Jom Buat Duit

Monday, 29 October 2012

Pengaruh luar biasa Big Bang

TAHUN lalu merupakan tahun istirehat terpanjang buat kumpulan nombor satu Korea Selatan, Big Bang yang dianggotai G-Dragon, T.O.P, Taeyang, Daesung dan Seungri selepas siri kontroversi hangat melanda mereka.

Tanggal 31 Mei lalu menjadi titik hitam buat Daesung yang terlibat dalam kemalangan jalan raya sehingga mengakibatkan kematian seorang penunggang motosikal.
Kemalangan itu menyebabkan Daesung dibekukan daripada aktiviti seni selama tujuh bulan sebelum membuat kemunculan semula pada konsert ulang tahun ke-15 YG Entertainment pada Disember 2011.

Tidak tamat di situ, Big Bang membuat kejutan sekali lagi, apabila anggota paling genius dalam muzik merangkap ketua kumpulan itu, G-Dragon disahkan positif menghisap rokok yang mengandungi dadah jenis marijuana.

Bagaimanapun selepas penyiasatan dilakukan, G-Dragon dibebaskan daripada sebarang dakwaan. Dia didapati tidak menyedari rokok yang diberikan peminat dalam satu parti di Jepun mengandungi dadah.

"Selepas disahkan positif dadah, saya sangat terkejut dan hati ini kuat mengatakan keputusan itu tidak adil. Pada mulanya memang saya tidak percaya.Ini kerana saya tidak melakukannya. Saya tidak tahu bagaimana perkara ini boleh berlaku.

"Akhirnya saya sedar sebatang rokok yang diterima daripada peminat di Jepun menjadi punca kepada keputusan itu. Jika saya menipu, saya tidak berani untuk berhadapan dengan khalayak," katanya dalam satu program temu bual televisyen di Korea Selatan.

Daesung pada mulanya terfikir untuk berehat selama dua hingga tiga tahun selepas kemalangan itu. Semuanya kerana trauma untuk berdepan dengan peminat di atas pentas buat pertama kalinya selepas kejadian itu.

"Memang saya cukup terbeban dan tertekan dengan apa yang berlaku tahun lalu, begitu juga dengan setiap anggota Big Bang. Saya tidak sangka perkara ini boleh berlaku. Apa yang ada dalam fikiran ini, kerjaya saya sudah musnah.
"Saya juga pernah terfikir andai tidak diterima kembali sebagai penyanyi apa yang harus saya lakukan untuk terus hidup, jawapannya tiada. Saya bukanlah pelajar yang cemerlang dan saya juga tidak hebat dalam bidang sukan. Satu-satunya perkara yang saya dapat lakukan dengan baik adalah menyanyi.

"Diberi peluang kali kedua membuatkan saya tidak lagi menoleh ke belakang," luahnya.
Tambah Taeyang, kontroversi yang membabitkan Daesung dan G-Dragon turut membuatkan anggota Big Bang yang lain sedih. Namun, jika kontroversi itu tidak berlaku kemungkinan besar mereka akan berpecah.

"Saya terkejut dan keliru juga dengan semua yang berlaku. Apabila difikirkan kembali, kami telah lakukan dengan baik sepanjang lima tahun bersama Big Bang. Selalunya, selepas lima tahun sebuah kumpulan akan berpecah.
"Jika dua kontroversi itu tidak berlaku, saya rasa Big Bang mungkin berpecah seperti mana kumpulan yang lain. Sekarang, Big Bang menjadi semakin rapat, kuat dan berbeza daripada sebelum ini," kata Taeyang.

T.O.P juga sukar menghadapi saat genting itu. Katanya, terlalu sukar untuknya memandang mata peminat ketika di atas pentas tanpa dua anggota Big Bang.
"Walaupun kami membuat persembahan di atas pentas tetapi saya rasa seperti tidak berdaya tanpa Daesung dan G-Dragon," tutur T.O.P.
Album Alive
Rentetan kontroversi itu, Big Bang hadir dengan album mini kelima, Alive, yang sarat dengan emosi setiap anggotanya. Album tersebut mengandungi tujuh buah lagu dan majoriti lagu-lagunya dicipta oleh G-Dragon.

"Banyak hal yang berlaku pada tahun lalu. Selepas apa yang terjadi kami akhirnya dapat menyiapkan album. Terlalu banyak tekanan tetapi semua anggota Big Bang bersedia memberi seratus peratus komitmen untuk Alive.

"Justeru, terdapat perasaan yang sayu apabila album ini disiapkan.
"Sekarang kami hanya akan memberi fokus pada persembahan pentas dan yang terbaik untuk peminat," ujar G-Dragon mengenai album yang mengambil masa setahun untuk disiapkan itu.
Judul album Alive membawa makna yang besar buat Big Bang. Kata Seungri, lirik lagu Alive menunjukkan situasi sebenar yang berlaku dalam Big Bang.
Menurut T.O.P, mereka memberikan lebih tumpuan dalam pembikinan Alive berbanding album lain.
"Album ini paling sukar dihasilkan sejak kami bergelar penyanyi. Ketika membikin album ini, semua anggota Big Bang mempunyai masalah fizikal dan mental," jelasnya jujur.
Bakat seni

BIG BANG bukan sahaja popular di Asia bahkan aura dan pengaruh mereka merebak sehingga ke Eropah dan Amerika Syarikat.


Selain bergabung sebagai anggota Big Bang, kelima-lima mereka cukup sukses dengan aktiviti solo masing-masing.
G-Dragon pernah muncul dengan dua album solo berjudul Heartbreaker (2009) dan One Of A Kind (2012) serta bergabung dengan T.O.P dalam album GD & TOP (2010).

G-Dragon juga aktif menulis lagu untuk penyanyi lain serta kolaborasi dengan ramai penyanyi dari luar Korea Selatan.

"Menyanyi ketika bersama Big Bang dan sebagai penyanyi solo dua perkara yang berbeza.
"Apabila muncul dengan album solo, saya dapat membikin eksperimen serta menonjolkan ekspresi diri yang tidak pernah dilihat peminat sebelum ini," balasnya yang memberitahu lakonan bukan jiwanya.

Taeyang yang dikenali dengan imej rambut pacak juga telah muncul dengan album mini solo berjudul Hot pada tahun 2008 dengan sentuhan rakan seperjuangannya, G-Dragon; selain album solo penuh berjudul, Solar pada 2010.
Jika bersama Big Bang genre lagunya lebih terarah kepada muzik pop dan rap tetapi untuk album solo, nampaknya Taeyang lebih selesa dengan genre R&B.

Kerjaya solo Taeyang cukup meyakinkan apabila lagu Wedding Dress berjaya menguasai carta lagu popular kebanyakan radio, malah dia juga menerima anugerah Artis Lelaki Terbaik pada Mnet Asian Music Awards dan Seoul Music Awards - kedua-duanya pada tahun 2010.
"Sebenarnya tidak kira solo atau berkumpulan, apa yang penting, di mana sahaja saya berada, lagu yang saya nyanyikan haruslah lagu terbaik," tuturnya.

Anggota Big Bang yang mempunyai pandangan paling luas tentang bisnes , sudah tentu Seungri. Pada usia 21 tahun, dia telah membuka beberapa buah sekolah yang diberi nama Akademi Seungri.
Sekolah seni itu memberi perkhidmatan pendidikan tarian dan nyanyian.
"Biarpun saya penyanyi tetapi saya mahukan pendapatan yang stabil. Selain dapat mencurahkan ilmu kepada pelajar yang berminat dalam seni, kerjaya ini memberi jaminan kepada masa hadapan saya," balasnya.

Walaupun amat berminat dalam bidang perniagaan, Seungri merupakan anggota Big Bang pertama yang terlibat dalam teater muzikal berjudul Sonagi pada tahun 2008 dan Shoting pada tahun 2009.
"Bebanan dan tekanan yang ditanggung lebih besar apabila saya bekerja secara solo tanpa anggota Big Bang yang lain. Tahun lalu, saya telah muncul dengan album mini solo berjudul, VVIP. Album itu bagus tetapi kurang popular.

"Saya sangka saya boleh lakukan semuanya sendiri. Buat masa sekarang saya tidak berminat untuk muncul dengan album solo, mungkin dua atau tiga tahun akan datang," katanya yang menulis enam daripada tujuh lagu yang terkandung dalam album solonya itu.
Sementara itu, dalam kalangan ahli Big Bang, T.O.P merupakan anggota paling banyak terlibat dalam kerjaya lakonan.

Setakat ini, T.O.P telah terlibat dalam lima buah filem dan beberapa buah drama termasuk drama popular, Iris.
Bakat lakonannya itu telah membuatkannya terpilih sebagai pemenang anugerah Aktor Baharu Terbaik dalam beberapa buah anugerah di Korea dan luar negara menerusi filem 71: Into The Fire yang ditayangkan pada tahun 2010.
DARI kiri: Taeyang, Daesung, T.O.P., G-Dragon dan Seungri sentiasa pamer dengan imej yang berbeza setiap kali tampil album baharu.
 
"Lakonan merupakan tempat untuk saya bereksperimen dengan pelbagai watak. Namun, saya tidak mempunyai watak spesifik yang diinginkan. Apa yang penting, saya ingin terlibat dalam sebuah projek yang bagus, berbaloi untuk masa dan tenaga yang dihabiskan.
"Saya lebih selesa memilih watak yang sesuai dengan diri saya berbanding watak yang memerlukan kemahiran teknikal dalam lakonan," balasnya.

Daesung pula merupakan anggota Big Bang yang mempunyai kualiti vokal yang bagus.
Bagaimanapun, dia sehingga kini belum muncul dengan album solonya sendiri kecuali beberapa buah lagu single seperti Cotton Candy, Baby Don't Cry dan lagu terbaharunya Wings yang turut dimuatkan dalam album Alive.

"Peminat boleh menyaksikan sisi lain saya menerusi lagu single yang saya tampilkan terutama lagu Wings yang dibikin selepas kemalangan itu berlaku.
"Lirik lagu itu ditulis sepenuhnya oleh saya dan sangat bermakna. Boleh dikatakan, segala isi hati dan emosi dilarutkan dalam lagu itu dengan bantuan G-Dragon," ujarnya yang turut berlakon dan menjadi pengacara program TV.

Kosmo

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters