SEJAK memegang status janda setelah bercerai dengan Rizal Ashram
Ramli pada tahun 2008, pelakon cantik, Nora Danish sudah berhadapan
dengan pelbagai cabaran dalam menempuh kehidupan seharian.
Sering dikaitkan mempunyai hubungan dengan beberapa lelaki termasuk
penjaga gol negara, Khairul Fahmi Che Mat, aktres kacukan
Myanmar-Melayu itu pernah berhadapan dugaan paling besar apabila didakwa
menjadi punca keretakan rumah tangga aktor Adi Putra yang juga heronya
dalam filem Aku Terima Nikahnya.
Bagaimanapun, apa yang lebih mengelirukan, Nora sering memberi
kenyataan yang berbeza sewaktu memberi jawapan tentang kekasih hati
baharu.
Sebelum ini, dia pernah membuat kenyataan sedang mengenali seseorang,
rapat dengan ahli perniagaan dan mengaku ada kekasih, tetapi selepas
semua kenyataan tersebut keluar, Nora sering menafikan hal tersebut.
Dia sebaliknya menuding jari dengan mengatakan pihak media kerap
membuat andaian kurang benar terhadap kenyataan yang diberikannya.
Ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem Aku Terima
Nikahnya di TGV Sunway Pyramid, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini,
ibu kepada seorang cahaya mata, Putera Rayqal Ramli, 4, itu bertindak
memberikan jawapan terhadap status dirinya yang sebenar.
Ia sekali lagi jauh menyimpang daripada jawapan tentang dirinya telah dimiliki seperti yang dilaporkan beberapa minggu lalu.
Kosmo!: Sebelum ini Nora ada menyatakan sedang mengenali hati budi
seseorang. Namun, Nora pernah juga membuat kenyataan tidak memiliki
kekasih. Kemudian baru-baru ini Nora menyatakan sedang rapat dengan
seorang ahli perniagaan pula. Boleh jelaskan yang mana satu betul?
NORA: Secara jujurnya saya memang sangat terkejut apabila dikatakan
rapat dengan ahli perniagaan, sedangkan saya tidak pernah membuat
kenyataan sedemikian sewaktu ditemu bual sebuah akhbar dua minggu lalu.
Dalam temu bual tersebut, saya memberitahu buat masa sekarang saya
memang berkawan dengan ramai lelaki, namun tidak terfikir untuk memilih
salah seorang daripadanya untuk menjadi teman hidup saya.
Jadi, bagaimana boleh timbul kenyataan sedemikian?
Semasa saya memberi penjelasan yang sebenar ketika rakan-rakan
wartawan bertanyakan soalan yang menyentuh tentang kehidupan peribadi
terutamanya berkenaan teman istimewa, mungkin ada yang memberi
interpretasi atau tafsiran berbeza terhadap kenyataan saya itu.
Misalnya, apabila saya menyatakan berkawan dengan ramai lelaki, tetapi
tidak mustahil salah seorang daripadanya serasi dengan saya. Tiba-tiba
saya dikatakan sudah rapat dengan seseorang, sedangkan pada hakikatnya
tiada sebarang hubungan istimewa yang wujud.
Setelah empat tahun bergelar ibu tunggal, adakah Nora sudah bersedia menamatkan zaman janda?
Memang saya akui sekarang mempunyai ramai kawan lelaki, namun tiada
langsung perancangan untuk berkahwin dan saya selesa dengan keadaan
sekarang. Buat masa ini saya mahu lebih fokus kepada kerjaya dan
membesarkan Rayqal.
Dalam sebuah akhbar baru-baru ini menampilkan gambar Nora dan aktor
Adi Putra dalam keadaan yang sangat romantik. Tidak risau sekiranya
peminat kembali membangkitkan isu yang mengaitkan anda sebagai punca
berlakunya masalah perkahwinan Adi sebelum ini?
Bagi saya, gambar-gambar tersebut tidak memberi sebarang makna
terhadap kontroversi yang pernah berlaku dan tujuannya sekadar untuk
mempromosikan filem Aku Terima Nikahnya memandangkan kami berlakon
sebagai pasangan suami isteri. Lagipun, kami berdua juga pernah
bergandingan menerusi drama bersiri Tentang Dhia, namun tidak timbul
pula sebarang cerita yang negatif. Sebagai pelakon, kami perlu bertindak
profesional dan saya rasa gambar tersebut tidaklah melampau.
Bagaimana pula dengan gambar Nora yang cukup seksi itu?
Itu semua adalah gambar-gambar lama yang telah diambil sebelum saya
mengerjakan umrah dahulu. Saya tahu ada segelintir peminat yang memberi
persepsi negatif terhadap gambar berkenaan memandangkan mereka sangat
berharap agar saya tidak lagi tampil seksi sekarang.
Apatah lagi, ketika mereka membaca kenyataan yang mengatakan saya
akan bertudung. Saya menyatakan hasrat untuk mengubah penampilan memang
ada cuma tidaklah terlalu drastik, tetapi tidak pernah pula berkata akan
bertudung dalam masa terdekat ini.
Kosmo
No comments:
Post a Comment