Jom Buat Duit

Thursday, 2 February 2012

Pelengkap hidup saya - ANA Raffali



ANA Raffali, 26, menyifatkan diri dan sikapnya sebagai seorang yang sukar difahami lantas apabila memilih bakal suami, dia mengambil keputusan untuk berkahwin dengan rakan baiknya yang dikenali sejak tujuh tahun lalu.

Insan bertuah itu adalah jurugambar bebas, Ahmad Aznaim Abdullah (Naim), 29. Perkenalan mereka bermula ketika Ana masih belajar di Universiti Teknologi Mara, Shah Alam. Naim sering memuatkan gambar yang dirakam dalam laman webnya.

Ana atau nama sebenarnya Ana Nur Hidayah Mohd Raffali, yang berjiwa seni selalu melayari laman web Naim dan dari situlah tercetusnya tali persahabatan.

“Saya sukakan karyanya dan selepas itu kami berkenalan serta berbual mengenai apa saja. Pada awal pembabitan saya dalam bidang nyanyian, Naim banyak mengambil gambar saya untuk diperkenalkan kepada peminat muzik tanah air. Naim sangat memahami siapa saya yang berperangai pelik ini.


“Kalau nekad mahukan sesuatu, saya akan mendapatkannya dan suka bertanya serta memerlukan jawapan untuk setiap persoalan itu. Jika tak dapat jawapan, saya bertanya lagi kenapa dan mengapa. Naim sentiasa bersedia menyediakan jawapan untuk saya. Dari dulu sehingga sekarang, Naim sentiasa menyokong keputusan dan perjuangan saya.

“Naim sangat penyabar dan dia adalah pelengkap hidup saya. Naim juga rakan kongsi perniagaan saya. Kepada peminat di luar sana, doakan kebahagiaan kami,” katanya.

Pasangan bahagia itu akan melangsungkan perkahwinan mereka pada 25 Februari ini iaitu sehari selepas hari jadi Naim (24 Februari). Ana memilih mengadakan urusan pernikahan dan kenduri kesyukuran di Masjid Al-Hidayah, Taman Melawati, Hulu Kelang yang terletak berhampiran kediaman keluarganya.

Majlis dimulakan dengan acara pertunangan pada jam 10.30 pagi, disusuli akad nikah sejam kemudian yang bakal disempurnakan bapanya sendiri, Mohd Raffali Mohd Nor.

“Saya dan emak (Halijah Rashid, 61) sedang menyiapkan barang hantaran. Naim akan memberi tujuh dulang hantaran yang berbalas sembilan daripada pihak saya. Bagaimanapun, jumlah wang hantaran belum diputuskan,” katanya.

Untuk majlis pernikahan nanti, Ana akan memakai baju rekaan Ezuwan Ismail dan untuk acara resepsi, akan mengenakan baju rekaan Safura Ali.

Ana memilih tema bajunya rona kelabu, keluarga menggayakan baju rona coklat dan latar majlis pula putih.

“Tiada acara persandingan tetapi disediakan sudut khusus untuk bergambar. Saya dan keluarga kedua-dua belah pihak mahu mengadakan majlis yang sederhana dan bukannya berlebih-lebihan.

“Apa yang penting kami mahu menghebahkan mengenai perkahwinan ini dan seterusnya meraikannya bersama rakan, saudara-mara dan juga keluarga.

“Dengan status selebriti bukanlah menjadi sebab untuk saya bermegah-megah kerana saya tetap menganggap saya orang biasa saja,” katanya.

Jika ada yang ingin menaja perkahwinannya, Ana sedia terima agar majlis itu lebih meriah.

Ana mengadakan sidang media majlis perkahwinannya, kelmarin kerana katanya penting baginya untuk memberitahu berita baik itu kepada rakan media dan peminat.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters