Jom Buat Duit

Friday 18 May 2012

Bros menyelami dunia lelaki


 SELEBRITI wanita seperti Almy Nadia (kiri) dan Neelofa turut menjadi tetamu untuk program bual bicara mengenai kaum lelaki, Bros.


Selama ini penonton televisyen agak kurang didedahkan dengan program berbentuk bual bicara yang membincangkan mengenai peribadi golongan lelaki dengan lebih mendalam, termasuk topik-topik yang agak rumit dan isu-isu yang sensitif.
Sehubungan itu, TV3 mengambil inisiatif dengan menghasilkan sebuah program terbaharu berjudul Bros. Ia merupakan sebuah program bual bicara yang cuba menyelami dunia lelaki menerusi perbincangan secara santai.

Penerbitnya, Che Rozaini Ahmad yang ditemui sewaktu rakaman program tersebut di Shah Alam, Selangor baru-baru ini berkata, Bros dilihat agak berbeza dengan program-program bual bicara yang pernah dihasilkan sebelum ini.

“Program ini bukanlah bertujuan mewujudkan peperangan gender antara lelaki dan wanita, sebaliknya Bros lebih kepada membentangkan perihal peribadi lelaki dengan lebih mendalam.
“Sebarang isu atau topik mengenai lelaki yang dikupas dalam rancangan ini bukan sahaja boleh dimanfaatkan oleh golongan lelaki, malah ia mampu mewujudkan perspektif baharu wanita terhadap kaum Adam,” ujarnya yang sebelum ini pernah menerbitkan program Apa Apa Aje dan Jalan Jalan Cari Makan.

Menurut Che Rozaini, program tersebut menyajikan pelbagai topik menarik yang akan dibincangkan seperti Kenali Lelaki, Lelaki Dan Perhubungan, I Love Sport, Lelaki Idaman, Macam Mana Nak Mengorat?, Anak Mak, Men’s Health dan Big Boys Toy.
Ujarnya, beberapa personaliti lelaki dan wanita juga turut diundang bagi memeriahkan lagi program tersebut. Mereka termasuklah Fizo Omar Sharizal Jaszle, Neelofa, Almy Nadia, Yuna, Qushairi Razali, Tasha Shila, Diana Amir dan Amy Mastura.

“Kehadiran tetamu undangan pada setiap episod bertujuan untuk berkongsi pandangan dan pendapat masing-masing terhadap topik yang dibincangkan bersama kedua-dua pengacara.
“Mengenai pemilihan topik, pihak kami sangat yakin semua topik yang telah dipilih memang bersesuaian dengan situasi kehidupan sekarang serta mampu menarik minat penonton untuk menonton program ini,” ujarnya lagi.

Bros dihoskan oleh dua orang pengacara lelaki iaitu Sherson Lian (Sher) yang semakin dikenali setelah menjadi hos program masakan 5 Rencah 5 Rasa dan Hisham Hamzah (Sham) yang popular menerusi program Sarapan.

Ujarnya, bagi menampilkan kelainan dan keunikan program tersebut, turut diselitkan segmen memasak yang akan dikendalikan oleh Sher yang turut berkongsi tips memasak yang mudah untuk golongan lelaki.
Program yang disiarkan sebanyak 13 episod itu akan memulakan siaran pada 1 Julai ini pada setiap hari Ahad bermula pukul 11 malam di TV3 selama sejam.

Cabaran baharu
Meskipun sudah terbabit dalam dunia pengacaraan, Sham dan Sher menganggap tanggungjawab yang diberikan untuk mengacarakan rancangan Bros merupakan satu cabaran baharu buat mereka.
Menurut Sham, sebagai seorang individu yang masih mentah dalam dunia penyiaran, dia sememangnya sangat teruja apabila ditawarkan untuk mengendalikan sebuah rancangan bual bicara.
“Ini merupakan pengalaman pertama saya dan sudah tentu ia bukanlah satu tugas yang cukup mudah. Namun, dengan garis panduan yang diberikan oleh pihak penerbitan, akhirnya saya rasa semakin seronok untuk mengacara.

“Sebagai sebuah program bual bicara yang lebih berkonsepkan santai, tidak terlalu banyak protokol yang harus diikuti dan kami cuma perlu mengikut cara sendiri sewaktu mengacara,” ujar jejaka berusia 29 tahun itu.
Sementara itu, Sher mengakui berasa agak gugup ketika kali pertama mengacarakan program tersebut memandangkan kali pertama dia bergandingan Sham.

Ujar pengacara kelahiran Alor Gajah, Melaka itu, biarpun baru sahaja mengenali Sham, tetapi tidak sukar buat dirinya untuk mendapatkan keserasian bersama pasangannya itu.
“Salah satu cabaran yang terpaksa dilalui sepanjang mengacarakan program ini apabila berhadapan dengan tetamu yang pasif dan kurang memberikan reaksi terhadap perbincangan. Jadi, kami perlu bijak memainkan peranan supaya suasana tidak menjadi terlalu hambar,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters