk minta penjelasan, saya tidak sangka ia akan jadi isu besar pula,” jelasnya.
Tidak tersinggung gosip berkenaan, Amanda menganggap, kontroversi tersebut sebagai satu lumrah yang terpaksa ditempuhi dirinya selaku anak seni.
Pemenang Vokal Terbaik Artis Baru Wanita Anugerah Planet Muzik tahun lalu itu juga memberitahu, selepas ini dia akan lebih berhati-hati dengan sensitiviti masyarakat agar ia tidak disalah anggap nanti.
Dia mengakui baki pelekat tatu itu masih banyak lagi dalam simpanannya.
“Pelekat tatu itu ada banyak lagi, tak tahu hendak buat apa selepas ini. Mungkin nak lekat di tangan pula selepas ini,” ujarnya berjenaka.
Bercerita lanjut mengenai dirinya pula, Amanda yang sudah tidak sabar-sabar lagi untuk menghabiskan pengajiannya di Universiti SEGi, Kuala Lumpur yang dijadualkan pada akhir tahun ini.
Dia yang mengambil ijazah dalam bidang psikologi itu sudah empat tahun mengikuti pengajian tersebut dan kini menunggu masa menamatkan pengajian untuk menumpukan perhatian dalam bidang nyanyian.
“Sebelum ini, aktiviti seni saya terbatas. Jika ada jemputan ketika peperiksaan dan tugasan, saya akan tolak. Selepas ini bila tamat belajar, saya bebas untuk atur jadual menyanyi,” jelasnya yang meminati drama penyiasatan CSI: Crime Scene Investigation.
Amanda juga bertekad selepas ini mahu dirinya lebih dikenali peminat dengan lebih menonjol dalam acara sosial yang melibatkan ramai artis lain.
“Saya rasa nama Amanda hanya dikenali oleh kelompok tertentu, mungkin sebab banyak terima undangan majlis tertutup untuk syarikat korporat. Jadi, selepas ini saya akan menonjolkan diri dalam acara lain yang lebih mudah dikenali peminat,” katanya.
Tambah Amanda, setakat ini dia juga banyak berinteraksi dengan peminat melalui akaun Twitter dan Facebook dan menganggap perkara itu masih tidak memadai untuk dia lebih dikenali.
Disoal mengenai kebolehannya dalam menulis lirik ketika berusia 16 tahun lagi, dia berkata, semua itu hasil tunjuk ajar komposer terkenal, Ajai yang memberi keyakinan terhadapnya untuk menulis lagu sendiri ketika usia itu.
“Kalau Ajai tidak yakin dengan kebolehan saya pada ketika itu, saya tidak akan berada pada tahap sekarang dan saya juga tidak tahu sikap yang suka tulis isi hati dalam sebuah buku boleh menjadi sebuah lirik lagu pula,” ujarnya.
Kata Amanda lagi, dia sebenarnya yang suka memendam rasa jika kecewa dan marah dengan mencatat dalam sebuah buku.
“Ketika kecewa, marah dan sebagainya perasaan itu membuahkan idea untuk saya tulis lirik pula sekarang, idea itu juga datang untuk lirik lagu Fobia Cinta hasil perasaan saya putus cinta akhir tahun lalu,” jelasnya.
Dia mengakui, biarpun perit akibat putus cinta berkenaan, dia tidak mahu lagi menoleh ke belakang dan mahu menumpukan sepenuh jiwa dan raga terhadap dunia nyanyian kini.\
Kosmo
No comments:
Post a Comment