Jom Buat Duit

Monday 10 September 2012

Zizan rasa terhina di Jepun


GELAGAT lucu Zizan di samping sekumpulan gadis Jepun. 
 

GARA-GARA dituduh tidak komited terhadap promosi filem-filem lakonannya, pengacara dan pelawak, Zizan, di katakan terpaksa mendisiplinkan diri dengan menerima tawaran tertentu sahaja dalam satu masa.
Akui Zizan atau nama sebenarnya Mohd. Razizan Abdul Razak, 28, buat masa ini dia hanya memberi tumpuan pada promosi filem Hantu Kapchai yang akan ditayangkan tidak lama lagi dan persiapan untuk pertandingan Maharaja Lawak Mega 2012 bersama Johan.

"Saya terpaksa menerima tawaran tertentu sahaja selepas ini kerana tidak mahu lagi timbul tuduhan kononnya saya tidak beri kerjasama dan tidak komited pada promosi filem-filem lakonan saya kerana mengambil banyak kerja dalam satu masa," luah Zizan ketika ditemui selepas sidang akhbar program terbaharu berbentuk travelog di Astro Prima menerusi saluran 105 iaitu Jejak Jepun Bersama Zizan di Hotel Corus, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ditebak sama ada dia juga sudah selektif dalam setiap tawaran yang diberi, ujar Zizan, dia tidak memilih kerja tetapi mahu lebih fokus pada satu atau dua tawaran dalam satu masa sahaja.
"Keputusan ini juga dibuat bukan kerana masalah kesihatan yang terjadi kepada saya sebelum ini akibat kuat bekerja," tuturnya lagi.

Berkongsi rasa terujanya menjayakan program travelog pertamanya, akui Zizan, dia sudah lama mengimpikan untuk menjejakkan kaki ke Jepun dan impian itu akhirnya terlaksana selepas ditawarkan menjadi pengacara program travelog Jejak Jepun Bersama Zizan.
Namun, perasaan terujanya lenyap tatkala kakinya melangkah ke negara matahari terbit itu. Zizan berasa malu dan terhina apabila melihat budaya dan gaya hidup masyarakat di sana yang jauh lebih berdisiplin daripada masyarakat di Malaysia.

"Sepanjang dua minggu menjalani penggambaran di sana, ada satu perkara yang cukup terkesan dalam diri saya. Saya rasa rendah diri dan terhina sangat bila tengok cara hidup masyarakat di sana.
"Bayangkan, ketika saya pergi ke taman tema Disneyland, Tokyo, begitu ramai orang yang menyaksikan perarakan watak-watak animasi di situ, tetapi yang peliknya selepas sahaja tamat perarakan tersebut tidak ada sampah langsung di kawasan itu.

"Masyarakat di sana juga mengamalkan cara hidup sistematik. Saya perasan ketika menaiki eskulator mereka berdiri di sebelah kiri manakala di lorong sebelah kanan eskulator pula digunakan untuk mereka yang ingin memotong atau memintas.

"Bagi saya, kita kena belajar dan ambil contoh sikap dan budaya mereka untuk ditanamkan dalam diri kita. Jepun bukan saja terkenal dengan teknologinya yang canggih, tetapi sikap mereka juga begitu disiplin," ceritanya.
Menurut Zizan, pengalaman pertama mengacarakan program travelog memberi satu dimensi dan pengalaman baharu kepadanya.
"Ia merupakan sebuah program enam episod yang berkonsepkan diari kembara (travelog) di pelbagai destinasi menarik di sekitar Jepun.

"Saya berpeluang pergi ke Osaka dan Tokyo. Antara destinasi menarik yang saya kunjungi ketika di Jepun ialah Osaka Aquarium Kaiyukan, yang merupakan salah satu akuarium terbesar di dunia. Selain itu, saya juga berpeluang melawat Osaka Castle, istana yang dibina pada abad ke-16 dan Floating Garden iaitu menara paling tinggi di Jepun," kongsinya.
Dedah Zizan lagi, dia juga mula jatuh hati dengan gadis-gadis Jepun selepas mendapat layanan yang begitu baik ketika berada di Maid Cafe, restoran yang menempatkan pelayan wanitanya berpakaian watak anime.
"Kini, saya sudah tidak minat dengan gadis berwajah Pan Asia lagi selepas melihat gadis Jepun. Mereka sangat comel dan baik.

"Saya pergi ke sebuah restoran yang diberi nama Maid Cafe, di sana ramai pelayan wanita yang berpakaian watak animasi malah wajah mereka juga seperti di dalam kartun animasi.
"Mereka bukan sahaja cantik, tetapi juga melayan tetamu begitu sopan dan baik," gurau Zizan yang sebelum ini sering dikaitkan dengan gadis Pan Asia seperti Juliana Evans.
Zizan yang berkunjung ke Jepun dari 30 Jun hingga 13 Julai lalu juga memberitahu, banyak pengalaman yang diperolehnya ketika berada di Jepun.

Dia juga berpeluang melawat Muzium Sumo dan belajar cara-cara bersumo.
"Saya juga bernasib baik dapat berlatih menjadi ninja kerana bukan calang-calang orang boleh mempelajarinya. Program ini memang lain dari program-program travelog yang sedia ada.
"Sukar untuk saya spesifikasikan apa perkara paling menarik yang saya tidak dapat lupakan sepanjang berada di sana kerana banyak sangat benda baharu yang saya jumpa dan belajar," ujarnya lagi.

Sementara itu, menurut Pengurus Kumpulan Saluran Hiburan Astro Azlin Reza Azmi, Zizan dipilih sebagai pengacara program travelog itu kerana karakter yang 'gila-gila' dan bersahaja.
"Karakter Zizan yang 'gila-gila' dan bersahaja mampu menarik hati penonton," jelasnya.
Jejak Jepun bersama Zizan bakal ditayangkan bermula 12 September depan pada setiap Rabu pukul 9 malam di Astro Prima (saluran 105).

Kosmo

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters