Jom Buat Duit

Sunday, 1 April 2012

Cerita cinta Yana, Pierre





KETIKA berputik kuntum cinta, jiwa mereka masih terlalu rapuh, masih terlalu hijau untuk mengenal sejuta warna yang bakal dihadapi kemudian hari.

Barangkali mudah untuk diberi nama 'cinta monyet', tetapi cinta zaman remaja itulah yang mematangkan pemilik nama Pierre Andre dan Yana Samsudin untuk membezakan realiti dan betapa cinta itu mampu dimanipulasi.

Momen cinta manis mereka sudah hampir ditelan waktu. Hampir enam tahun peristiwa berlalu namun menjelang 5 April nanti, kenangan itu akan menjelma semula di layar perak menerusi 3 Temujanji, filem pertama yang menggandingkan bekas pasangan kekasih itu sebagai pasangan romantik.

Buat Pierre Andre dan Yana sendiri, itu bukan kali pertama mereka bekerjasama selepas putus cinta sekitar 2007. Yana sendiri pernah bertindak sebagai pengarah manakala Pierre berlakon di bawah arahan debutnya untuk filem Selamat Pagi Cinta (2008).
Melihat siri perjalanan yang dilalui dua pelakon berjiwa pengarah itu mencongak kehidupan, masing-masing sedang progresif meninggalkan titik hitam. Masa lalu menjadi ubat manakala hari muka pula tidak perlu ditagih kepastiannya sehingga ia datang membuka rahsia kehidupan.
.
Fantasi cinta Pierre
Norliana Samsudin, 28, tersenyum simpul saat diminta menterjemah siapa lelaki bernama Mohd. Pierre Andre Nazatul Andre itu di mata hatinya. Dia kelihatan lega, seolah-olah hubungannya bersama bekas kekasihnya itu langsung tidak berparut dalam jiwa.
"Dari segi karier, saya seperti sedang mengejar langkah Pierre. Saya sedang menghampiri tahap yang sedang dijejakinya. Memang tak sangka bahawa saya akan dipadankan sebagai heroinnya dalam sebuah filem. Kalau dahulu, hanya Fasha Sandha atau Fazura yang jadi kekasihnya, sekarang saya pula. Bezanya, Pierre jadi hero saya setelah kami tiada apa-apa hubungan cinta," katanya dalam nada selamba.

Menambah dalam nada yang lebih tegas, kata Yana, mereka disatukan dalam filem kerana anugerah yang dimenangi.

Bercerita tentang watak Reanna lakonannya dalam 3 Temujanji yang mempunyai sedikit persamaan dengan sikap benar dirinya, Yana bagaimanapun mengakui, ada ketikanya dia hampir hanyut dibuai romantik Pierre.
"Dari segi prinsipnya, Reanna hampir sama dengan saya yang tidak percayakan cinta dan menetapkan setiap hubungannya dengan lelaki akan berlangsung tidak lebih daripada tiga temu janji sahaja.

Selepas tiga temu janji, mereka akan berpisah.
"Tapi selepas Sein muncul, Reanna sedikit keliru. Bukan Reanna sahaja, jantung saya sendiri sebagai Yana juga seperti direntap dengan kuat. Dalam satu babak, Sein datang untuk melamar Reanna dalam keadaan cukup romantis. Saya tengok muka dia, saya jadi keliru sama ada itu Sein atau Pierre, betul ke lakonan, saya teringat masa saya bersama Pierre dahulu, cinta kami bukannya romantik sangat. Jadi bila dia mahu melamar saya sebegitu, saya terleka kemudian tersedar semula bahawa itu hanya fantasi. Nasib baik, ada satu benda yang membuatkan getaran saya agak berkurangan," katanya hampir dibuai aksi cinta Pierre.

Tatkala diusik kemungkinan mereka kembali dilamun cinta, Yana masih dengan pendiriannya. Seraya menjelaskan, dirinya seorang abstrak yang boleh memberi dan menerima mana-mana cinta lelaki dalam filem tapi dalam kehidupan sebenar dia masih bersifat tertutup.
"Saya ada ramai kawan lelaki, tapi entahlah, saya masih belum bersedia untuk ada komitmen cinta, hidup saya pada karier dan keluarga. Memang jalan untuk saya dan Pierre sedang terbuka, tapi hati saya belum terdetik untuk cinta," katanya membongkar sebuah cerita yang mungkin tidak pernah diketahui mana-mana pihak.

Tambah Yana, dia pernah menyepi selama setahun.
"Ramai yang tidak tahu saya ke mana. Bila saya muncul semula, ada orang beritahu saya bahawa Pierre memang mencari saya kerana dia mahu melamar saya. Saya terkejut tapi hasrat itu habis begitu sahaja," katanya.

Pierre sayangkan Yana
Sebagai mukadimah, jatuh bangun Pierre Andre, 27, sepanjang berada dalam industri begitu ketara. Dia pernah dikenali sebagai pelakon dan pengarah yang punya masa depan cerah namun ketika namanya di atas, Pierre terjatuh ke dalam masalah dalaman yang hampir membunuh reputasinya. Peristiwa bergaduh dengan wartawan, penerbit serta krisis cinta membuatkan nama Pierre hampir tenggelam.

"Ya, saya akui graf karier saya sangat ketara turun-naiknya. Saya sendiri sukakan graf, sukakan warna, suka rasa sakit. Dahulu saya muda, ketika saya naik umur saya baru 21 tahun.
"Mula-mula popular, saya ingat semua itu seronok, semua orang beri perhatian kepada saya. Tapi bila berlaku tekanan, barulah saya kenal diri saya. Sebenarnya, saya tidak boleh hidup dalam keadaan begitu. Saya pernah rasa mahu berhenti berlakon, saya sudah putus asa tapi sekarang semuanya sudah kembali normal. Graf itu bagus," Pierre mengungkap sketsa hidupnya dalam gaya pemikir.

Agak lama Pierre tidak muncul untuk sesi fotografi sebegini, secara telitinya, pengarah yang sedang mengarahkan filemnya yang ke-10 itu sedikit berisi. Pantas pula dia mengakui, beratnya kini mencecah 91 kilogram (kg).
"Dulu berat saya dalam lingkungan 70 kg sahaja," katanya.

Sama juga seperti kekasihnya dalam filem 3 Temujanji itu, Pierre juga selesa diajak bercerita tentang keserasian mereka yang tidak pernah terjejas oleh kisah putus cinta. Di mata Pierre, Yana sekarang sudah jauh meninggalkan imej Yana yang dikenali sejak zaman remaja dahulu.
"Melihat Yana, saya jadi seronok dan kagum. Memang kami pernah bersama sebagai kekasih tapi ketika itu masih terlalu muda, masih tiada arah tuju. Mungkin perpisahan itu ada hikmahnya, kalaupun kami berkahwin mungkin kami tidak jadi seperti apa yang ada pada kami ketika ini," ujar Pierre.

Tidak menyembunyikan perasaannya yang masih berbaki sayang terhadap Yana, Pierre sendiri mengakui, kehadiran Yana Samsudin yang dikenalinya daripada lokasi drama Tarian Melayu Terakhir itu sebenarnya memberi impak besar dalam hidupnya.

"Saya jenis anak mak, di belakang saya kena ada seorang wanita. Kalau bukan ibu saya, maka Yana ialah wanita itu. Dia menyokong karier saya ketika saya bukan lagi sesiapa. Kami pernah sama-sama susah. Bila bertemu semula selepas berpisah, saya lebih menghormatinya.
"Tapi, saya tidak mahu lagi bercakap soal cinta. Bagi saya cinta itu memenatkan. Saya pernah merancang untuk berkahwin, tetapi bila tidak kesampaian ia jadi pengalaman cinta terakhir yang sangat menyakitkan. Sekarang, saya hanya mahu berserah kepada jodoh, kalau Yana jodoh saya, saya terima," bicaranya lancar berbunyi jujur.

Ambil karakter bapa
Lari seketika dari lokasi Kita yang meletakkan Yana sebagai heroin di sisi Pekin Ibrahim manakala Pierre sendiri sebagai pengarah, pasangan bekas kekasih itu juga baru selesai penggambaran sebuah filem berjudul Cinta Strawberry.

Ditanya tentang kelainan lakonan yang bakal dipersembahkan, Pierre tiada jawapan lebih mengujakan selain mengharapkan 3 Temujanji memberikan pengalaman menonton yang mengasyikkan.

"Kalaulah saya berlakon bawah arahan Karan Johar, mungkin filem lakonan saya itu akan sangat hebat. Filem itu arahan Hashim Rejab, dia sahabat saya dan saya tahu apa yang cuba dilakukan olehnya," ujar Pierre yang meniru karakter bapanya untuk menjiwai watak Sein dalam 3 Temujanji.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters