Jom Buat Duit

Sunday, 1 April 2012

Kemahuan Elveena Iris


SEKADAR mahu dikenali sebagai Elveena Iris, penyanyi ini sedang muncul dengan single terbaharunya Malu Tapi Malu dan Cinta Tidak Boleh Begini


EMPAT tahun dia tersungkur. Dia jatuh dan cuba bangkit kembali, namun semangatnya bukanlah serapuh ranting kering. Buat wanita yang memilih untuk sekadar dikenali sebagai Elveena Iris itu, azamnya likat dalam menongkah pancaroba dunia seni. Mengalah bukan istilah yang wujud dalam prinsip hidupnya.

Pernah muncul dengan dua single berjudul Memang Benar dan Pelangi Impian namun percaturan yang dibuat bersama seorang penerbit sebuah syarikat rakaman membawa Elveena kepada puncak populariti.

"Dahulu saya ada buat single tapi semuanya macam di angin lalu, tiada sebarang promosi, tidak ada tindakan susulan dan saya sendiri tidak tahu sama ada lagu saya itu telah dihantar ke stesen radio atau tidak. Saya juga tiada peluang untuk bertemu media seperti kali ini," bicara Elveena yang kini bernaung bawah Cherry Talent Management untuk melebarkan sayapnya.
Katanya, selama empat tahun jatuh bangun dalam industri, banyak mengajarnya bersabar dan berusaha.

"Saya kini lebih matang dalam membuat keputusan," kata Elveena.
Sebagai pertaruhan baharu, Elveena menyandarkan single berjudul Malu Tapi Mahu yang dimuatkan dalam album mini yang turut mengandungi sebuah lagi lagu, Cinta Tak Boleh Begini.
Memilih genre pop komersial, kata Elveena, dia kini lebih yakin berdiri sama tinggi duduk sama rendah dengan penyanyi popular yang lain.

"Saya lebih suka rentak sederhana. Untuk lagu Malu Tapi Mahu, saya menggunakan khidmat Adnan Abu Hassan sebagai komposer manakala lirik ditulis oleh Sheila Abdul. Saya sangat berterima kasih dan teruja bekerja dengan Adnan sebab dia jenis yang cerewet dan tahu sama ada seseorang penyanyi itu boleh menyanyi atau tidak.

Bila dia puas hati dengan kemampuan vokal saya, saya cukup lega," katanya yang juga bekerjasama dengan Zul 2 By 2 untuk lagu Cinta Tidak Boleh Begini.

Masih malu-malu dan kekok dalam pertuturan namun dari segi gaya, dia tidak mahu kalah. Katanya, untuk membina nama, imej harus seiring dengan produk yang hendak dijual. Memang padan dengan orangnya, bukan sahaja boleh menyanyi, dia juga seorang usahawan wanita berjaya bahkan turut bergelar duta produk kecantikan So Sweet Cafe dan satu jenama pakaian, Posh Hup.

Tambah Elveena, kemunculan untuk dikenali sebagai penyanyi bukanlah untuk menjual nama atau meraih populariti semata-mata. Biarpun tidak pernah dikenali atau mencipta kemenangan daripada mana-mana pertandingan bakat, dia percaya ketulusan terhadap bidang yang dicintai sejak kecil itu akan memberikan kepuasan berganda buatnya.

"Saya cuma mahu menyanyi dan ada produk sendiri untuk dipersembahkan. Biarlah orang kenal Elveena Iris dengan bakat yang dimiliki. Tak salah untuk saya jadi sebahagian daripada penyanyi. Saya mahu sekadar memeriahkan industri tapi jika boleh pergi jauh atau rezeki lagu masuk carta, itu lebih bagus," katanya yang sudah mula menghantar single terbaharu itu ke stesen-stesen radio.

Belum begitu mesra namanya di mata peminat, Elveena baru-baru ini dipilih sebagai penyanyi lagu runut bunyi untuk filem terbaharu arahan pengarah terkenal Murali Majid yang bertajuk Hantu Air.
"Dua buah lagu berkenaan bertajuk Aku Cinta Padamu dan Melati Putih. Tawaran itu semakin menguatkan semangat saya untuk meneruskan langkah dalam karier nyanyian," ujar Elveena penuh pengharapan.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters