Jom Buat Duit

Tuesday 20 November 2012

Zizan dan Shaheizy Sam, Hangat fizikal dan minda

IRONINYA, dua orang jejaka yang sedang meniti arus populariti, Zizan Razak dan Shaheizy Sam mengaku mereka bukan lelaki hangat yang berada dalam industri hiburan tempatan. Walaupun begitu, sejak dua minggu lepas, termometer mereka kini sedang hangat gara-gara kisah cinta masing-masing yang masih menjadi tanda tanya.

Walaupun mungkin tidak menganggap diri sehangat Aaron Aziz, namun, mereka berdua punya tarikan tersendiri yang membuatkan ramai gadis yang jatuh cinta dengan mereka. Namun, masing-masing mempunyai kisah hati dan cerita cinta tersendiri kini sedang hangat berlegar di internet.
Bercerita mengenai kisah cinta Zizan, semua peminat tahu mengenai kisah cinta dirinya bersama aktres cantik, Juliana Evans yang kini berada di Amerika Syarikat untuk menyambung pelajaran.
Bagaimanapun, setelah beberapa bulan berada di sana, heboh berikutan foto-foto mesra Juliana bersama jejaka Inggeris yang dimuat naik oleh tuan punya badan sendiri. Juliana juga sempat memberi penjelasan pendek pada laman Twitter yang mengatakan tidak salah dia berkawan kerana berstatus solo.

Mengulas tentang isu tersebut, Zizan yang memanggil Juliana dengan panggilan Jue itu memberitahu: "Saya pernah baik dengan Jue dan pastinya orang akan bertanya mengenai hubungan kami.
"Saya akui ketika dia belajar di sana, kami membawa haluan masing-masing dan kami juga tidak pernah memutuskan apa-apa tentang perhubungan kami sebelum ini.
"Saya tidak kisah jika orang bertanya. Selagi saya boleh jawab, saya akan berusaha menjawabnya dengan baik. Seperti yang pernah saya katakan sebelum ini, saya tidak mengenali teman Jue yang tersebar di dalam gambar di internet baru-baru ini.

"Hakikatnya, saya juga tidak pernah bertanya mengenai isu peribadi dirinya. Dia juga mengaku bahawa dia masih solo dan saya tidak pernah berasa kecewa tentang perkara ini."
Lain pula cerita Sam yang kini dikaitkan bercinta dengan pelakon baharu, Syatilla Melvin yang dikenalinya sejak setahun lalu. Tidak menafikan yang dia sememangnya rapat dengan pelakon tersebut, Sam punya alasan tersendiri mengapa gadis 22 tahun itu dipilih menjadi teman rapatnya.
"Saya mengakui rapat dengan Syatilla, namun hanya sebagai rakan. Ini kerana, saya berasa amat senang untuk berkongsi cerita dengannya, tetapi, ia bukan seperti yang orang sangkakan kerana saya masih lagi belum bertemu sesiapa untuk dijadikan kekasih atau melangkah ke peringkat seterusnya.
"Saya akui, rakan industri hanya akan bercakap tentang industri, namun dia (Syatilla) seorang rakan yang apabila kami bertemu kami tidak pernah bersuara tentang kerja. Saya rasa kami selesa menjadi rakan di luar set penggambaran juga," ujar Sam tanpa berselindung.

Tak 'hangat'
Meninggalkan kisah 'cinta' hangat mereka berdua, Zizan dan Sam diajak bercerita tentang pencalonan mereka dalam kategori Hot Guy Awards menerusi anugerah urban Shout Awards 2012 yang bakal berlangsung pada 23 November ini.

Popular dan hangat dengan karier masing-masing, Zizan dan Sam bagaimanapun mempunyai pendapat tersendiri tentang pencalonan mereka.
Bersaing dengan empat lagi jejaka 'hangat' iaitu Remy Ishak, Henry Golding, Hans Isaac serta Aaron Aziz, mereka berdua menghuraikan tentang definisi hangat daripada persepsi mereka.
Adakah ia semata-mata tentang rupa atau ada perkara lain yang mereka yang mungkin mereka rasakan sehingga terpilih ke dalam kategori tersebut?
Bagi kedua-dua figura popular ini, mereka tidak pernah berasa diri sebagai lelaki 'hangat'. Maka apabila tercalon dalam senarai tersebut, mereka merasakan ia mungkin atas faktor lain sehingga dipilih dan diundi layak masuk ke dalam senarai tersebut.

Bagi Sam atau nama sebenarnya, Shaheizy Sam Abd. Samad, dia tidak pernah merasakan dirinya seorang jejaka yang hangat dari segi fizikal mahupun rupa.
"Saya tidak melihat faktor hot atau hangat itu bergantung hanya kepada penampilan yang menarik dan tampan atau menarik secara fizikal.
"Bagaimanapun, mungkin ia lebih kepada apa yang mereka minat. Mungkin saya seorang pelakon yang masih diperlukan dan diminati sekarang dan orang masih mahu melihat saya.
"Namun, saya akui, pada mata saya, lelaki seperti seperti Aaron Aziz mahupun Hans Isaac, mungkin itu boleh dikategorikan sebagai hangat fizikal.

"Apapun saya rasakan, Tuhan Maha Adil, mungkin pada pandangan sesetengah orang memandang saya ini hangat, maka tercalonlah saya di dalam senarai tersebut.
"Saya tidak pernah rasa diri ini hangat, tapi mungkin boleh diterima sedikit?" ujar Sam yang pernah dua kali tercalon dalam kategori yang sama sambil berjenaka.
Pelawak perlu cekap, bijak
Walau bagaimanapun, pendapat pelawak, Mohd. Razizan Abd. Razak atau lebih mesra disapa Zizan, seorang individu yang dikategorikan sebagai hangat tidak hanya terletak pada kecantikan fizikal sahaja.

"Jika kita lihat dalam pertandingan ratu cantik, hot itu bukan bermakna rupa semata-mata, namun ia merangkumi kebijaksanaan seorang wanita itu.
"Begitu juga dengan perkara ini, saya juga memandang ke arah itu. Mungkin ia lebih kepada diminati atau bakat.
"Saya tidak rasa diri ini terlalu hangat dan memang ia perkara subjektif serta perlu tanya kepada orang yang memilih atau melihat kami sebagai hangat. Bakat merupakan perkara paling utama bagi seorang penggiat seni, tidak kiralah anda di bidang mana sekalipun," tutur Zizan mengenai pencalonan pertamanya dalam kategori Hot Guy Awards.



SHAHEIZY SAM (belakang) dan Zizan Razak mempunyai karier yang sukses serta populariti yang membuat mereka menjadi pujaan ramai peminat terutama peminat wanita.  
 
Walaupun begitu, Zizan dan Sam tidak meletakkan sebarang harapan untuk menjadi lelaki hangat yang dipilih oleh masyarakat kelak. Bagaimanapun mereka berterima kasih kepada peminat yang sudi mengundi sehingga nama mereka tercalon.
Ketika sedang rancak bercerita mengenai perasaan menjadi jejaka hangat, Zizan juga menyelitkan rasa syukurnya kerana sebagai seorang pelawak, akhirnya, tahap mereka juga telah menjadi setaraf pelakon-pelakon yang lain.

"Bagi saya, ini satu perkembangan positif dalam industri hiburan tempatan. Pelawak sudah boleh diterima baik. Tidak dipinggirkan seperti dahulu. Saya amat berharap suatu hari kelak pelawak-pelawak tempatan akan berada pada tahap yang lebih tinggi.
"Kini Alhamdulillah, orang nampak tahap komedi dan diletakkan setanding dengan genre yang lain. Saya juga berharap walaupun penerbit membikin cerita sedih, komedi juga perlu diwujudkan dalam setiap filem atau sebagainya," katanya yang turut memuji Sam yang berjaya menjadi seorang pelakon yang versatil.

Sam pentingkan kesempurnaan
Kelibat Sam dalam industri seni bukanlah baru, namun nama Sam telah mula dikenali sejak dia berumur 15 tahun lagi menerusi sebuah telemovie yang berjudul Pa'e. Apa yang menariknya, akui Sam, lakonan bukanlah bidang pertama yang ingin diceburinya.
"Sebenarnya, pada mulanya, saya ingin menjadi penyanyi dan saya memang minat dengan bidang tersebut. Tapi, saya sendiri tidak pasti bagaimana boleh terjerumus dalam lakonan. Setelah melihat rezeki yang baik melalui lakonan, saya pun teruskan," tutur Sam ketika ditanya mengenai isu tarik diri dari menyertai Anugerah Juara Lagu ke-27 (AJL 27).

Tambahnya, walaupun dia pernah meminati bidang nyanyian, namun, dia seorang yang amat mementingkan kesempurnaan biar dalam apa juga bidang yang diceburi.
"Saya mementingkan kesempurnaan. Jadi, untuk menyanyi, saya akan pastikan saya betul-betul bersedia dan ketika ini, untuk nyanyian, sememangnya saya tidak bersedia. Begitu juga dengan bidang pengacaraan, saya seorang yang gemar berfikir panjang, jadi saya akui saya bukan seorang yang cepat berfikir dan tidak sesuai untuk menjadi seorang pengacara," cerita Sam jujur akui tentang kelemahan dirinya.
 

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters