Penyanyi Muhammad Yasin Sulaiman, 37, merupakan salah satu nama besar
yang sememangnya sangat dikenali dalam kalangan peminat-peminat nasyid
menerusi lagu-lagu berunsur kerohanian dan ketuhanan.
Tidak hanya dikenali sebagai penyanyi, bekas ahli kumpulan Brothers yang suatu ketika dahulu pernah popular menerusi lagu
Teman Sejati itu juga turut bergelar komposer dan penerbit album.
Selain itu, figura kelahiran Kajang, Selangor itu juga turut kerap
menjalinkan kolaborasi dengan ramai penyanyi popular tanah air termasuk
Amy Search menerusi lagu berjudul
Takbir Cinta.
Selepas kali terakhir berkolaborasi dengan pelakon Tiz Zaqyah untuk lagu berjudul
Nur Kasih, kini tiba giliran pelakon terkenal Maya Karin pula berpeluang untuk berduet dengannya menerusi lagu yang diberi judul
Sinar Ini.
Ketika ditemui sewaktu sesi rakaman klip video lagu tersebut di Bukit Kiara, Kuala Lumpur baru-baru ini, Yasin memberitahu
Sinar Ini merupakan single terbaharu yang dihasilkannya dengan memilih Maya Karin sebagai rakan duetnya.
"Mengenai lagu terbaharu ini ia merupakan hasil ciptaan saya, tetapi
liriknya pula telah dihasilkan sendiri oleh Maya berdasarkan
inspirasinya yang memanjatkan doa kepada Allah.
"Apa yang menariknya Maya telah menghasilkan lirik lagu ini dalam
bahasa Inggeris, kemudian saya ubah pula dalam Bahasa Melayu. Malah,
liriknya juga telah dihasilkan dalam tempoh satu hari sahaja," ujarnya.
Menurut Yasin, dia memilih Maya untuk menghasilkan single
terbaharunya kerana sebelum ini mereka pernah menjalinkan kerjasama
sewaktu bernaung di bawah MIG Records dahulu.
Ujarnya, dia sememangnya mahu menerapkan unsur-unsur sinematik untuk
single terbaharunya itu dan merasakan Maya merupakan individu yang
paling sesuai kerana popularitinya sebagai antara salah seorang pelakon
wanita tempatan yang digemari ramai.
"Memandangkan kami pernah bekerjasama dengan menjadi penerbit
albumnya sebelum ini, jadi tidak ada masalah besar buat kami untuk
berkolaborasi dan sudah tahu peranan masing-masing.
"Lagipun sudah banyak perbezaan yang saya lihat kepada Maya sepanjang kami bekerjasama merakamkan lagu
Sinar Ini. Kini saya nampak dia semakin matang dan sudah banyak peningkatan berbanding sebelum ini," jelasnya.
Pada masa yang sama penyanyi, komposer dan penerbit itu juga
bercadang supaya lagu tersebut dapat dijadikan runut bunyi untuk
mana-mana filem yang bersesuaian.
"Buat masa ini saya memang bercadang untuk berbuat demikian, namun
sehingga sekarang masih belum berjumpa dengan filem yang sesuai. Jadi,
saya mengambil keputusan untuk menghasilkan klip video sahaja terlebih
dahulu," ujarnya.
KESERASIAN Maya dan Yasin terserlah menerusi lagu duet mereka, Sinar Ini.
Penyanyi itu juga menyatakan dia tidak mempunyai sebarang perancangan
untuk menghasilkan album baharu berdasarkan kepada keadaan industri
muzik sekarang dan lebih selesa menghasilkan single sahaja.
Tidak hilang
Selepas mengecap pelbagai kejayaan termasuk pernah muncul juara dalam pertandingan Anugerah Juara Lagu 2001 menerusi lagu
Mimpi Laila, Yasin dilihat seolah-olah menyepi daripada industri seni.
Bagaimanapun, penyanyi berkenaan memberitahu dia sebenarnya tidak
menyepi atau menghilangkan diri seperti tanggapan sesetengah pihak,
sebaliknya dia lebih banyak melakukan kerja-kerja di belakang tabir.
