Jom Buat Duit

Thursday 2 February 2012

Jalinan terbaik Sofazr, KRU



KUMPULAN Sofazr yang popular dengan lagu seperti Dan Bila Esok serta Janjiku kini menjalin kerjasama buat kali pertama dengan KRU Studios Sdn Bhd. Mereka dilamar mendendangkan lagu runut bunyi filem, Cinta Kura-Kura arahan Nizam Zakaria yang akan menemui penonton di pawagam, 1 Mac ini.

Dianggotai Aremeer (vokalis), Shah (gitar utama), Zimi (gitar kedua), Fairuz (bass), Wan (dram) dan Rodie (keyboards), lima anak muda yang sudah bergelar pelakon filem itu baru menyiapkan klip video lagu Pencinta Terbaik ciptaan sepenuhnya Edry Abdul Halim. Nyata Sofazr teruja dan amat berpuas hati.

Zimi atau nama sebenarnya Zarimi Zahari berkata, Sofazr tak menyangka mendapat peluang bekerjasama dengan KRU. Ujarnya, pemilihan dibuat sendiri pihak KRU yang berasakan lagu itu sesuai dinyanyikan Sofazr. Jadi, idea itu sepenuhnya daripada KRU sendiri dan Sofazr terima dengan hati terbuka.

“KRU berminat menjalin kerjasama selepas mereka terdengar Sofazr menyanyi di radio. Bagi kami pula, memang tiada masalah bekerja dengan mana-mana pihak kerana mahu juga mencuba. Jujur dikatakan, alunan melodi lagu Pencinta Terbaik itu cukup sedap didengar dan ia membuatkan kami tertarik.


“Bahkan, Edry juga memberi kelonggaran kepada kami untuk mendendangkan lagu itu mengikut cara Sofazr sendiri. Malah, bersesuaian dengan konsep cerita bertemakan genre komedi romantik, Sofazr kembali ke zaman remaja. Kami juga perlu menghidupkan semula kehangatan ‘cinta monyet’ dan jadi nakal.

“Ia satu pengalaman yang menyeronokkan kerana di kala usia kami semuanya sudah meningkat dewasa, harus kembali menjadi remaja. Kehidupan ketika itu pastinya gila-gila, nakal dan fikir gembira saja,” katanya memaklumkan Sofazr berpuas hati dengan klip video itu berikutan hasil perbincangan bersama.

Ditanya apakah ada kerjasama seterusnya, Zimi berkata, ia masih dalam perbincangan. Apapun, menerusi kerjasama pertama kali itu, nampaknya wujud keserasian antara Sofazr dan KRU.

Menurut Zimi, sepanjang sehari menyiapkan klip video terbabit, segala yang dirancang berjalan dengan lancar.

Menyentuh pula mengenai Sofazr The Movie... Jiwa Kacau, Zimi berkata, filem itu hanya menunggu tarikh Unit Wajib Tayang Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas).

Ujarnya, diharapkan kemunculan sulung Sofazr di layar perak itu menemui penonton di pawagam pada pertengahan tahun ini.

“Semuanya bergantung pada Finas. Apapun, filem ini sudah siap sepenuhnya dan Sofazr sekadar mengharapkan ia mendapat sambutan baik penonton. Lagipun, cabaran kami pastinya cuba menonjolkan komedi kepada penonton. Jadi, rasanya filem ini ada kelainan tersendiri dan penonton diharap terhibur.

“Memandangkan filem ini kami jayakan sendiri, masih banyak yang perlu dipelajari. Bagaimanapun, bekerjasama dengan Tauke Raja Lawak dan Isma AF sebagai pengarah, Sofazr berpuas hati dengan hasil kerja ditonjolkan. Mereka berdua mempunyai bakat walaupun baru dalam bidang pengarahan filem,” katanya.

Diterbitkan produksi Nusanbakti Corporation Sdn Bhd, Zimi berkata, pelbagai pengalaman menarik dilaluinya bersama anggota Sofazr yang lain sepanjang penggambaran filem itu.

Katanya, walaupun bergenre komedi ringan, tetapi filem itu banyak menyelitkan pengajaran dan pendidikan kepada penonton.

Zimi tidak menafikan, bukan mudah bergelar pelakon filem. Namun, semua itu boleh dipelajari dan ujarnya, dia yakin Sofazr The Movie... Jiwa Kacau akan mencuit hati penonton kerana menggabungkan barisan pelakon popular serta pelawak otai yang komedi mereka pasti membuatkan penonton tidak kering gusi.

Mengenai penghasilan album baru, Zimi berkata, semuanya dalam proses perbincangan kerana Sofazr akan berduet dengan penyanyi lain.

Katanya, bahan untuk album sudah ada tetapi ia mungkin dihasilkan secara berperingkat dan kemungkinan akan menemui peminat pada penghujung tahun ini. Sofazr enggan terburu-buru.

Selepas album Cintai Aku pada 2004, Sofazr muncul dengan Janjiku (2006), Kepantasanku (2008) dan kompilasi The Best of Sofaz (2009). Malah, tahun lalu Sofazr tampil dengan album kelima, Maaf Dari Hati yang memuatkan 10 lagu dan mereka bernaung di bawah syarikat rakaman Global Records.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters