Jom Buat Duit

Friday 18 May 2012

Alyah terbiasa bergelut


ADA getar antara tegas dan sebak dalam suara milik penyanyi Alyah atau nama sebenarnya, Noor Hasliah Abu Hassan saat berbicara dengannya pada malam Rabu lalu. Alyah bertegas mempertahankan diri apabila dituduh sebuah blog bahawa dia memberi kenyataan menyalahkan media tentang isu adiknya yang kini berhadapan tuduhan menyamun seorang warga negara Singapura.

Dia sebak apabila menyentuh tentang perasaan ibunya di kampung dan ahli keluarga lain. Apa yang pasti, kata Alyah, biar sekuat mana badai menghempas dirinya, dia harus bertahan kerana sepanjang 12 tahun menjadi anak seni, dia sudah terbiasa bergelut untuk survival antara sebuah kehidupan dan karier.

"Saya terima semua perkara yang terjadi dengan hati terbuka," katanya ringkas sambil menghela nafas panjang. Alyah mengambil sedikit masa sebelum mula kembali bercerita: "Sejujurnya kami sekeluarga tahu akan hal tersebut sejak dua bulan lalu (kes adiknya didakwa menyamun).
"Kami terima ia dengan hati yang terbuka kerana hanya kami yang tahu kisah sebenar. Cuma yang membuat hati saya tersentuh dan kurang senang apabila ada segelintir khalayak sesuka hati untuk mencemuh dengan berkata 'penyamun dan sampah masyarakat, tak cukup ke duit kakak kau menyanyi sampai nak menyamun?'
"Saya kira, itu tohmahan yang terlalu kasar buat kami. Bayangkan jika kalian berada dalam situasi kami."

Ujar Alyah pernyataan yang ditulisnya di laman Facebook juga bukan bermaksud untuk menyalahkan pihak media. Sebaliknya, jelas penyanyi yang cukup terkenal dengan lagu Kisah Hati itu, dia hanya melahirkan rasa sedih bagi pihak ibunya dan keluarga kerana berita tentang jatuh hukum terhadap adiknya itu disiarkan pada hari istimewa iaitu Hari Ibu.
"Saya hanya tinggal ibu seorang sahaja di dunia. Saya tidak mahu kehilangan dia kerana cerita-cerita begini. Impak dan tekanan yang diterima ibu di kampung cukup kuat. Jadi, saya hanya menulis untuk menjelaskan situasi kami dan impak terhadap penyebaran yang berlaku, bukan saya menyalahkan pihak media. Saya tidak berniat berbuat begitu.

"Cuma saya sangat berharap kepada para blogger agar jangan menambah masalah kami dengan menyalah lapor atau membuat andaian sendiri terhadap sesuatu perkara tanpa bertanya kepada tuan badan. Biar apapun kata orang, baik atau buruk dia, dia tetap adik saya," katanya lagi.
Mengaku berita tersebut sedikit sebanyak mengganggu perjalanan kariernya, namun anak kelahiran Johor Bahru itu optimis bahawa setiap perkara yang berlaku punya hikmah.
Sementelah katanya, selama 12 tahun ini, dia sudah terbiasa untuk bergelut dalam lapangan seni. Justeru, biar terkesan apabila ada klien yang mula membatalkan persembahan kerana berita tersebut, dia harus kuat dan pantang mengalah.

Cerita Alyah, sembilan tahun pertama dia berada dalam industri seni, kehadirannya hampir tidak disedari. Dia pernah mencuba nasib sebagai penyanyi balada, duduk dalam sebuah syarikat rakaman yang besar, memasuki program realiti televisyen, malah berusaha keras untuk menonjolkan bakat, semuanya dipandang sepi.


ALYAH mengaku hatinya kini sedang dimiliki seseorang, tetapi mereka belum mempunyai perancangan untuk bernikah dalam masa terdekat.


Sehingga lagu Tak Mungkin Kerna Sayang meletup pada tahun kesembilan dia menyanyi. Tuah mula berpihak kepada Alyah. "Saya sudah terbiasa bergelut. Pada masa yang sama, saya juga bukan yang mudah menyerah. Sebab itu saya masih di sini dan Alhamdulillah, selepas 12 tahun, hasilnya agak baik," ulasnya ringkas.

Alyah kemudian menambah cerita tentang perjalanan seni 12 tahunnya. Dia yang menerima pengiktirafan sebagai pemenang Persembahan Terbaik Anugerah Juara Lagu 26 (AJL26) menerusi lagu yang cukup berhantu, Kisah Hati, memberitahu, kerana kepayahannya mendapat tempat dalam industri seni telah membuatkan dia terpinggir.

"Saya mengaku, sewaktu lagu Tak Mungkin Kerna Sayang meletup, ramai yang tak tahu lagu itu dinyanyikan oleh saya. Malah sewaktu beberapa lagu lain saya mula meningkat naik, ada rakan artis yang anggap saya tak ubah seperti pendatang baharu yang tak lama dalam industri.
"Mereka juga tak mahu berkawan dengan saya. Ya, saya tidak mempunyai kawan dalam kalangan artis sebab bukan saya yang tak mahu berkawan dengan mereka, tetapi mereka yang tidak mahu berkawan dengan saya.
"Sebab itu sehingga kini, selepas nama saya semakin dikenali, saya sudah terbiasa sendiri, sudah terbiasa tak punya kawan dan saya okay begini," katanya berterus-terang.
Seiring lagunya menjadi siulan, Alyah mula mencipta fesyen tersendiri sehingga dilabel sebagai Lady Gaga Malaysia. Dua respons berbeza diterima tentang penampilan diri. Ada yang menganggap fesyennya begitu pelik, sebahagian pula menerima ia sebagai satu pembaharuan dan imej tersendiri dari Alyah.

Bercakap tentang isu fesyen, Alyah ketawa mengekeh. Katanya, dahulu ada yang melabelkan dia tidak tahu berfesyen dan kekampungan. Berbeza apabila dia mula berani membuat eksperimen dengan fesyen. Dia kemudian memberi hujah sendiri.
Katanya: "Saya rasa, fesyen dan artis merupakan satu item. Saya beranggapan, sebagai selebriti, tiada istilah fesyen yang mengarut dan fesyen yang berani telah lama wujud kerana ia melambangkan identiti seseorang itu. Bagaimanapun, kini, saya lebih menyenangi fesyen yang sofistikated dan elegan."

Tersingkir
Umum mengetahui Alyah merupakan salah seorang peserta program realiti televisyen, Mania. Tersingkir seminggu sebelum melangkah ke pusingan separuh akhir, Alyah mempunyai alasan tersendiri mengapa dia menyertai program yang menggunakan khidmat 100 peratus undian peminat itu.

Ujar wanita berusia 31 tahun itu, dia sedar undian 100 peratus daripada peminat mempunyai pro dan kontra tersendiri. Mengaku jika undian menjadi 50 peratus datang daripada peminat, manakala 50 peratus lagi juri adalah lebih baik atas dasar popular dan profesional, namun apa yang dikejar menerusi program tersebut, bukan undian semata-mata.
"Sebaliknya, saya mengejar ilmu. Walaupun saya telah tersingkir awal, tapi saya bersyukur kerana saya dapat menimba ilmu dengan banyak. Saya juga telah bertemu dengan ramai orang di belakang tabir yang telah memberi idea dan boleh memantapkan karier saya pada masa akan datang.


ALYAH meminta jasa baik khalayak untuk tidak melemparkan tohmahan yang kasar terhadap isu adiknya ditahan kerana menyamun seorang warga Singapura. Ujar Alyah, biar pihak berkuasa melakukan tugas mereka dan khalayak jangan pantas menghukumi seseorang.


"Itu yang saya pentingkan dan tanam dalam diri sewaktu saya menyertai program tersebut. Katakan, jika saya jadi juara misalnya, tapi apabila program tersebut habis, ia tidak memberi impak terhadap karier saya, maka tidak guna juga. Sebab itu saya kata, ilmu sangat penting buat saya," katanya yang juga mengaku memang tidak arif tentang pembikinan muzik.

Sebaik tersingkir, Alyah tidak menunggu masa yang lama untuk kembali menyambung membikin single terkininya.

Katanya: "Saya baru ingin masuk studio untuk merakamkan single terkini selepas single Pesananmu dikeluarkan sebelum saya menyertai Mania tempoh hari. Saya harap ia mendapat sambutan yang baik nanti."

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters