Jom Buat Duit

Saturday, 17 November 2012

Filem SKYFALL Pecah panggung, pecah rekod

"NAMA saya Bond, James Bond!" Itu merupakan dialog yang cukup sinonim dengan watak perisik British yang cukup dikenali dengan nombor kod 007 dan mula diperkenalkan kepada penonton di layar perak pada 5 Oktober, 1962 menerusi siri filem sulungnya berjudul, Dr. No.
Watak James Bond yang pertama itu dilakonkan oleh aktor Sean Connery.

Sejak itu sehingga tahun lepas, sejumlah 22 buah filem James Bond muncul membina francais dengan keuntungan keseluruhan terkumpul hasil kutipan tiket tayangan di pawagam yang cukup hebat - mencecah AS$5 bilion (RM15.5 bilion).
Meneruskan legasi filem-filem James Bond yang muncul sebelumnya, tayangan perdana Skyfall diadakan pada 26 Oktober tahun ini di Eropah sebelum ia menjengah pawagam di lebih 20 buah negara termasuk Malaysia.

Ia bagaimanapun hanya mula ditayangkan di Amerika Utara (menerusi rangkaian pawagam meliputi Amerika Syarikat dan Kanada) pada Jumaat, 9 November lalu dengan hasil kutipan selama tiga hari sepanjang hujung minggu lalu iaitu sehingga Ahad, 11 November mencecah AS$88.4 juta (RM266 juta).

Kutipan itu bukan sahaja meletakkan Skyfall sebagai juara carta Top 10 Filem Pecah Panggung Amerika Syarikat tetapi juga memecah rekod sebagai filem James Bond dengan kutipan minggu pembukaan tertinggi berbanding 22 filem James Bond yang muncul sebelum ini.
Sehubungan itu, menurut studio penerbitan Skyfall, Sony Pictures, kutipan terkumpul filem itu di seluruh dunia sejak mula ditayangkan pada 26 Oktober lalu kini terkumpul mencecah RM1.56 bilion - suatu pencapaian yang amat memberangsangkan berbanding kos pembikinannya yang cuma RM602 juta.

Apa yang pasti, sejak pertama kali filem ini ditayangkan, yang menjadi tumpuan impak kejayaan Skyfall sudah tentu Daniel Craig selaku wajah dan aura utama Bond.
Craig, 44, sememangnya mantap sebagai Bond. Sementelah dia bikin gempar apabila pertama kali muncul sebagai Bond menerusi Casino Royale (2006) dengan mendedahkan tubuh sasanya dalam satu adegan dia muncul dari dalam laut.

Kelangsungan Craig untuk watak Bond diteruskan menerusi Quantum Of Solace (2008).
Namun tutur Craig, setelah tiga kali memegang watak sebagai Bond, kini tiba masanya untuk mengundur diri dan katanya, Skyfall bakal menjadi filem terakhir Bond lakonannya.
Semasa ditemu ramah dalam program temu bual The Tonight Show with Jay Leno, Craig pernah menyatakan tentang keputusannya untuk bersara daripada dunia Bond.
"Saya pernah mencuba untuk keluar daripada dunia Bond sejak dari mula pembabitan saya menjadi perisik rahsia British ini.
"Mereka bagaimanapun tidak benarkan saya pergi dan saya pula telah bersetuju untuk terlibat dalam beberapa sekuel lagi, mungkin dua. Tengok nanti sejauh mana perkara ini akan berlanjutan," jelasnya.
KEUNGGULAN Bond yang dihidupkan Daniel Craig juga hasil aura fizikal tubuh sasanya.
 
Siri ke-24
Ujar Craig lagi, dia sendiri berasa bangga dan bertuah menjadi Bond. Setelah mendapat skrip Skyfall, dia seolah-olah telah bersedia untuk melakukannya lagi untuk sekuel Bond yang ke-24 dan seterusnya.

Dia menegaskan watak Bond lakonannya kali ini dalam Skyfall banyak bermain dengan emosi dan tidak dinafikan tenaga fizikal yang banyak perlu digunakan.
Sebagai latihan fizikal, Craig telah menjalani beberapa latihan seni mempertahankan diri.
Pada babak awal Skyfall, Bond digambarkan sebagai jatuh dari jambatan dan perlu berada di dalam air untuk beberapa ketika.

Bagaimanapun, walaupun ketika penggambaran babak dalam air, jurulatih skuba menyatakan Craig kelihatan seronok melakukannya.
Craig bagaimanapun mengakui dia tidak berapa menggemari adegan berlari yang perlu dilakukannya.
"Saya perlu banyak berlari dalam filem ini, yang mana sememangnya saya tidak suka untuk melakukannya. Bond pada kebiasaannya akan berlari apabila memasuki sebuah bilik atau sebagainya," tuturnya.

Dalam pada itu, penerbit filem-filem Bond, Barbara Broccoli sememangnya mahu Bond sentiasa dalam keadaan basah.
Katanya, Bond dan elemen air tidak boleh dipisahkan. "Itu (dibasahi air) merupakan perkara yang pasti yang akan dilakukan oleh Craig sebagai Bond," ujarnya.
Bagi Craig pula, watak Bond kali ini sangat berbeza berbanding Bond 50 tahun sebelumnya.
"Ini kerana kali ini Bond perlu mengalami kesakitan yang agak ekstrem. Dia juga turut berhadapan dengan persoalan tentang karier dan yang dipilihnya dan skilnya sebagai sebagai perisik rahsia," jelasnya.

Pilih Rihanna
Selain Bond, daya tarikan filem ini sudah tentu karakter gadis Bond yang akan tampil silih berganti dalam setiap sekuelnya. Kali ini, dalam Skyfall, Naomie Harris dan Bérénice Marlohe diberi kepercayaan memegang watak tersebut.
Bagi Craig sendiri, semasa ditemu ramah oleh Global Grind, dia menyuarakan pendapatnya tentang gadis Bond pilihan yang mungkin akan bergandingan dengannya pada sekuel akan datang. Pilihannya tidak lain dan tidak bukan, figura seksi dan sensasi Rihanna.

"Saya rasa Rihanna lebih sesuai menjadi gadis Bond pada sekuel hadapan kelak. Ini kerana saya percaya Rihanna akan berjaya membawa watak wanita tersebut berbanding Beyonce. Mungkin bagi saya, memandangkan karakter dan rupa Rihanna yang lebih 'nakal' berbanding Beyonce," tegas Craig tentang pilihannya antara Rihanna dan Beyonce sebagai calon gadis Bond pada masa hadapan.
Mengenai filem James Bond yang ke-24, ia dikatakan bakal muncul lagi dengan misi yang lebih mencabar dalam masa dua tahun lagi.

Biarpun sebelum ini dia mengatakan Skyfall merupakan filem Bond terakhir lakonannya, namun Craig dikatakan telah termakan pujukan penerbit.
Maka, peminat setianya bakal menyaksikan semula aksi aktor sasa itu dalam naskhah Bond ke-24 yang dijadualkan untuk ditayangkan pada tahun 2014 kelak.
Ini kerana menurut penerbit bersama filem James Bond, Barbara Broccoli dan Michael G. Wilson, wajah Craig masih lagi diperlukan untuk menyambung legasi watak perisik 007 itu.
Ia disebabkan impak keterampilan dan aura perwatakannya yang amat sesuai selain sambutan memberangsangkan terhadap filem-filem lakonannya sebagai Bond.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)