Jom Buat Duit

Monday 19 November 2012

Shah Rukh Khan Raja Bollywood yang terus unggul

Siapa tidak kenal Raja Bollywood ini? Mula berkecimpung dalam arena seni seawal 1980-an, aktor kelahiran New Delhi, India ini sudah membintangi lebih daripada 75 filem setakat ini.
Diakui kehebatannya membawa watak menerusi pelbagai genre filem seperti thriller, seram, komedi, aksi mahu pun romantis, Shah Rukh Khan (SRK) terus menjadi pilihan pengarah meski pun berusia 47 tahun kini.
Yang pasti, pengikut setianya tidak pernah bosan, sebaliknya sentiasa menantikan buah tangan terbaru daripada bintang Kuch Kuch Hota Hai ini.

Mengimbas sejenak pembabitan pelakon filem My Name Is Khan ini, bakat lakonannya mula dikesan ketika terpilih membintangi filem Deewana pada 1992.

Sebelum muncul sebagai pelakon filem, SRK hanyalah pelakon drama sahaja. Fauji, Circus dan In Which Annie Gives It Those Ones, antara drama hebat lakonannya.

Walaupun pada awalnya dia sering diberikan peranan sebagai penjenayah, namun SRK berjaya membuktikan dirinya seorang pelakon versatil.

Filem Baazigar lakonannya bersama Kajol, menonjolkan sisi gelap SRK dengan baik.

Tidak kurang hebatnya, Duplicate, membawa watak Bablu dan Mannu Dada yang berbeza karakter (antagonis dan protagonis), SRK berjaya membuka mata seluruh peminat Bollywood.
Sementara lakonan romantisnya menerusi Dilwale Dulhania Le Jayenge, Dil To Pagal Hai dan Kuch Kuch Hota Hai, mampu mencairkan hati mana-mana wanita. Suami kepada Gauri Khan ini terus diberi kepercayaan menerajui pelbagai peranan dalam beberapa filem sehingga namanya dijulang dan menjadi sebutan.

Mohabbatein, Kabhi Khushi Kabhie Gham, Veer-Zaara, Kabhi Alvida Na Kehna dan Hum Tumhare Hain Sanam berjaya meletakkannya sebagai Raja Bolloywood. Malah lakonan romantisnya yang berkesan melayakkannya menerima gelaran King Of Romance.

Selain itu SRK pernah diberi jolokan lain seperti Badshah of Bollywood, King Khan dan The King of bollywood sekali gus mendahului rakan seperjuangannya, Salman Khan, Aamir Khan, Sunil Shetty dan  Anil Kapoor.

Bakat diiktiraf
Berikutan kejayaannya menerusi filem dilakonkan, bintang filem Kal Ho Naho ini diberi pelbagai pengiktirafan.
Graduan lulusan Sarjana Muda Ekonomi ini dicalonkan sebanyak 30 pencalonan dan menerima 14 anugerah di Bollywood Filmfare Awards.
Aktor yang sinonim berlakon bersama heroinnya, Kajol Mukherjee ini telah meraih lapan anugerah bagi kategori Pelakon Terbaik dan mengatasi mana-mana pelakon bollywood yang pernah tersenarai menerusi Filmfare Awards di sana.

Dalam pada itu, bapa kepada dua anak ini, turut diberi anugerah Padma Shri oleh kerajaan India pada 2005 kerana sumbangannya terhadap industri seni di sana.
Jika dilihat kepada kejayaan dan kuantiti filem yang dilakonkannya, sudah pastilah pelakon yang juga seorang penerbit ini berjaya mencatat pendapatan tertinggi sehingga berjuta-juta ringgit setahun sehingga meletakkan dia antara aktor yang paling berjaya dalam industri perfileman bollywood.

Menariknya, dia juga disenaraikan antara 50 orang yang terhebat di dunia menerusi majalah Newsweek.

Filem terakhir Yash Copra
Walau pun kemunculan pelakon baru lebih muda semakin ramai namun, SRK menjadi buruan pengarah.

Selain Karan Johar, dia juga merupakan aktor kesayangan dan kegemaran mendiang Yash Copra.
Tampil menerusi karya terbaru dan terakhir Yash, Jab Tak Hai Jaan, SRK dilihat bakal mencipta sejarah apabila filem ini dikatakan sama hebat dengan Kuch Kuch Hota Hai.

Malah menurut SRK, filem ini juga memerlukan dia lebih beremosi ketika melakonkan babak romantis.
Diberi peluang memegang dua watak sekali gus, iaitu sebagai pemuzik dan tentera, jelas SRK, dia terpaksa menjadi bijak untuk mengawal setiap karakter itu.
Baginya, filem ini antara filem terhebat lakonannya memandangkan ia sarat dengan emosi dan miliki keistimewaan tersendiri.

Bergandingan bersama aktres yang menjadi jolokan Barbie Doll, Katrina Kaif dan Anushka Sharma, filem yang baru ditayangkan di Malaysia bermula 15 November lalu ini mengisahkan, cinta tiga segi antara Samar (SRK), Meera (Katrina) dan Akira (Anushka). SH

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters