JUARA...Hafiz membawa pulang wang tunai RM500,000.
“SAYA tidak tahu lagi apa yang saya hendak lakukan dengan wang
kemenangan ini. Bukan tidak menaruh harapan, namun saya benar-benar
tidak menyangka akan muncul sebagai juara Mania.
“Saya bukan mahu beri jawapan klise namun saya sejujurnya sangat
takut dengan pertandingan pada kali ini. Bukan kerana tidak yakin,
tetapi lihat saja finalis yang bertanding, Jaclyn Victor misalnya, dia
bukan calang-calang pesaing malah cukup berpengalaman berbanding saya.
Jadi, apa yang saya buat, bersiap-sedia dan memberikan lebih dari 100
peratus untuk persembahan malam ini,” begitulah ekspresi Hafiz Suip
tatkala diajukan perancangannya dengan wang kemenangan RM500,000 selaku
juara Mania, Sabtu lalu.
Biarpun boleh dikatakan dia masih baru dalam industri ini, tidak
menjadi penghalang buat juara Akademi Fantasia 7 (AF7) itu dinobatkan
sebagai juara. Tidak dinafikan, walaupun baru bertapak beberapa tahun,
bakat besarnya berjaya menyentuh dan membuka mata penggiat serta
pengikut industri.
Nyanyiannya menerusi lagu I Believe I Can Fly (R Kelly) pada malam
itu umpama memberikan pembayang bahawa dia bakal bergelar juara
ditambah lagi mendapat ‘standing ovation’ daripada Ahmad Dhani. Berentap
dengan empat lagi finalis - Jaclyn Victor (Jac), Stacy, Hazama dan
Aril, kelebihan sememangnya tertumpu kepada Hafiz memandangkan namanya
cukup relevan dan sedang ‘in’ pada saat ini.
Walaupun terpaksa menukar lagu di saat-saat akhir, dia yang
sepatutnya dipertanggungjawabkan Ahmad Dhani untuk membawakan lagu hit
Queen, Bohemian Rhapsody bagaimanapun tampak cukup selesa membawakan
lagu itu ketika persembahan solonya. Manakala, menerusi persembahan
duet, vokalnya hebat berpadu suara dengan Sarah Raisuddin mendendangkan
Beribu Sesalan (3 Suara).Meletakkan sepenuhnya kuasa ke tangan penonton
untuk menentukan juara menerusi sistem pesanan ringkas (SMS), sebaik
undian ditutup, Hafiz mendahului finalis lain dengan 28 peratus. Apabila
dijentik dengan gelaran Raja SMS berkaitan kemenangan kali ini,
mengakui tidak sangka dengan kemenangan itu, Hafiz juga seperti yang
lain, cuma mahukan persembahannya berjaya dan paling penting, memuaskan
hati penyokongnya serta penonton pada peringkat akhir itu.
“Setiap hari saya mendapat permintaan daripada peminat untuk
melakukan yang terbaik dalam final ini. Dengan harapan tinggi yang
mereka sandarkan, saya tidak sampai hati untuk mengecewakan mereka.
Walaupun tahu persaingan pastinya sengit, saya cuba tampil dengan
persembahan yang mampu memberi kesan.
“Seiring dengan objektif Mania yang ingin melahirkan superstar, bagi saya semua finalis adalah superstar.
Apa jua yang berlaku selepas ini, saya tidak mahu meletakkan diri
saya pada tahap lebih tinggi kerana banyak benda yang masih perlu
dipelajari. Kemenangan ini adalah satu lagi anjakan kepada karier seni
dan saya amat bersyukur dengan kebolehan yang Tuhan kurniakan.
“Apa yang boleh saya katakan, saya bukan Raja SMS semata-mata,
namun saya mempertaruhkan bakat serta kebolehan untuk berjaya dalam
program ini,” ujarnya.
Namun begitu, persaingan tidak dinafikan sebenarnya sangat sengit
kerana masing-masing nampaknya tampil dengan persembahan ‘all out’.
Dijalankan secara dua pusingan, mereka juga diberikan peluang membawa
artis kegemaran untuk berduet bersama mereka. Di sinilah juga penonton
diberikan kuasa untuk menilai sama ada mereka layak membawa gelaran
‘superstar’.
Biarpun awalnya undian Jac yang turut menjadi calon utama
memenangi pertandingan itu ternyata jauh meninggalkan peratusan finalis
lain, namun nasib tidak menyebelahinya apabila dipintas sejurus undian
ditutup. Mempersembahkan lagu solo medley Kenangan Terindah dan Gemilang
serta nyanyian duet bersama Tiar Jinbara menerusi Arjuna, Jac akur dan
berpuas hati di tempat ketiga.
“Sejak mengambil keputusan menyertai Mania, saya sudah menjangkakan
kekalahan ini apatah lagi ia berpaksikan undian SMS. Lihat saja saingan
saya, semuanya mempunyai penyokong yang kuat.
Saya akui, pada tahap ini saya tidak boleh mengharapkan lebih kerana format sudah ditentukan begitu.
“Bagaimanapun, saya sedikit kecewa dengan persembahan malam ini.
Saya boleh buat lebih baik lagi namun masalahnya masa sangat terhad dan
tidak mengizinkan. Namun, tiada penyesalan dengan penyertaan kali ini
kerana mengenali Jac, saya
seorang yang suka mencabar diri dan akan terus mencuba selagi masih ada ruang.
“Biarpun gagal bergelar juara, tetapi pengalaman yang ditimba amat
berharga dan kalau bukan kerana Mania, Ahmad Dhani juga tidak akan
kenal saya dan menawarkan peluang untuk bekerjasama dalam projeknya di
Indonesia. Saya tidak menganggap ini sesuatu yang negatif dan sekiranya
ada lagi ruang seperti Mania selepas ini, saya tidak serik untuk
mencuba,” jelasnya.
Pada malam itu, selain Hafiz dan Jac, Stacy yang mendapat tempat
kedua tampil hebat menerusi persembahan lagu Takkan Melupakanmu (Radja)
dan Cinta duet bersama Fiq Mentor. Bekas juara AF9, Hazama juga tidak
mengecewakan dengan mendendangkan lagu Saat Ku Idamkan (Search) dan duet
bersama Datuk Hattan dengan lagu Kepadamu Kekasih. Walaupun mendapat
undian terendah, Aril juga tampil bertenaga menyanyikan Starlight (Muse)
dan berduet dengan Ari Lasso menerusi lagu Isabella.
Terdahulu, pentas pertarungan dibuka dengan persembahan peserta
tersingkir mengikut empayar, Awi Rafael, Adira dan Chaq bersama Aubrey
Suwito dengan lagu Seribu Impian, Atilia, Akim dan Estranged bersama
Ahmad Dhani (empayar hijau) dengan lagu Itulah Cinta dan Laskar Pelangi
dan empayar merah iaitu Shila Amzah dan Ebi bersama Datuk M Nasir
menerusi lagu Mentera Semerah Padi.
Turut memeriahkan pentas, persembahan khas daripada Datuk Siti
Nurhaliza dengan medley Mistikus Cinta (Dewa), Gemuruh (Faizal Tahir)
dan Sejati (Wings). Manakala Wings yang menampilkan Awie menggegarkan
pentas dengan menyanyikan lagu Peronda Jaket Biru dan Romania.
Sebaik undian ditutup, Hafiz unggul di tempat pertama, Stacy (22%), Jaclyn (22%), Hazama (19%) dan Aril (9%).
Selaku pemenang kedua, Stacy menerima wang tunai RM200,000 dan Jac,
RM100,000 di tempat ketiga. Sementara itu, Ahmad Dhani juga berjaya
membawa pulang wang tunai RM300,000 sebagai produser kepada juara.
No comments:
Post a Comment