Jom Buat Duit

Sunday, 16 September 2012

Rossa idamkan Anuar Zain


ROSSA bersama album terbaharunya, The Best of Rossa yang dilancarkan di ibu negara baru-baru ini.


WANITA genit dan lincah ini begitu istimewa di Malaysia. Biarpun sudah menjangkau usia 34 tahun, namun Rossa mudah mencuri tumpuan dengan gaya keanak-anakan dan sifat ramah-tamah yang tidak dibuat-buat.

Ternyata ada sesuatu yang istimewa di sini apabila dia bukan sahaja menampilkan dua lagu ekstra menerusi album kompilasi, The Best Of Rossa khas buat pasaran di sini, bahkan tidak menolak untuk menjadi suri hati peminatnya di Malaysia.

Menerusi album yang baru dilancarkan di sini pada minggu lalu, Rossa menampilkan himpunan lagu-lagu popularnya termasuklah Ayat-Ayat Cinta, Pudar, Tegar, Atas Nama Cinta, Terlanjur Cinta dan Ku Menunggu.

Lebih istimewa apabila dia menampilkan tiga buah lagu baharu untuk pasaran di negara asalnya, Indonesia iaitu Aku Bersahaja (duet Taufik Batisah), Jangan Ada Dusta Antara Kita (duet Broery Marantika) dan Tak Sanggup Lagi serta tambahan lagu Ku Pinang Kau Dengan Bismillah (duet Pasha Ungu) dan One Night Lover (duet Joe Flizzow) khas buat peminat Malaysia sahaja.

Tidak sah kalau bertemu wanita ini jika tidak bercerita soal teman hati. Dalam tempoh kebelakangan ini, nama seorang jejaka muda dari Malaysia, Faris sering dikaitkan dengan dirinya. Namun si empunya diri dengan tegas di samping nada gurauan menafikan dakwaan itu.

"Faris bukan pacar saya. Saya kenal dia pun ketika sambutan hari lahir mamanya pada suatu ketika dahulu sahaja. Sejurus itu kami rapat sebagai kawan.

"Memang saya dekat dengan dia dan sering makan bersama keluarganya, tatapi saya kini tidak berpacaran dengan sesiapa," katanya ketika ditemui di Hotel Concorde, Kuala Lumpur pada Khamis lalu.

Rossa yang merupakan ibu kepada Rizky Langit Ramadan, 6, menambah, dia kini sedang didekati oleh beberapa orang lelaki, tetapi tiada perancangan untuk mengikat kasih.
"Ada beberapa orang yang dekat dengan saya, tetapi untuk hubungan yang serius masih belum ada rencana," ujar Rossa yang tidak menolak jika jodohnya adalah orang Malaysia kerana pernah berpacaran dengan seorang jejaka di sini pada suatu ketika dahulu.

Dia seolah-olah sudah kalis apabila ditebak dengan soalan klise berkaitan hubungan rapatnya dengan mana-mana lelaki. Namun, empunya diri bijak mengawal situasi agar tidak pantas melenting bahkan bijak berdiplomasi menangkis segala dakwaan.

Tidak hanya dikaitkan dengan jejaka Malaysia, kini timbul juga cerita mengenai hubungan istimewanya dengan seorang ahli perniagaan di Indonesia. Namun, Rossa tetap bijak menafikan teka-teki itu tanpa mengguris hati sesiapa.

Dalam berteka-teki soal hero di hatinya, nama penyanyi Anuar Zain tetap melekap di hati janda kepada anggota kumpulan Padi, Yoyo itu. Jelas Rossa dia mengidam untuk berduet dengan Anuar menerusi sebuah lagu istimewa.

"Selepas berduet dengan Joe Flizzow, saya menanti waktu untuk berduet pula dengan Anuar. Sudah lama sebenarnya teringin tetapi ada sahaja halangannya.
"Saya memilihnya bukan kerana nama besar semata-mata tetapi melihat potensi yang ada untuk lagu itu berjaya nanti. Untuk lagunya, pastinya saya akan memilih naskhah masyarakat yang orang kebanyakan suka," katanya yang turut memasang impian untuk berduet dengan Datuk Sheila Majid.
Dalam tempoh setahun diedarkan di Indonesia, kira-kira 1.5 juta unit CD berjaya dijual sekali gus menjadikan album itu sebagai melodi yang paling tinggi dalam pasaran semasa di Indonesia.

"Mujurlah strategi pemasaran di rangkaian restoran (makanan segera) KFC ini berjaya. Saya selalu juga singgah di beberapa buah restoran untuk bertemu peminat dan mendapat maklum balas daripada kakitangannya," kata Rossa yang berada di Kuala Lumpur selama empat hari.

Dalam perkembangan lain, Rossa dijadualkan berangkat ke tanah suci Mekah pada 12 Oktober ini untuk menunaikan fardu haji setelah tiga kali mengerjakan umrah.
Selain sibuk menguruskan 18 buah cawangan pusat karaoke, Diva Family Karaoke di Indonesia yang dimilikinya, Rossa juga kini sedang berjinak-jinak dengan dunia perniagaan hartanah.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)