Jom Buat Duit

Tuesday 13 March 2012

‘Biarlah tak glamor’ Azhan Rani


BIARLAH orang kata dirinya tak popular kerana soal glamor dan populariti sudah jatuh nombor dua. Apa yang penting, kata pelakon yang bermula di pentas teater, Azhan Rani, 35, tawaran berlakon yang diterimanya tidak pernah putus sampai hari ini.
“Walaupun sudah enam tahun berlakon dalam lebih 40 drama, saya tetap berasa diri tidak popular. Tapi, pengarah tetap tawarkan saya berlakon lagi dalam filem mereka selepas itu.

“Sepanjang tempoh itu juga, saya tidak menghadapi masalah kerana sentiasa mendapat kepercayaan produser dan pengarah sampai hari ini. Jika ada pelakon mengeluh tiada tawaran berlakon, saya pula tidak berdepan dengan situasi itu,” katanya.
Namun, pemegang Ijazah Sarjana Muda Drama dan Teater, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) yang dikenali dalam drama bersiri Gemilang, Wasiat dan Supermak ini mengakui, dia sering ditawarkan watak antagonis dalam drama dan teater lakonannya.

“Saya pun tak tahu kenapa pengarah sering tawarkan saya bawa watak jahat. Mungkin wajah saya yang garang ini lebih sesuai untuk watak jahat.

“Saya akui memang susah sangat nak dapat tawaran watak baik seperti ustaz dan sebagainya ketika ini,” katanya.

Terbaru, pemilik nama sebenar Azhan Abdul Rani dan berasal dari Tanjung Karang, Selangor ini beraksi dalam drama bersiri Amukan Pocong arahan Aidilfitri Mohamad Yunos, terbitan Padi Pictures Sdn Bhd milik Nor Aliah Lee Abdullah untuk stesen TV3.

Azhan bawa watak utama sebagai Long Husin, kaki judi yang kemaruk dengan dua rakannya yang sanggup memuja kubur dengan khidmat bomoh siam untuk mendapatkan alamat nombor ekor, sekali gus untuk menang wang dengan cara mudah.
Malangnya, Long Husin yang mempunyai isteri, Long Jamilah (lakonan Elly Mazlein) tidak menjangka sesuatu yang lebih dahsyat menanti mereka akibat perbuatan terkutuk itu.

Secara peribadi, Azhan mengakui watak Long Husin paling mencabar kemampuannya sepanjang berkecimpung sebagai pelakon, setakat ini.

“Saya perlu dibalut dengan kostum pocong selama sejam setiap hari. Saya berasa rimas dan panas sepanjang penggambaran.

Selain itu, saya juga dilumur dengan lumpur dan ada kesan darah di muka dan tubuh,” katanya.

Bagaimanapun, Azhan tidak berdepan dengan pengalaman menakutkan atau terbawa-bawa dengan watak itu selepas penggambaran drama berakhir.

“Saya akui tidak pernah nampak hantu dalam hidup, setakat ini. Saya juga pernah berlakon dalam cerita seram sebelum ini iaitu Sumpah Orang Minyak.

“Sebenarnya, saya pernah bawa watak Raja iblis yang paling jahat dalam teater Antara arahan Erma Fatima di Istana Budaya, sebelum ini.

“Pada mulanya, saya memang takut dan ingin menolak bawa watak itu tapi Erma yang beri keyakinan pada saya dengan niat ia adalah lakonan semata-mata untuk beri pengajaran kepada masyarakat. “Bagi saya, semua watak yang dibawa mencabar dan ia memberi pengalaman baru buat saya. Apabila berjumpa dengan pengarah baru yang kreatif, saya berasa seronok bekerjasama dengan mereka,” katanya.

Drama untuk slot seram TV3 ini disiarkan setiap Khamis, jam 9.30 malam mulai 15 Mac ini. Cerita ini turut dibintangi Ezany Nizarif, Iqram Dinzly, Neelofa, Nabila Huda, Faralyna Idris, Sharifah Sakinah, Elly Mazlein, Namron, Siti Elizad, Liza Abdullah dan ramai lagi.

Menyentuh perkembangan karier seninya setakat ini, kata Azhan yang masih bujang ini, dia juga berlakon dalam drama Cinta Dalam Hati arahan Zul Arshad untuk saluran RTM.

Tidak ketinggalan, dia juga bakal melakonkan watak anggota polis dalam filem Zombi Jaya arahan Woo Ming Jin untuk Grand Brilliance Sdn Bhd.

Antara drama lakonannya ialah slot Samarinda, Sesuci Cinta Sofia, Ku Milikmu, Tower 13, Lembing dan Dayang, Warkah Terakhir dan banyak lagi.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters