TAK PUAS HATI...aksi Gade selepas Chong Wei terpaksa menarik diri semalam.
AMARAN tahap merah terpaksa dinyalakan skuad Piala Thomas negara
selepas kapten, Datuk Lee Chong Wei mengalami kecederaan yang
mengakibatkan tendon buku lali kanan koyak apabila tersilap langkah
ketika cuba membalas pukulan Peter Gade pada perlawanan pertama
Malaysia-Denmark semalam.
Chong Wei yang mendahului 2-0 dalam set pertama terpedaya dengan
helah Gade yang tiba-tiba menghantar bulu tangkis ke belakang gelanggang
yang mendorong Chong Wei segera bertindak balas. Dia berjaya menghantar
semula bulu tangkis ke gelanggang lawan dan ketika itulah kakinya
tercedera.
Begitupun Chong Wei terpaksa menunggu selama lima minit untuk menerima rawatan daripada doktor kejohanan.
“Kami belum dapat menilai tahap kecederaannya kerana dia perlu
membuat ujian imbasan MRI terlebih dulu. Kaki kanannya membengkak dengan
amat teruk, dan kami tidak akan menurunkannya untuk perlawanan lain,”
kata ketua jurulatih perseorangan negara Rashid Sidek.
Jurulatih
perseorangan, Tey Seu Bock pula berkata, Chong Wei mungkin tidak dapat
beraksi hingga sebulan kerana kecederaannya itu.
“Otot kakinya
terkoyak bukan tulangnya retak. Dia mungkin berehat antara tiga hingga
empat minggu, tapi masih OK untuk Olimpik,” katanya.
Menurut Seu
Bock, pemain nombor satu negara itu lebih kecewa kerana gagal menyumbang
untuk pasukan Piala Thomas berikutan kecederaan yang dialaminya.
Tapi,
berikutan Olimpik London semakin hampir, kecederaan itu tetap dianggap
sebagai satu tamparan hebat buat persiapan Chong Wei yang sebelum ini
turut dilanda kecederaan bahu, selesema dan beberapa keputusan
perlawanan mengecewakan.
Chong Wei yang menangis jelas berada
dalam kesakitan ketika dibawa untuk menjalani ujian x-ray dan rawatan di
hospital berhampiran.
Mengulas mengenai bakal timbulnya
persoalan, mengapa Chong Wei harus bermain di Piala Thomas selepas pulih
dari kecederaan bahu sedangkan fokus utama di Olimpik London, Rashid
berkata perkara sebegitu tidak patut timbul.
“Tiada siapa
jangka perkara begini akan berlaku. Jika tidak menyertai Piala Thomas
sekalipun, dia mungkin cedera dalam waktu latihan.
“Olimpik
masih jauh, ada tiga bulan lagi, saya harap dia tidak mengalami
kecederaan parah seperti putus urat kaki. Jika cedera ringan pasti
sempat pulih dalam tempoh singkat,” kata Rashid.
No comments:
Post a Comment