"Sejak beberapa tahun kebelakangan ini saya memang lebih gemar
melakukan kerja-kerja studio seperti menghasilkan lagu, menjadi penerbit
album dan berkolaborasi dengan ramai penyanyi popular seperti Datuk
Sharifah Aini, Datuk Siti Nurhaliza, Amy Search dan Alyah.
"Namun, kini saya merasakan sudah tiba masanya untuk saya kembali aktif menyanyi semula. Selepas lagu
Sinar Ini, saya akan menghasilkan lagi beberapa buah single terbaharu," jelasnya.
Selain aktif menyanyi, Yasin juga menyatakan dia turut kembali ke
dunia lakonan dan bakal berlakon dalam sebuah drama yang akan menjalani
penggambaran di Mekah.
"Alhamdulillah, rezeki saya dalam bidang seni buat masa sekarang
memang banyak. Selain menyanyi dan berlakon saya juga akan terbabit
dalam sebuah rancangan berbentuk travelog untuk saluran Astro, tetapi ia
masih lagi dalam peringkat perbincangan," ujarnya.
Luahan hati
Maya Karin yang ditemui sewaktu pembikinan klip video lagu
Sinar Ini menceritakan dia sendiri sebenarnya agak terkejut apabila dihubungi Yasin dan ditawarkan untuk berduet bersama-sama.
"Kira-kira tiga minggu lalu Yasin telah menghubungi saya dan
menyatakan hasratnya untuk berduet dengan saya menerusi sebuah lagu.
Kemudian pada satu malam kami telah lepak bersama kerana mahu membuat
perbincangan lanjut mengenainya.
"Namun, semasa kami lepak Yasin memperdengarkan lagu yang
dihasilkannya dan menyuruh saya menyiapkannya pada malam itu juga.
Mulanya saya tidak begitu yakin untuk melakukannya, tetapi akhirnya saya
telah berjaya menyiapkannya," jelas pelakon filem
Ombak Rindu itu.
Ditanya mengenai idea untuk menghasilkan lirik lagu tersebut, Maya
memberitahu ia merupakan luahan hatinya yang diadaptasikan berdasarkan
perjalanan kehidupan yang dilaluinya selama ini.
"Ada kalanya ketika bersendirian saya memang sangat gemar memandang
ke arah langit pada waktu malam. Kemudian saya akan merasakan kebesaran
yang Maha Esa terhadap segala yang diciptakan oleh-Nya.
"Dengan perasaan kerohanian yang kerap dirasakan itu saya telah
curahkan menerusi lirik lagu ini. Apa yang boleh saya katakan, lirik
tersebut saya hasilkan dengan jujur menerusi luahan hati saya sendiri,"
ujarnya.
GELAGAT Maya dan Yasin dirakam pada sesi penggambaran klip video lagu Sinar Ini di Bukit Kiara, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Watak antagonis
Bercerita lebih lanjut mengenai projek terbaharunya sekarang, Maya
menyatakan dia baru sahaja selesai menjalani penggambaran filem
Lagenda Budak Setan 3.
Kemudian dalam tempoh terdekat ini pula dia bakal membintangi sebuah filem arahan Osman Ali yang berjudul
Jwanita. Turut berlakon filem tersebut ialah Bront Palarae dan Cristina Suzanne Stockstill.
"Sebelum ini saya memang kerap memegang watak-watak wanita yang baik,
sebaliknya untuk filem ini saya telah diberi peluang untuk melakonkan
watak antagonis.
"Saya bersetuju menerima tawaran berlakon dalam
Jwanita bukan
semata-mata kerana Osman Ali, tetapi saya tertarik dengan jalan
ceritanya serta karektor yang perlu saya bawa dalam filem ini,"
jelasnya.
Walaupun sering sibuk dengan karier lakonan, pelakon berkenaan
memberitahu dia akan turut meluangkan masa untuk melakukan kerja-kerja
amal dan kini terbabit secara aktif dengan sebuah persatuan yang
membantu golongan yang kurang bernasib baik.