Jom Buat Duit

Thursday, 2 February 2012

Jamal Abdillah curah bakti



SEMAKIN berusia, auranya semakin menyerlah. Biarpun disaingi hebat penyanyi baru, popularitinya tetap utuh. Penampilannya masih memukau semua golongan peminat. Bahkan, kehebatan vokal emasnya sukar ditandingi.
Inilah Jamal Abdillah yang sukar dicari ganti. Kerana ciri-ciri inilah, penyanyi bergelar Raja Pop ini masih menjadi pilihan penganjur bagi menjayakan konsert besar. Dia mengakui semakin aktif mengadakan persembahan di seluruh negara kebelakangan ini.

Buktinya, baru saja terbabit menjayakan Konsert Raja Pop Jamal Abdillah 2012 di Ipoh pada 28 Januari lalu, sudah ada tugasan terbaru menantinya. Kali ini, penyanyi berusia 53 tahun ini akan menemui peminat di selatan tanah air pula menerusi Konsert Mutiara Kasih yang akan berlangsung pada 12 Februari, jam 8 malam di JB Expo, The Zone Regency Hotel, Johor Bahru.

Menariknya, persembahan anjuran SNZ Event Management bersama A&A World Vacation Sdn Bhd yang turut menampilkan Rahmat Mega dan Dee ini bermatlamat membantu golongan tua yang ditinggalkan atau dipinggirkan anak dan keluarga.


Menurut Jamal, pembabitannya dalam seni sudah menjangkau usia 33 tahun dan sejak enam tahun kebelakangan ini, dirinya begitu aktif mengadakan persembahan dalam konsert mega.

“Ini tidak menghairankan kerana waktu awal bergelar artis dulu, saya tak pernah buat konsert begini. Dari 1979 hingga tahun 2000, saya tak pernah pun menjayakan konsert berskala besar. Sekarang saya kerap diundang untuk konsert besar dan rezeki saya melimpah-ruah. Bahkan peminat juga teringin untuk lihat saya beraksi dalam persembahan begini.

“Konsep yang ada akan dikekalkan untuk konsert di tempat lain. Kecuali di Kuala Lumpur, saya perlu tukar konsep kerana peminat mungkin pernah menonton konsert saya. Lagipun saya memang tak suka konsep yang sama kecuali lagu yang dinyanyikan. Berbeza konsert sebelum ini, saya yang akan diiringi barisan pemuzik profesional, turut menampilkan seorang pemuzik undangan bernama Tymer.

“Kami akan berkolaborasi bersama secara live dan unplugged dalam beberapa lagu. Gandingan dengan gadis berbakat yang masih menuntut di sebuah universiti ini sudah dimulakan di Ipoh dan sekali lagi saya panggil dia untuk konsert ini. Tujuannya supaya peminat tak bosan menonton persembahan saya.

“Sama seperti di Ipoh, saya akan menyampaikan lebih 20 lagu termasuk lagu Tan Sri P Ramlee seperti Tidurlah Permaisuri, Getaran Jiwa dan Jeritan Batinku. Tymer akan bermain saksofon manakala saya bermain gitar,” katanya yang tidak ambil lewa dengan setiap persembahan bagi memberikan kepuasan buat peminat serta mempertahankan reputasinya sebagai penyanyi hebat.

Program Mutiara Kasih bukan saja memberikan hiburan semata-mata. Bahkan penganjur turut mengadakan acara gotong-royong di dua rumah yang dikenal pasti iaitu Pertubuhan Rumah Orang-Orang Tua Nur Ehsan, Kempas pada pagi 11 Februari.

Sementara itu, Pengarah Pemasaran SNZ Event Management, Zarina Othman berkata, pihaknya memilih Jamal kerana Raja Pop ini mempunyai satu nama besar dan diminati ramai peminat. Malah menerusi promosi yang dibuat bersama A&A World Vacation, mereka sudah berjaya menjual 50 peratus meja setakat ini daripada sasaran yang diletakkan iaitu 140 meja.

“Kami akan menyumbangkan 20 peratus daripada kutipan tiket untuk Pertubuhan Rumah Orang-Orang Tua Nur Ehsan Kempas dan Sekolah Tahfiz Anak-Anak Yatim Pandan. Sumbangan diberikan ketika majlis gotong-royong pada 11 Februari. Selain dapat menonton konsert, pembeli tiket juga berpeluang menang cabutan bertuah berupa tiket melancong ke destinasi pelancongan menarik tanah air dan luar negara.

“Kami juga mengadakan sesi eksklusif bersama Jamal untuk peminat bertuah menerusi sesi promosi yang diadakan di stesen radio terpilih. Tiket bernilai RM550, RM450 dan RM250 boleh didapati dengan menghubungi talian 07-5569276, 019-7007187, 012-7232167 dan 017-7717961. Jualan tiket akan ditutup pada 10 Februari ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters