Jom Buat Duit

Monday, 22 October 2012

Doakan hubungan saya dan Nabila - Johan As'ari

KEBANYAKAN artis yang sedang hangat bercinta sering berselindung di sebalik kenyataan selamat dan klise iaitu ‘kami hanya berkawan’ dalam percubaan mereka untuk mengelak daripada menjadi bahan gosip media hiburan.
Begitu juga dengan pasangan pelakon, Johan As’ari dan Nabila Huda yang digosipkan sedang bercinta.

Sering menidakkan dirinya mempunyai hubungan istimewa dengan Nabila setiap kali ditanya media, namun dia dan Nabila sering pula dilihat keluar bersama khususnya pada majlis-majlis rasmi.
Khabar angin yang mengatakan mereka berdua sedang asyik dilamun cinta bertiup kencang sejak beberapa bulan yang lalu apabila Johan menghantar status berbentuk romantik di laman Twitter miliknya kepada Nabila.

Walaupun terkejut dengan tindakan Johan itu, Nabila mengakui yang dia amat menyayangi Johan tetapi hanyalah sebagai seorang sahabat.
Baru-baru ini, ketika berlangsungnya sidang akhbar Majlis Anugerah Skrin 2012, suasana menjadi kecoh gara-gara Johan dan Nabila tiba di sana agak lewat.
Difahamkan, mereka berdua terlibat dalam satu kemalangan kecil ketika sedang menuju ke Hotel Royale Bintang, Kuala Lumpur bagi menghadiri majlis tersebut.
Apakah yang sebenarnya berlaku? Kalau tidak bercinta kenapa pula Johan dan Nabila datang berdua-duaan ke majlis tersebut? Ikuti temu bual Kosmo! bersama aktor itu yang dihubungi menerusi telefon baru-baru ini.

Kosmo!: Apakah komen Johan apabila orang ramai mula membuat spekulasi tentang hubungan rapat Johan dengan Nabila?
JOHAN: Seperti semua sedia maklum, saya dan Nabila hanyalah berkawan rapat. Tidak lebih daripada itu. Kami jarang berjumpa kerana masing-masing sibuk dengan kerjaya.

Kenyataan ‘kami berkawan rapat’ sangat klise. Apa pendapat Johan mengenai perkara ini?
Memang agak klise, tetapi itulah realitinya. Bagaimanapun, jika peminat senang dengan hubungan saya dan Nabila, saya harap mereka dapat mendoakan yang terbaik untuk kami berdua.

Jadi, kamu berdua memang mempunyai hubungan istimewa?
Saya akui, setakat ini kami hanyalah berkawan rapat dan hubungan kami begitu akrab. Jika ada jodoh, apa salahnya? Tidak mustahil untuk sepasang kawan baik mendirikan rumah tangga. Jadi saya serahkan selebihnya kepada takdir dan jodoh.

Bagaimana dengan keadaan Johan selepas kemalangan tempoh hari?
Alhamdulillah, saya tidak mengalami apa-apa kecederaan. Cuma kereta saya remuk di bahagian depan.

Boleh ceritakan bagaimana kemalangan itu berlaku?
Saya dan Nabila sedang dalam perjalanan ke Hartamas untuk mengambil kostum selepas habis sesi fotografi di Shah Alam. Selepas melalui Terowong Penchala di Lebuh Raya Sprint kereta kami hilang kawalan disebabkan hujan lebat sehingga berpusing 360 darjah.
Saya dapat mengelak kereta sebelah kiri tetapi terlanggar kereta sebelah kanan dan menyebabkan bahagian hadapan kereta saya remuk. Kebetulan salah seorang wakil (syarikat filem) Grand Brilliance Sdn. Bhd. ada berdekatan untuk membantu kami.

Johan dan Nabila dilihat datang berdua. Adakah anda berdua merancang untuk pergi ke majlis tersebut bersama?
Pada hari kejadian, kebetulan saya dan Nabila baru selesai menjayakan sesi fotografi untuk sebuah majalah di Shah Alam. Jadi, tidak salah rasanya kami berdua pergi bersama ke majlis itu.

Johan ada tercalon dalam Anugerah Skrin tahun ini. Apakah harapan Johan dan siapa pesaing terdekat anda?
Saya tidak berani untuk meletakkan harapan kerana saingan untuk tahun ini sungguh sengit. Bagi saya, tiada istilah persaingan kerana saya amat mengagumi bakat-bakat yang ada dalam industri lakonan tanah air.

Perkembangan terbaharu Johan?
Saya akan muncul dengan Juvana The Movie pada tahun hadapan serta tiga buah lagi filem iaitu Tokan, Pencinta dan Paku.

Kosmo

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters