Jom Buat Duit

Tuesday, 13 November 2012

Khairul Fahmi Che Mat Tidak kisah kahwin muda

PASANGAN Khairul Fahmi Che Mat atau Apek dan Leuniey masih merahsiakan tarikh perkahwinan mereka yang dijangka berlangsung pada bulan hadapan atau Januari 2013. 

KELIBAT Nur Eilunie Natasha Nazri tidak pernah kelihatan dalam drama-drama tempatan atau muncul di layar perak. Dia juga bukan seorang pelakon atau penyanyi. Namun gadis manis yang disapa Leuniey itu kini menjadi antara gadis paling popular di Malaysia, setaraf dengan nama selebriti tempatan.

Semua itu terjadi apabila gadis yang usianya baru mencecah 21 tahun itu menjalinkan hubungan cinta dengan selebriti sukan yang cukup popular iaitu Khairul Fahmi Che Mat atau lebih sinonim dengan panggilan Apek.

Biarpun pernah menafikan ada menjalinkan sebarang hubungan cinta dengan penjaga gol Kelantan dan Malaysia itu sebelum ini, akhirnya takdir menentukan yang mereka akan menjadi pasangan suami isteri.

Ketika ditemui semasa majlis pelancaran Koleksi Ratu By Ezuwan Ismail di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur pada Sabtu lalu, Leuniey akui berasa agak berdebar menjelang detik hari bahagianya itu.

"Setakat ini segala persiapan perkahwinan berjalan dengan lancar. Berkenaan dengan tema pula, kami tidak menetapkan sebarang tema tertentu kerana mahukan satu majlis yang ringkas dan menarik.
"Mengenai tarikh sebenar kami diijabkabulkan pula, saya tidak boleh menjelaskannya dan boleh bertanya sendiri kepada Apek. Lagipun sebelum ini Apek sudah memberitahu akan membuat satu sidang akhbar untuk mengumumkannya," ujarnya sopan.

Ditanya sama ada dia tidak kisah membuat keputusan untuk mendirikan rumah tangga dalam usia yang cukup muda, Leuniey menyatakan semua yang berlaku itu merupakan ketentuan Allah.
"Kalau jodoh saya sudah sampai, sudah tentu saya perlu menerimanya dengan hati terbuka. Saya tidak kisah bertemu jodoh dan berkahwin pada usia muda kerana saya sendiri memang sudah bersedia bergelar isteri," jelasnya.

Bercerita mengenai hubungan yang terjalin antara mereka berdua dengan lebih lanjut, Leuniey secara jujurnya menyatakan dia tidak ingat bila Apek melamarnya sebagai kekasih.
Bagaimanapun, hubungan kedua-duanya mula menjadi rapat apabila sama-sama terbabit dengan iklan komersial minyak wangi SimplySiti pada bulan Mac lalu.

"Selepas terbabit dengan iklan tersebut, hubungan kami menjadi rapat dan akhirnya kami bercinta. Saya memilihnya sebagai kekasih kerana melihat dia sebagai seorang lelaki yang matang dan menghormati keluarga.
"Selain itu dia juga seorang yang bertanggungjawab dan sering mengambil berat terhadap diri saya. Berdasarkan kepada kriteria-kriteria itu akhirnya saya bersetuju mendirikan rumah tangga dengannya," ujarnya.

Pada masa yang sama, Leuniey juga menyatakan dia tidak kisah menjadi isteri kepada seorang jejaka yang cukup terkenal serta sudah bersedia berhadapan dengan segala kemungkinan terutamanya cerita kurang enak mengenai diri Apek.
"Saya akui terdapat beberapa gosip yang pernah melanda diri Apek, termasuk kisah hubungannya dengan seorang aktres sebelum ini. Namun begitu, saya tidak mahu terlalu ambil serius sangat mengenainya.

"Apa yang lebih penting saya tidak akan terlalu terburu-buru mempercayai sekiranya ada gosip yang melanda jika melibatkan diri Apek. Saya berharap tidak ada lagi sebarang cerita kurang enak apabila kami sudah berumah tangga nanti," ujarnya.

Tidak minat
Dengan mempunyai rupa paras yang jelita, pastinya bukan sukar buat Leuniey untuk berkecimpung dalam dunia lakonan. Apatah lagi dia pernah terbabit dalam iklan komersial sebelum ini.
Bagaimanapun, tanpa berselindung dia menyatakan tidak mempunyai minat untuk terjun ke dalam bidang lakonan dan lebih gemar memberi tumpuan kepada kerjaya sekarang sebagai model, menguruskan butik pengantin dan perancang perkahwinan.

"Sebenarnya saya memang ada mendapat tawaran berlakon drama daripada Penerbit Global Station Sdn. Bhd. iaitu Datin Zaiton Mohd Jiwa selepas terbabit dengan iklan produk SimplySiti.
"Setelah berfikir dan membuat pertimbangan, saya memutuskan untuk menolak tawaran tersebut. Lagipun saya memang tidak minat berlakon dan keluarga juga tidak memberi galakan," jelasnya.
Menurut Leuniey, antara sebab dia tidak mahu berkecimpung dalam dunia lakonan kerana tempoh yang lama untuk menjalani penggambaran dan tidak yakin dapat membahagikan masa. Namun begitu, dia tidak kisah untuk menerima sebarang tawaran berlakon iklan.

Pertahankan kejuaraan
Sementara itu, Apek yang turut hadir pada majlis yang sama mengambil pendekatan untuk tidak mahu mengulas panjang mengenai perkahwinan dengan kekasih hatinya itu.
Menurut Apek, buat masa ini dia mahu memberikan sepenuh tumpuannya kepada kejohanan Piala AFF Suzuki 2012 yang akan bermula pada 25 November ini.
"Dalam fikiran saya sekarang ini hanyalah bola semata-mata kerana saya perlu memikul tanggungjawab yang besar untuk membantu skuad negara mempertahankan kejuaraan yang diraih Malaysia dua tahun lalu.

"Saya sedar akan bergelar seorang suami dalam tempoh terdekat, tetapi saya mahu segala tumpuan diberikan kepada bola sepak terlebih dahulu. Apabila tugas bersama negara selesai, barulah saya fokus pula pada perkahwinan," ujarnya.
Berkenaan dengan persiapan perkahwinan pula, Apek menjelaskan segala urusan telah diserahkan kepada pengurusnya memandangkan jadualnya kini yang cukup padat sebelum berhadapan dengan kejohanan bola sepak terbesar di Asia Tenggara itu.
Apabila diajukan pertanyaan sama ada dia tidak kisah berkahwin semasa kariernya yang sedang memuncak, jejaka kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu menyatakan keputusan yang dibuat merupakan satu keputusan yang tepat.

"Memang ada yang bertanya adakah saya sudah bersedia memikul tanggungjawab sebagai suami. Saya beranggapan semuanya itu merupakan jodoh yang telah ditetapkan dan sebab itu saya memang sentiasa bersedia setiap masa," jelas jejaka berusia 23 tahun itu.
Bagaimanapun, Apek masih lagi berahsia dan enggan memberitahu tarikh sebenar perkahwinannya itu dan menyatakan dia akan membuat satu sidang akhbar mengenainya selepas tamat tugasnya bersama skuad bola sepak negara nanti.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)