Jom Buat Duit

Monday 19 November 2012

Penantian 12 tahun Shila

TAHUN 2012 pastinya memberikan kenangan tersendiri buat penyanyi Shila Amzah dengan kejayaan berganda apabila muncul juara dalam pertandingan Asian Wave 2012 dan lagu nyanyian dan ciptaannya iaitu Patah Seribu dinobatkan Lagu Terbaik di Anugerah Industri Muzik 19 (AIM 19).
Sudah tentu kejayaan pada AIM 19 itu cukup bermakna buat Shila atau nama sebenarnya Nur Shahila Amir Amzah memandangkan ia kejayaan pertama buat dirinya dalam anugerah tersebut sepanjang 12 tahun berkecimpung sebagai penyanyi.

Lebih bermakna lagi, Patah Seribu merupakan lagu pertama hasil ciptaannya sendiri yang dihasilkan kira-kira dua tahun lalu di biliknya dalam tempoh yang cukup singkat iaitu selama 20 minit sahaja.
Jadi, apakah kekuatan yang terkandung di dalam lagu tersebut apabila dinobatkan Lagu Terbaik sehingga menewaskan penyanyi dan komposer yang lebih senior?

Bercerita lebih lanjut tentang lagu Patah Seribu itu, Shila yang ditemui selepas berakhirnya acara AIM 19 yang berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor pada 17 November lalu mengakui lagu berkenaan memang sangat istimewa buat dirinya.
“Kalau hendak mengulas mengenai kekuatan lagu Patah Seribu, apa yang boleh dikatakan lagu ini saya cipta lebih kepada mahu mencurahkan sepenuh kecintaan saya kepada bidang seni.
“Lagipun, ia merupakan lagu pertama hasil ciptaan sendiri yang berani saya tampilkan dan mungkin secara kebetulan lagu ini juga telah memberikan kejayaan pertama buat diri saya di pentas AIM,” ujarnya.

Ditanya mengenai persepsi yang akan timbul apabila kejayaannya itu adalah bersandarkan kepada kemenangannya di Asian Wave 2012, penyanyi itu berharap ia seharusnya tidak menjadi isu.
Menurut Shila, dia tidak merasakan keputusan para juri dipengaruhi oleh kemenangan tersebut, malah dia juga tidak pernah meletakkan harapan yang tinggi untuk dijulang sebagai juara. Sebaliknya, dia melihat apa yang diraih itu merupakan satu anugerah daripada Allah.
“Saya sedar, barangkali akan timbul perasaan tidak puas hati oleh sesetengah pihak, namun saya anggap semua kejayaan dan kemenangan yang diperoleh itu merupakan satu rezeki.
“Lagipun segala bakat yang saya miliki ini merupakan pinjaman sementara sahaja. Jadi saya berharap agar para peminat dapat terus mendoakan kejayaan saya dalam bidang nyanyian,” jelas kekasih kepada pelakon Sharnaaz Ahmad itu.
Pada masa yang sama, Shila melihat kejayaan meraih dua kategori iaitu Lagu Pop Terbaik dan Lagu Terbaik sebagai satu tanggungjawab yang besar dalam kariernya sebagai seorang penyanyi.
KUMPULAN Nirwana dari Indonesia membawa pulang trofi Lagu Bahasa Melayu Oleh Artis Luar Negara menerusi lagu Sudah Cukup Sudah.
 
“Sekarang tanggungjawab saya bukan sekadar penyanyi, malah sebagai seorang komposer dan penulis lirik. Bagaimanapun, saya menghasilkan lagu untuk diri sendiri dan hanya akan menghasilkan lagu untuk orang lain sekiranya saya tidak lagi menjadi penyanyi,” ujarnya.
Mengenai perancangannya selepas ini, penyanyi tersebut sedang dalam proses menghasilkan sebuah lagu berbahasa Mandarin sebagai langkah untuk mengembangkan karier nyanyiannya di China.
Ujarnya, lagu Patah Seribu juga akan dirakamkan semula untuk versi bahasa Mandarin serta dia akan melancarkan sebuah lagi single berjudul Terima Kasih yang dibikin khas buat para peminat yang menyokong karier seninya.

Kejutan
Mengulas lanjut mengenai acara AIM 19 yang berlangsung, tidak dinafikan terdapat beberapa kejutan yang berlaku terutamanya anugerah kepada pemenang yang tercalon.
Paling mengejutkan apabila album berjudul Salam Musik yang dihasilkan oleh kumpulan Salam Musik berhasil meraih salah satu anugerah utama iaitu kategori Album Terbaik.
Biarpun tewas di tangan kumpulan Mojo untuk kategori Artis Baharu Terbaik, namun untuk Album Terbaik mereka berjaya mengetepikan nama-nama besar seperti Hujan, Nora, Pesawat dan Stacy.
Salah seorang anggota kumpulan tersebut, Ashraaf A. Azlan atau lebih dikenali sebagai Salam berkata, mereka sendiri tidak menyangka dengan kemenangan yang diraih.
“Sejujurnya kami tidak mengharapkan apa-apa termasuk memperoleh anugerah pada malam ini kerana tujuan kami hadir semata-mata mahu membuat persembahan supaya lebih ramai yang menyedari kewujudan Salam Musik.
MEMANG layak. Kumpulan Alleycats yang telah berada dalam industri hiburan selama 43 tahun diberi Anugerah Wirama pada AIM 19.
 
“Jadi, dengan kemenangan yang diraih ini pastinya menjadi satu pemangkin semangat untuk menghasilkan album yang lebih baik serta berharap Salam Musik akan lebih dikenali ramai selepas ini,” ujarnya yang sebelum ini popular menerusi lagu Cerita Kedai Kopi.

Apabila ditanya sama ada dia risau sekiranya akan ada pihak yang bangkit mempertikaikan kemenangan kumpulannya itu, Salam menyatakan tiada apa yang perlu dirisaukan kerana tidak pernah mengharapkan kemenangan menjadi milik mereka.
“Kami menghasilkan album bukanlah untuk mencari kemenangan semata-mata, sebaliknya matlamat kami lebih kepada memperjuangkan muzik-muzik Melayu dan kemenangan malam ini kami sebagai satu pengiktirafan atas usaha kami,” jelasnya.

Sementara itu, Jaclyn Victor yang meraih tiga anugerah untuk kategori Persembahan Vokal Terbaik (Wanita) Lagu Inggeris Tempatan Terbaik dan Susunan Muzik Terbaik turut gembira meskipun lagu nyanyiannya gagal dinobat Lagu Terbaik.

Menariknya, kejayaan ketiga-tiga kategori yang dimenanginya itu adalah menerusi lagu Inggerisnya yang berjudul Counting Days hasil ciptaan komposer Aubrey Suwito dan Lin Li Zhen.
“Sudah tentu kejayaan ini cukup bermakna kerana persaingan yang cukup hebat terutamanya bagi kategori Persembahan Vokal Terbaik, namun saya tetap berpuas hati kerana apa yang saya hajatkan akhirnya tercapai.

Mengakui lagu nyanyiannya itu kurang popular dan tidak mesra pendengar, namun dia percaya pemilihan Counting Days sebagai Lagu Inggeris Tempatan Terbaik berdasarkan kepada kualiti yang ada pada lagu berkenaan.
Sementara itu, penyanyi senior Jamal Abdillah berhasil membawa pulang dua anugerah termasuk kategori Persembahan Vokal Terbaik (Bahagia Sementara).
“Ini merupakan anugerah kedua yang saya raih dalam anugerah ini selepas kali pertama saya menang kategori Persembahan Vokal Terbaik menerusi lagu Kekasih Awal Dan Akhir pada AIM yang pertama,” ujarnya sewaktu berucap di atas pentas. Kosmo

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters