Jom Buat Duit

Thursday 21 May 2015

433 pendatang Rohingya diselamatkan di Aceh


BANDA ACEH – Seramai 433 pendatang asing Rohingya dari Myammar diselamatkan oleh nelayan tempatan di luar pantai Aceh awal pagi semalam, menurut kenyataan pegawai penyelamat dan kumpulan nelayan.

Menurut jurucakap agensi pencari dan penyelamat, Khairul Nova, kumpulan pertama seramai 102 orang dibawa ke pantai sekitar pukul 2 pagi (waktu tempatan) dan dihantar ke sebuah perkampungan di timur daerah Aceh. Kumpulan kedua dibawa ke pelabuhan di timur Aceh beberapa jam kemudian.
Seorang pegawai penyelamat, Sadikin memberitahu, pecahan pendatang asing itu adalah 70 kanak-kanak dan bayi, 70 wanita dan 293 lelaki yang menaiki sebuah bot.

Wakil AFP mengesahkan bot kayu warna hijau dinaiki pendatang asing itu adalah bot yang hilang sejak beberapa hari selepas diusir dari perairan Thailand.

“Bot tersebut terapung, enjin telah rosak menyebabkan nelayan berasa kasihan kepada mereka. Kebanyakan daripada mereka kelihatan sakit, mengalami dehidrasi seperti kekurangan air dan makanan ketika berada di laut,” ujar Sadikin.

Tambahnya, para nelayan menghulurkan bantuan kepada mereka berupa makanan, air dan tempat tinggal.
Seorang nelayan, Teuku Nyak Idrus yang terlibat dalam usaha mencari memberitahu, ramai mangsa berada dalam keadaan sangat tenat.
“Ramai yang jatuh sakit dan mendakwa beberapa orang rakan mereka mati akibat kelaparan,” ujarnya kepada AFP.

Usaha menyelamat dilakukan selepas menteri luar dari Malaysia, Thailand dan Indonesia bermesyuarat di Kuala Lumpur bagi membincangkan krisis bot pendatang asing di Asia Tenggara.

Seramai 1,350 pendatang Rohingya Islam dari Myammar yang melarikan diri daripada penganiayaan kaum dan pendatang dari Bangladesh yang cuba keluar dari kemiskinan tiba di Aceh sejak beberapa hari selepas ditinggalkan oleh penyeludup pemerdagangan manusia.

Mereka adalah sebahagian daripada ribuan pendatang asing yang berjaya tiba ke Indonesia, Malaysia dan Thailand selepas ditipu oleh penyeludup akibat gangguan di laluan biasa pemerdagangan manusia. – AFP

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters