ANJUNG: “Saya hampir terpijak biji mata seorang mangsa tercampak di atas jalan, malah ada tali usus mangsa turut terkeluar,” kata seorang pegawai kerajaan yang juga saksi kejadian, Hasni Hashim, 45.
Menurutnya, dia kebetulan berada di restoran berhampiran tergamam apabila mendengar bunyi dentuman kuat akibat pelanggaran lori dan kenderaan pelbagai guna, Honda Stream kira-kira 20 meter dari lokasi kedai makan berkenaan.
“Saya yang ketika itu sedang menghirup kopi panas, kelam-kabut melarikan diri selepas melihat treler sarat membawa tong gas itu terbabas dan meluru ke arah kedai makan.
“Treler itu yang meranapkan sebuah gerai keropok lekor di bahu jalan kemudian terperosok ke dalam kebun kelapa sawit terletak di belakang kedai,” katanya.
Menurutnya, dia kemudian bergegas melihat insiden itu sebelum mendapati banyak tubuh remaja lelaki bergelimpangan di atas jalan dan tepi gerai.
“Suasana ketika itu amat mengerikan apabila ada tubuh mangsa yang putus hingga terkeluar isi perut, otak dan mata,” katanya ketika ditemui wartawan di lokasi kejadian.
Menurutnya, beberapa penduduk kampung kemudian bertindak menghubungi polis selain menutup tubuh mangsa dengan kertas surat khabar.
Sementara itu, seorang lagi saksi kejadian, Alice Tan, 55, mendakwa dihantui perasaan trauma selepas terpaksa mengutip cebisan mayat mangsa kemalangan yang melekat di gerainya.
“Saya hanya mengetahui kejadian itu selepas dimaklumkan seorang pekerja yang menjaga kedai saya pada jam 11 malam kelmarin.
“Saya bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati beberapa mayat bergelimpangan di atas jalan raya selain turut tertiarap di depan kedai,” katanya.
Menurutnya, ada antara mangsa yang turut cedera parah hingga hampir putus kepala selain kehilangan beberapa anggota tubuh penting.
“Pagi tadi (semalam) saya dapati beberapa cebisan daging dipercayai milik mangsa melekat di dinding gerai. Saya terpaksa mengutip dan mengumpul daging mangsa sebelum diserahkan kepada anggota polis,” katanya.
No comments:
Post a Comment