|
HAMPIR sahaja kisah cintanya dibiarkan tergumam di kerongkong. Barangkali, semahu-mahunya persoalan itu dielak, selagi boleh.
Menarik nafas seraya ukiran senyuman di bibirnya seperti ditahan-tahan, anak matanya membulat membayangkan kerisauan. Dia Tiz Zaqyah, si jelita yang dikenali ramai sebagai aktres yang semakin cemerlang kerja lakonannya, namun saat kasih cinta minta dikongsikan, dia menikus mencari ruang menyorot wajah.
Itu resam yang diladeni banyak nama popular. Di sebalik kemilau yang mempesona, bukan cerita karier sahaja yang didambakan. Seperti juga Tiz, 24, selain dihambat tuntutan seni yang diceburi, dia tidak lepas daripada diseret kontroversi cinta. Jatuh kasih sesama artis, menyulam asmara dari lokasi bersama Remy Ishak yang banyak cerita kontroversi, itu cukup untuk memberi rencah sensasi kepada Tiz sendiri.
Semuanya sudah terang lagi bersuluh. Pengakuan Remy di hujung 2011 menjelaskan teka-teki umum. Dihitung congak, sebenarnya sudah hampir dua tahun mereka menganyam ikatan. Ditunggu-tunggu pula perkongsian daripada Tiz sendiri, baru kali ini, heroin Nur Kasih The Movie pula membuka mulut.
Cinta kura-kura
"Kami masih seperti yang telah diketahui. Macam dulu juga, setakat itu sahaja," getusnya manja saat progres hubungannya bersama Remy diminta perkhabaran.
Tambah Tiz, hubungan mereka berdua belum ada apa-apa perkembangan yang boleh diceritakan.
"Masing-masing sibuk dengan jadual penggambaran. Kami sebenarnya mahu rileks-rileks dulu, kami biasa sahaja dan semuanya berjalan normal," katanya.
Sambil mengakui masing-masing sudah kenal keluarga kedua-dua pihak, pelakon berusia 24 tahun itu berbicara penuh hati-hati. Dia ditanya tentang pendiriannya yang disifatkan begitu payah berkongsi kisah hati.
"Memang sejak dari dulu, saya bukan jenis yang gemar serta terbuka bercerita soal peribadi," ujarnya berbasa-basi sambil ketawa besar.
Enggan berlebih, bercerita sehingga banyak yang mahu disimpan terlerai menjadi tatapan umum, kami beralih topik kepada fokus fotografi yang dirancang. Berlokasikan redup pepohonan di Hotel Palm Garden, Putrajaya, kemanisan sari filem terbaru lakonan Tiz, Cinta Kura-Kura turut menjadi topik perbualan.
Terbitan KRU Studios, filem arahan Nizam Zakaria itu menjadi filem kedua buat Tiz dan pertama kali menggandingkan dirinya bersama hero filem lain selain Remy Ishak iaitu Aeril Zafrel. Selain itu, nama-nama seperti Zizan Raja Lawak, Bob AF juga menjadi angkatan baharu Tiz dalam filem bergenre romantik komedi itu.
Gila-gila
"Saya dapat tahu bahawa kami akan digandingkan dalam filem berkenaan dua minggu sebelum penggambaran dijalankan. Sebelum ini kami tidak pernah berlakon drama atau filem bersama-sama.
"Selama dua minggu itulah kami cuba mendapatkan sebaik-baiknya keserasian, menghafal skrip dan menghayati watak masing-masing sebelum turun beradu watak di lokasi penggambaran.
"Kebetulan, Cinta Kura-Kura menjadi filem kedua antara saya dan Aeril, saya hanya sempat berlakon sebuah filem sebelum ini, Nur Kaseh The Movie manakala, Aeril dengan Aku Bukan Bodoh," katanya yang seronok melakonkan watak Nani yang santai dan berkarakter gila-gila.
Jauh berbeza dengan watak wanita bertudung, kuat pegangan agama serta berkahwin dalam filem pertamanya, kali ini Tiz lebih cergas, sesuai dengan genre filemnya yang santai dan tidak memaksa tangisan emosi daripada penonton.
"Watak saya agak ringkas, mungkin ini watak paling ringan yang pernah saya jayakan. Saya menjadi remaja yang sayangkan haiwan peliharaan eksotik iaitu seekor kura-kura daripada spesies terancam. Mujur saya juga gemar membela haiwan peliharaan, jadi taklah pelik sangat.
"Saya ada membela seekor kucing dan seekor sugar glider di rumah. Banyak juga masa senggang dihabiskan untuk melayan kerenah haiwan comel itu. Jadi, secara tidak langsung ia juga memberi inspirasi dan penghayatan kerana dalam filem berkenaan menuntut watak saya (Nani) seolah-olah bercakap dengan seekor kura-kura yang diberi nama Nico," sambung Tiz teruja menantikan tayangan Cinta Kura-Kura yang akan bermula 1 Mac nanti.
Menyingkap pengalaman menjayakan filem berkenaan, biarpun naratifnya ringan, ada dugaan besar telah dijalani dengan sempurna.
"Kami kena banyak berimaginasi, watak kura-kura itu sebenarnya CGI (imej janaan komputer) dan tidak ada di lokasi, ia hanya muncul semasa proses suntingan sahaja.
"Mula-mula terasa janggal juga, maklumlah sebagai pelakon saya tidak tahu bagaimana rupa atau reaksi kura-kura yang akan dihasilkan secara CGI.
Dapat hero baru
"Cuma yang ada ketika itu adalah kura-kura sebenar yang boleh dikatakan agresif dan tidak boleh duduk diam. Saya kena bayangkan kura-kura itu sebagai Nico, bila ingat balik detik itu memang sangat kelakar.
"Paling saya suka apabila penggambaran dilakukan di sebuah menjual haiwan peliharaan. Di situ ada bermacam haiwan comel, ada kucing, arnab dan iguana. Kebetulan saya memang suka haiwan peliharaan," katanya yang langsung tidak kekok bergandingan dengan Aeril yang menjadi hero terbaharunya dalam filem berkenaan.
Berbanding Tiz yang sudah merasai peluang berganding dengan ramai pelakon lelaki popular, Aeril Zafrel yang diberi kepercayaan menggalas watak utama dalam filem berkenaan ketara berbeza profil.
Pertama kali kelibat Aeril mendekatinya, bagaimanapun Tiz tidak pantas membuat penilaian. Katanya, biarpun Aeril bukan nama besar tapi rasa hormatnya timbul melihat kesungguhan pemuda itu menghayati watak.
"Antara saya dan Aeril, kami tiada masalah untuk mencari keserasian. Aeril membawa watak Adam, pemuda yang sukar untuk melafazkan perasaan cinta. Dia jenis yang sekepala dengan kami banyak berbincang untuk hidupkan peranan masing-masing.
"Semua artis yang terlibat dalam filem ini kelakar dan gila-gila. Saya harap itu semua akan menyumbangkan aura positif untuk filem berkenaan," ujar Tiz yang lebih kerap berlakon drama berbanding filem.
Malam ini, pemilik nama sebenar Siti Zaqyah Abdul Razak itu akan muncul dengan telefilem istimewa berjudul Runtuhnya Sebuah Dosa., dengan kekasihnya, Remy
No comments:
Post a Comment