CERITA pelakon tinggi lampai Fouziah Gous dilamun cinta sudah lama diketahui peminat, namun laporan sebuah portal hiburan baru-baru ini mengenai hubungan cintanya dengan seorang duda yang bergelar 'Datuk Seri' menimbulkan banyak reaksi.
Laporan tersebut mendakwa Fouziah mengesahkan hubungannya dengan seseorang yang dikenali sejak beberapa tahun lalu.
Wanita berusia 29 tahun itu menyatakan bahawa lelaki tersebut yang merupakan rakan niaga abangnya, melamar Fouziah melalui abangnya.
Fouziah yang popular menerusi drama Trilogi Cinta itu bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai 'Datuk Seri' kerana masih dalam proses mengenal hati budi masing-masing.
Dia turut mengaku bahawa dia baru sahaja berpeluang untuk keluar bersama dengan lelaki tersebut baru-baru ini.
Sensasi Bintang: Desas-desus mengatakan anda sedang dilamun cinta. Betulkah?
FOUZIAH: Kalau boleh saya tak nak komen lagi mengenai perkara ini. Saya kecewa dan sudah serik untuk memberi kenyataan mengenainya kerana ia telah dimanipulasi oleh portal hiburan terbabit.
Jawapan itu memberi gambaran hubungan Fouziah dengan Datuk Seri tersebut memang berasas.
Bagaimana Fouziah mendakwa dimanipulasi?
Kalau boleh saya tidak mahu membesarkan perkara ini. Sejak berita itu keluar ramai yang menghubungi saya untuk mendapatkan pengesahan. Sebenarnya laporan itu adalah tidak benar. Memang wartawan berkenaan ada bertanyakan kepada saya mengenai status hubungan saya. Saya memberitahu dia bahawa saya sudah mengenali seseorang tetapi tidak menyatakan sama ada orang bergelar Datuk Seri atau tidak. Apabila artikel itu diterbitkan, lain pula jadinya.
Bagaimana laporan sedemikian boleh keluar sedangkan wartawan berkenaan mendapatkan kenyataan daripada Fouziah sendiri?
Saya pun terkejut tetapi saya telah mendapatkan penjelasan daripada wartawan terbabit. Dia ada meminta maaf atas artikel berkenaan. Dalam penjelasannya, dia memberitahu bahawa tulisannya telah ditokok tambah oleh pihak editor. Saya kasihan juga kepada penulis berkenaan kerana dia menjadi mangsa keadaan. Tetapi hubungan saya dengan wartawan berkenaan tiada masalah, lagipun saya sudah memaafkannya.
Jadi, apakah yang tidak benar daripada artikel berkenaan itu?
Dakwaan kononnya saya bercinta dengan Datuk Seri. Ayat itu tidak pernah keluar daripada mulut saya. Tajuk artikel berkenaan juga tidak benar. Ia telah ditambah dan jauh menyimpang daripada apa yang saya jelaskan ketika diwawancara. Memang saya membuat kenyataan itu tetapi tidak menyebut perkataan Datuk Seri.
Selepas berita itu diperbesarkan, timbul pula isu Twitter daripada akaun Fouziah yang berbaur ugutan kepada wartawan berkenaan. Kenapa hal itu berlaku?
Saya sebenarnya membalas tweet yang dihantar oleh wartawan berkenaan kepada saya. Sebenarnya tiada apa-apa niat pun kerana dia terlebih dahulu telah meminta maaf daripada saya.
Kenapa tweet tersebut pula menjadi isu?
Sebenarnya saya tidak sangka pun ia akan menjadi isu besar kerana saya tidak berniat untuk mengugut wartawan berkenaan, saya cuma bergurau dengannya. Tiba-tiba sebuah portal hiburan lain memperbesarkan isu tweet itu tanpa mendapatkan kenyataan daripada saya mahupun wartawan berkenaan. Saya sakit hati apabila pihak berkenaan tidak menghubungi saya untuk mendapatkan ulasan.
Ada apa-apa tindakan lain yang ingin dilakukan?
Saya tidak mahu perbesarkan isu ini. Saya tidak mahu komen lebih. Semuanya sudah selesai.
No comments:
Post a Comment