Jom Buat Duit

Saturday 15 September 2012

Dia bukan suami orang! - Rossa

TIGA tahun selepas menoktahkan pelayaran bahtera perkahwinan dengan anggota kumpulan Padi, Yoyo, figura popular Indonesia yang turut disenangi auranya di Malaysia, Rossa, kini kembali membuka serelung ruang di hatinya untuk menerima cinta daripada seorang usahawan yang enggan didedahkan namanya.

Dedah Rossa, 33, lelaki yang berusia sekitar 30-an itu dirasakan sangat bersesuaian dengan dirinya dan dia malah pernah membawa usahawan itu bertemu dengan keluarganya beberapa kali sebelum ini.

"Memang sekarang sudah ada seseorang yang sedang saya kenali hatinya tetapi saya tidak pernah beritahu siapa dia. Dia lebih tua daripada saya dan yang penting bukan suami orang. Tempoh perkenalan kami saya sifatkan dalam erti kata cukup saling mengenali, dia secocok dengan saya dan kami ada persefahaman," luahnya yang masih belum bersedia untuk mendirikan rumah tangga buat masa sekarang.

Rossa yang ditemui ketika majlis pelancaran album terbaharunya The Best Of Rossa di The Venue Pavilion petang Khamis lalu menegaskan pendedahan tentang perkembangan terbaharu kisah peribadinya itu dibuat bagi menjawab tanda tanya yang timbul ekoran laporan sebuah portal Malaysia yang menyatakan Rossa pernah membawa kekasihnya untuk berjumpa dengan keluarganya.
Sehubungan itu, tambah Rossa lagi tindakannya menemukan individu yang didakwa kekasih itu bukan bertujuan menjalinkan hubungan lebih serius apatah lagi dia langsung tidak terfikir untuk berkahwin sekali lagi dalam masa terdekat ini.

"Kalau saya ada membawa beberapa teman (lelaki) ke rumah untuk bertemu dengan orang tua saya bukan bermaksud apa-apa atau kerana dia istimewa, bukan sama sekali. Kadang-kadang bapa saya juga ada bertanyakan yang mana satu pacar saya.

"Bukan istimewa kalau bawa berjumpa keluarga. Kalau benar hubungan itu serius maka saya akan uar-uarkan. Buat masa sekarang saya free (tidak terikat), single (solo) dan seksi!" ujarnya berseloroh.
Projek hartanah

Dalam pada itu, Rossa juga kini sedang berjinak-jinak menceburi bidang pelaburan projek hartanah di Indonesia dan ujarnya dia turut mendapat galakan daripada teman lelakinya itu untuk serius berkecimpung dalam bidang tersebut.

"Projek itu baru berjalan dan Insya-Allah saya semakin serius mengusahakan projek kondotel itu. Selain itu bisnes Diva Family Karaoke juga semakin pesat berkembang dan kini sudah ada 18 cawangan seluruh Indonesia. Istimewanya kerana pusat karaoke itu didekorasi khas untuk golongan wanita," tambah ibu kepada seorang cahaya mata berusia enam tahun, Rizky Langit Ramadan.
Dalam perkembangan lain, Rossa akan mengerjakan ibadah haji pada 12 Oktober ini bersama sekumpulan jemaah menerusi sebuah agensi haji dan umrah di Indonesia. Kata Rossa, dia telah merancang untuk mengerjakan ibadat rukun Islam itu sejak tahun lalu dan bersyukur kali ini diberikan peluang dan kesempatan.

Dia bagaimanapun menegaskan akan terus aktif dalam bidang nyanyian sepulangnya dari Tanah Suci Mekah kelak namun dari segi berpakaian dia akan lebih menjaga adabnya untuk tidak terlalu seksi berbanding sebelum ini.

"Saya akan ubah cara berpakaian untuk tidak terlalu terbuka dan akan lebih sopan selepas ini. Doakan saya beroleh hidayah ketika mengerjakan haji nanti dan mendapat haji yang mabrur," jelasnya.
Sedikit info mengenai album terbaharunya yang sudah mula dipasarkan sejak bulan Mac lalu dan sudah 1.5 juta naskhah terjual di Indonesia setakat ini. Album itu kata Rossa istimewa kerana menghimpunkan semua lagu hits dirinya sepanjang bergelar penyanyi termasuk lima buah lagu baharu.

Antara lagu yang dimuatkan seperti Pudar, Aku Bukan Untukmu, Ayat-Ayat Cinta, Hati Yang Kau Sakiti, Tegar, Kini, Atas Nama Cinta dan Ku Menunggu. Lima lagu baharu yang dimaksudkan Ku Pinang Kau Dengan Bismillah (duet Pasha Ungu), Aku Bersahaja (duet Taufik Batisah), One Night Lover (duet Joe Flizzow), Jangan Ada Dusta Antara Kita (duet Broery Marantika) serta Tak Sanggup Lagi.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters