GANDINGAN pemain elit negara, Adrian Ang dan Aaron Kong menepati status sebagai pilihan utama apabila mengekalkan kejuaraan beregu lelaki pada Kejohanan Boling Antara Negeri Ke-25 di Sunway Megalanes, Bandar Sunway, Petaling Jaya semalam.
Adrian, pemenang empat pingat emas Sukan SEA 2011, melakukan catatan 211, 227, 228, 227, 226 dan 153 untuk mengumpul 1,272 jatuhan pin.
Aaron pula mencatatkan 223, 212, 235, 214, 191, 214 untuk jumlah 1,289 jatuhan pin, sekali gus menyaksikan mereka merekodkan keseluruhan 2,561 jatuhan pin.
Gandingan Pahang, Johnathan Chan-Rodson Tong yang melakukan 2,527 jatuhan pin dan Mohd. Hanif Mohd. Bakri-Abdul Rahim Salleh (2,496 jatuhan pin) masing-masing merangkul pingat perak dan gangsa.
Aaron berkata, dia dan Adrian telah menunjukkan semangat berpasukan yang tinggi dan konsisten sepanjang saingan untuk merangkul pingat emas kedua untuk Pulau Pinang.
"Saya cukup gembira kerana kami beraksi dengan baik sejak awal permainan, seterusnya membolehkan kami meraih emas," kata Aaron.
Mengenai acara berpasukan hari ini, Aaron mengakui, persaingan bagi memburu emas amat sengit memandangkan juara bertahan, Selangor mempunyai beberapa pemain kebangsaan termasuk Alex Liew dan Zulmazran Zulkifli.
Sementara itu, gandingan Selangor, Hafiz Fikri dan Mohd. Zharif Hashim membuktikan keunggulan mereka dengan mempertahankan kategori beregu lelaki junior.
Hafiz, 16, yang berganding dengan Muhammad Aizudeen Mustaq tahun lepas, mencatatkan 215, 206, 212, 212, 186 dan 173 untuk mengumpul 1,204 jatuhan pin, manakala Zharif mencatatkan 194, 200, 204, 223, 235 dan 183 untuk jumlah 1,239 jatuhan pin.
Secara keseluruhannya, mereka merekodkan 2,443 jatuhan pin.
"Saya tidak menyangka akan memenangi emas buat kali kedua selepas menang tahun lepas bersama Aizudeen dan saya akan jadikan kemenangan ini sebagai pembakar semangat untuk saya mencipta lebih banyak kejayaan pada masa akan datang," kata Hafiz, pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan Banting.
Bagi Zharif, 19, kemenangan tersebut merupakan antara pencapaian terbaiknya sejak aktif bermain boling pada usia 11 tahun.
"Saya tidak fikir untuk meraih kemenangan pada kejohanan ini kerana apa yang lebih penting ialah mempamerkan permainan sebaik mungkin dan saya bangga dapat melakukannya hari ini," kata pelajar Politeknik Shah Alam itu.
Dalam kategori beregu wanita junior, gandingan Sarawak, Nerosha Keligit-Jackelyn Ng meraih emas pertama untuk negeri tersebut selepas melakukan 2,304 jatuhan pin.
Nerosha melakukan 206, 238, 226, 193, 188 dan 170 untuk mengumpul 1,221 jatuhan pin, manakala Jackelyn membuat 170, 180, 180, 181, 200 dan 172 untuk mengutip 1,083 jatuhan pin.
No comments:
Post a Comment