Jom Buat Duit

Monday 10 September 2012

Memey Suhaiza hamil anak sulung

AKTRES jelita Memey Suhaiza kini sedang dilambung bahagia bersama suaminya aktor Norman Hakim apabila dia kini hamil anak sulung yang telah memasuki usia empat bulan.
Bakal menimang cahaya mata lelaki pada bulan Februari tahun depan, Memey telah bersedia untuk bergelar seorang ibu sementelah, dia juga mempunyai tiga orang anak tiri hasil perkongsian hidup Norman bersama aktres Abby Abadi.

"Sudah pasti saya bersedia untuk menjadi ibu dan sebenarnya saya sudah tidak sabar untuk melahirkan anak sulung ini. Apabila hamil, saya rasa hidup telah lengkap sebagai wanita dan sekarang merupakan saat yang sungguh membahagiakan saya," ujarnya yang ditemui pada majlis ulang tahun ke-10 pusat beli-belah Great Eastern Mall, Ampang, Kuala Lumpur.
Cerita Memey, Norman menjaganya dengan penuh teliti sepanjang tempoh kehamilannya, malah setiap hari mereka teruja dengan perkembangan bayi yang dikandungnya.

"Setiap hari bila bangun tidur, saya akan pandang cermin dan lihat perut yang semakin membesar. Perasaannya sungguh bahagia bila tahu keluarga saya akan semakin membesar.
"Norman juga walaupun sibuk tetap menjaga saya dengan baik rasa macam puteri pun ada (ketawa). Saya tidak mengidam makanan yang pelik-pelik, cuma jika saya mahukan sesuatu, saya mahukan makanan yang ada di depan mata contohnya, buah mangga yang bergayut-gayut di atas pokok rumah jiran.

"Saya tidak mahu buah mangga yang lain, kecuali yang di atas pokok milik jiran. Kelakar pun ada, tetapi saya dengar cerita, wanita hamil mempunyai keinginan yang berbeza-beza, setiap orang tidak sama," tuturnya lagi.
Sungguhpun tidak mengidam sebarang makanan, Memey mengakui dia mengalami alahan yang cukup teruk sehingga menyebabkannya terpaksa berehat buat sementara waktu daripada sebarang aktiviti seni.

"Doktor beritahu, alahan biasanya dialami sehingga kehamilan mencecah usia tiga bulan, tetapi saya telah masuk bulan keempat masih mengalami alahan.

"Uniknya, sejak 31 Ogos lalu, suami saya turut terkena tempias alahan yang sama seperti saya. Deria bau suami semakin sensitif dan katanya pergi mana-mana dia rasa ada bau busuk dan tekak loya-loya.
"Pada mulanya saya pelik juga, tetapi apabila suami beritahu dia mengalami perkara yang sama ketika Kak Abby mengandungkan anak yang kedua, saya rasa memang perkara seperti ini boleh berlaku," cerita Memey yang terfikir untuk memberi nama anaknya, Muhammad Darwish Hakim.
Sebagai isteri, kata Memey dia berasa kasihan melihat alahan yang terpaksa ditanggung suaminya kerana Norman harus keluar bekerja mencari rezeki seperti biasa.
KELUARGA bahagia. Memey dan Norman bersama anak-anak Norman daripada perkahwinan terdahulunya (dari kiri), Mohammad Danish Hakim, Maria Danisha Hakim dan Marissa Damia Hakim.
 
Norman pula yang berada di sebelah Memey mencelah: "Saya pun tidak tahu macam mana boleh terkena alahan orang hamil, tetapi saya tahu ada suami yang berkemungkinan besar akan terkena tempias alahan isterinya.
"Sebagai lelaki, selepas merasai sendiri alahan orang hamil, saya lebih menghargai isteri saya kerana bukan mudah untuknya menghadapi alahan yang teruk setiap hari," ujar Norman.
Meskipun sedang bercuti, kata Memey jika boleh dia mahu kembali bekerja sebaik sahaja kesihatannya mengizinkan.
"Kalau boleh saya tidak mahu cuti panjang sangat, walaupun sedang hamil saya masih boleh bekerja jika alahan kehamilan ini sudah tiada," balas pelakon berusia 24 tahun itu.

Enggan kongsi kasih
Hubungan Memey dan bekas isteri Norman, Abby Abadi yang sebelum ini tegang kini telah pulih sepenuhnya. Memey menolak hubungan baik itu sebagai petanda suaminya merujuk bekas isterinya itu kembali.

Malah kata Memey, Abby sendiri pernah memberitahunya, dia boleh berbaik semula, tetapi bukan untuk bermadu dengan Memey kerana menghormati hubungan suami isteri itu.
Memey juga sebagai seorang wanita mengakui jika boleh, dia enggan berkongsi kasih dengan wanita lain dalam hidupnya.

"Saya tidak mahu bermadu sebab sekarang ini kehidupan saya sangat bahagia. Secara umum, tanyalah mana-mana wanita pasti jawapan yang sama diberikan tetapi saya tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa hadapan.

"Ada sesetengah wanita yang boleh berkongsi kasih, itu hak masing-masing. Saya pernah menghadapi episod kehidupan yang sangat cukup menguji diri sebagai wanita dan apabila bahagia itu muncul, saya mahu derita itu hilang," tuturnya penuh makna.

Ditanya tentang dirinya yang pernah dilabelkan sebagai perampas suami orang, tidak bimbang dan sudah bersediakah Memey jika karma yang sama akan berulang kepadanya, ini jawapan Memey.
Katanya: "Kalau nak kata saya bersedia, tidak juga kerana saya memang tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa depan.

"Sejak kecil sehingga dewasa, saya sendiri tidak sangka saya akan terlibat dalam kontroversi yang cukup besar. Apa yang penting saya harus laluinya dengan tabah dan doa yang terbaik."

Kosmo

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters